Terkena Penyakit Misteri Akibat Kencing Di Tempat Terlarang

Artikel ini merupakan perkongsian dari seorang lelaki yang pernah terkena penyakit misteri semasa kecil akibat daripada kencing merata-rata di tempat yang terlarang. Berikut adalah cerita yang telah dikongsikan oleh beliau tentang bagaimana peristiwa itu terjadi kepadanya.

Ketika aku masih di bangku sekolah rendah, aku pernah terkena penyakit misteri. Aku tinggal kat kampung, masa kecil-kecil dulu tu, aku sangat ligat. Habis semua ceruk kampung aku jelajah, tak kira sama ada kampung aku atau kampung sebelah, semua aku redah. Mungkin sebab itulah aku pernah kena buatan makhluk halus yang marah dengan aku.

Pada musim cuti sekolah, kebiasannya aku dan kawan-kawan aku akan main lastik, main getah , main bola dan yang paling seronok waktu itu adalah memancing. Seronok sebab ramai geng masa musim memancing lebih-lebih lagi jika kena dengan masa cuti sekolah. Kampung aku terletak di Johor dan banyak parit kat kampung aku tu.

Kali ini aku bukan nak ceritakan tentang kisah aku pergi memancing, tetapi tentang main sembunyi-sembunyi berdekatan kawasan rumah aku je. Ada satu hari tu, aku main sembunyi-sembunyi dengan kawan-kawan aku. Meriah betul masa tu. Tengah seronok bermain, aku terasa nak kencing. Aku pun cari tempat untuk kencing. Cari punya cari, aku pun terjumpa satu tempat baik kat tepi parit. Apalagi, terus aku lepas hajat kat situ je. Lega rasanya. Selepas itu aku sambung main lagi.

parit

Keesokan paginya, masa bangun dari tidur aku terasa macam sakit kat pangkal ari-ari. Pada mulanya, aku buat tidak tahu sahaja. Aku tidak beritahu sesiapa pun tentang rasa sakit itu. Masa itu umur aku dalam 8 tahun. Aku pergi sekolah macam biasa. Dari hari ke hari aku rasa makin sakit pula dekat pangkal ari-ari aku. Bila sentuh tempat yang sakit tu, rasa macam ada benjolan kat dalam. Cuma apabila tekan rasa sakit. Tidak ada sebarang kesan luka atau apa-apa yang pelik kat situ. Namun aku masih diamkan perkara ini dari pengetahuan mak dan ayah aku.

Sampai lah satu masa, benjolan tersebut mula membesar dan aku rasa sakit sangat. Aku terpaksa beritahu mak sebab aku dah tak tahan nak tanggung kesakitan tu. Selepas aku beritahu mak aku, mak aku pun sapu ubat kat situ. Ubat apa aku pun tak pasti, tak ingat sebetulnya. Hari-hari pun berlalu, tapi benjolan itu semakin membesar. Sakitnya tidak terkata sampai aku jalan pun terkangkang-kangkang. Dah macam orang bersunat. Akhirnya mak bawa aku pergi ke klinik.

“Sakit apa dik?” doktor tanya aku. Aku diam sahaja. “Celah kangkang dia bernanah doktor” Mak aku tolong jawabkan. Pastu doktor itu suruh aku buka seluar. Dengan perasaan malu, aku pun buka seluar perlahan-lahan. Akhirnya nampak lah **** aku dan jugak benjolan kat bahagian tepi dia yang sudah bernanah.

“Ni kena belah ni!” doktor beritahu mak aku. “Kena belah? Alamak, mati lah aku!” aku berkata dalam hati. Doktor berpesan pada mak aku
supaya datang ke klinik dalam masa 2 hari lgi. Selepas ambil ubat, aku dan mak aku terus pulang ke rumah. Mak cakap pada aku nanti kena datang klinik semula, kena belah untuk keluarkan nanah dari benjolan tu. Aku menangis-nangis tidak mahu pergi semula ke klinik itu. Takut punya pasal. Maklum la, aku kecil lagi masa tu. Pastu dengar pula nak kena belah. Lagi lah aku takut.

Jadi, memang ke sudah aku tidak pergi ke klinik itu semula. Sampai lah aku sudah tidak boleh berjalan, nak ke mana-mana terpaksa merangkak. Ada lah dalam 2 minggu aku kena merangkak. Jika hendak mandi, aku kena tutup tempat benjolan. Takut terkena air. Memang terseksa betul aku masa tu. Nak tidur pun tak boleh sebab sakit.

