Siapa Yang Hulur Spanar Itu?

Malam itu, kami berlapan ditugas untuk bekerja pada syif malam. Kebetulan waktu itu hanya ada dua buah kapal terbang sahaja di dalam hangar. Tugas kami malam itu cukup mudah, iaitu membuat pemeriksaan biasa dan melakukan sedikit pembaikian di dalam bahagian tangki minyak.

Persiapan dan peralatan semuanya telah disediakan dan dibuat seawal pagi oleh pekerja syif pagi. Jadi, malam itu apabila masuk kerja kami boleh terus melaksanakan tugas yang sepatutnya. Bekerja syif malam bukanlah mudah. Mengantuk dan lapar silih berganti mengusik kami lapan orang. Menguap pula jangan ceritalah, acapkali sehingga tidak terkira.

Semua peralatan dan alat ganti telah kami persiapkan. Menjelang tengah malam barulah kami dapat memulakan tugas masing-masing. Disebabkan tugasan itu jatuh pada pesawat A320, tangki minyaknya agak kecil untuk dimasuki oleh dua orang serentak. Justeru itu hanya seorang sahaja yang akan masuk ke dalam tangki minyak itu untuk melakukan pembaikian yang diperlukan.

hulur spanar

Tugasan aku pula agak mudah. Aku cuma perlu memastikan semua bekalan eletrik tidak disambung kepada badan pesawat. Selebihnya aku hanya perlu menunggu jika ada apa-apa bantuan yang mereka perlukan berkenaan eletrik.

Rizman mula memasuki tangki minyak, sementara tujuh yang lain termasuk aku berada di bahagian luar kapal terbang untuk memberi bantuan seperti menghulurkan peralatan dan selebihnya kami hanya berborak. Tidak lama kemudian, aku meninggalkan mereka dan masuk ke Bilik Perancangan untuk menyiapkan sedikit kertas kerja dan menyemak e-mel.

Lama juga aku rasa aku berada di dalam bilik tersebut. Selepas itu, aku keluar dari Bilik Perancangan dan aku lihat tidak ada seorang pun yang berada di bawah kapal terbang tadi. memandang tidak ada orang di situ, aku memutuskan untuk berjalan menuju ke tempat hisap rokok. Dalam fikiran aku, pasti mereka semua berada di sana.

hulur spanar

Tanpa aku sedari, Rizman tinggal keseorangan di dalam tangki minyak. Dari keadaan tadi yang riuh rendah mula menjadi sunyi. Rizman yang masih berbaring di dalam tangki minyak sambil melakukan tugasnya mula merasa kelainan. Tetapi ditepisnya semua anggapan yang bukan-bukan itu. Walaupun dia pelik kenapa keadaan tidak seriuh tadi tetapi niat mahu menyiapkan tugasan begitu tebal di dalam dirinya.

“Spanar!” jerit Rizman meminta peralatan dari rakan sekerja yang disangkanya masih berada di bawah kapal terbang itu. Dengan perlahan-lahan satu tangan halus menghulurkan spanar kepada Rizman. Tugas Rizman disambung semula setelah menerima spanar tadi.

“Cutter!” jerit Rizman lagi. Sekali lagi tangan halus tadi perlahan menghulurkan cutter kepada Rizman. “Bagi cutter besar! Aku taknak cutter ni!” jerit Rizman. Senyap. Lama Rizman menunggu. “Oi! Cepat bagi aku cutter besar!” jerit Rizman. Senyap lagi. Tiada yang menyahut atau menghulurkan peralatan yang diminta.

hulur spanar

Aku tiba di tempat hisap rokok dalam keadaan riuh rendah dengan suara ketawa mereka bercerita. Aku memerhatikan mereka seorang demi seorang. “Eh, lama dah ke kamu semua kat sini?” tanya aku.
“Lama tu tak lama jugalah. Kenapa?” jawab Sudin. “Rizman mana?” tegur aku setelah melihat kelibat Rizman tiada di situ.

“Oi! Man masih kat dalam tangki minyak!” jerit Sudin. kemudian, barulah kami semua tersedar yang Rizman telah ditinggalkan di dalam tangki minyak tanpa memberitahu kami mahu rehat. Masing-masing bangun dan ingin masuk kembali ke hangar. Yalah, takut juga kalau terjadi apa-apa. Kes naya dibuatnya. Baru sahaja kami mahu melangkah, kelihatan satu kelibat menuju ke arah kami.

“Oi lahanat! Pergi rehat diam-diam, tak bagitau aku!” jerit Rizman. Masing-masing memohon maaf kepadanya sebab terlupa. Macam mana mereka boleh terlupa pun aku sendiri tidak tahu. “Kalau kau orang semua ada kat sini? Dah siapa pulak yang tolong bagi peralatan kat aku tadi?!” tanya Rizman kepada kami.

tangan siapa

“Apa kau cakap ni Man?” tanya aku. Dan Rizman pun terus bercerita tentang apa yang telah berlaku sebentar tadi. Cerita yang memang menaikkan bulu tengkuk kami semua. Lebih-lebih lagi ketika itu waktu sudah hampir menginjak ke pukul tiga pagi.

Sejak dari hari itu, kami berazam tidak akan tinggalkan sesiapa yang berada di dalam tangki minyak. Tentang siapa yang menghulurkan peralatan kepada Rizman? Ia masih kekal misteri sehingga hari ini. Yang lebih misterinnya misteri tahu pulak ‘dia’, peralatan apa yang diminta.

Sumber : mStar Online

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi kisahseram.com

Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Editor & founder orangperak.com
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.