Dengan kedegilan dan keadaan aku yang semakin teruk, mak aku terpaksa mencari alternatif lain untuk mengubati aku. Mak aku berjumpa dengan seorang pawang yang tinggal dekat sebelah sekolah aku. Nama pawang tersebut ialah Pawang Daud. Aku pun kenal orang tua itu kerana aku akan lalu depan rumah dia sewaktu pergi ke sekolah. Sampai hari yang dijanjikan, Pawang Daud pun datang ke rumah aku. Masa itu aku sudah tidak boleh bergerak dah. Aku hanya mampu terbaring je.

Masa Pawang Daud sampai, dia tegur aku sebab dia kenal aku. “Tolong bawakan aku segelas air,” pinta Pawang Daud pada mak aku. Tanpa berlengah, mak bawakan air yang diminta oleh Pawang Daud. Terkumat-kamit mulut Pawang Daud, tapi aku tidak tahu apa yang dibacanya. Selepas itu dia meniup ke dalam air. Pawang Daud berkumur dengan air tersebut lalu menyemburkannya ke atas benjolan kat celah peha aku.

Ada sesuatu yang membuat aku terkejut, air yang disembur oleh Pawang Daud bukannya berwarna jernih tetapi berwarna merah. Apabila terkena sahaja air yang disembur oleh Pawang Daud, seluruh benjolan bertukar warna menjadi merah. “Wah, magik ni!” Aku berkata di dalam hati. Pawang Daud diam seketika, kemudian dia berkata kepada mak aku, “Anak kau ni dah kencingkan rumah orang, jadinya orang itu dah marah”. “Aik, bila masa pula aku kencingkan rumah orang?”, aku cuba mengingati. Apa yang aku ingat, aku kencing kat tepi parit je, selepas itu aku sakit dan naik benjolan kat celah peha.

Selesai kerjanya, Pawang Daud dijamu dengan buah-buahan sebab kebetulan musim buah masa itu. Sebelum balik Pawang Daud jumpa aku. “Atuk balik dulu, malam nanti orang atuk datang”, kata Pawang Daud. Aku sebenarnya tidak faham apa maksud sebenar dia, tapi aku mengangguk je. Aku ingatkan nanti ada orang lain yang akan datang sambung mengubat. Malam itu, tunggu punya tunggu tidak ada pun orang yang datang. Jadi aku pun tidur macam biasa.

Menjelang tengah malam, tib-tiba aku terasa sakit sangat. Berdenyut-denyut benjolan kat celah peha aku sampai aku meraung-raung. Habis semua orang dalam rumah terjaga malam tu. Rasa macam ada orang yang memicit benjolan itu. Apabila aku meraba bahagian benjolan tu, terasa basah. Rupa-rupanya ia dah pecah. Keluar semua nanah. Aku beritahu kakak aku, dia lah yang tolong lapkan nanah itu. Rasa macam kena picit-picit masa nanah itu keluar.

Baru aku faham maksud Pawang Daud siang tadi, orang yang dimaksudkan oleh beliau bukanlah orang sebenarnya. Aku tidak pasti apa makhluk yang dihantarnya. Keesokan pagi berikutnya, aku bangun lambat sebab mengantuk dan letih. Apabila aku tengok kat tempat benjolan itu, ia dah kempis macam biasa. Cuma sakit sikit-sikit je. Lega betul aku rasa, bebas dari benjolan yang menyakitkan itu dan juga bebas untuk aku bermain balik lepas aku dah betul-betul sembuh.

busut

Menurut Pawang Daud, aku terkencingkan rumah bunian. Rupa-rupanya kat tempat aku kencing masa bermain sembunyi-sembunyi dulu tu ada busut, tapi aku tidak perasan. Kat situ ada rumah bunian. Sebab terkena kencing, bunian itu marah dan buat aku jatuh sakit. Sejak dari hari itu, kalau nak kencing aku amat berhati-hati kerana takut perkara yang sama akan berulang kembali. Sampai sekarang parut dari benjolan tu masih ada, setiap kali aku terpandangnya aku akan teringat kisah itu.

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi kisahseram.com

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

4 + 1 =