SERAM!! Hantu Tok Bidan Datang Meminta Air

Pengalaman seram yang aku ingin kongsikan bersama kalian di sini adalah satu pengalaman yang mungkin tidak akan aku lupa sepanjang hayat. Kejadian itu berlaku ketika aku mengikut seorang kawan aku pulang ke kampungnya yang terletak di satu daerah berdekatan dengan Kota Baru, Kelantan. Kawan aku ni namanya Borhan (bukan nama sebenar).

Waktu itu cuti penggal persekolahan dan kebetulan pula musim durian. Borhan mengajak aku untuk ikut dia balik ke kampung dan menurutnya, dusun datuknya memang banyak pokok durian. Aku terus bersetuju mengikutnya pulang ke kampung kerana aku memang penggemar durian.

Kami tiba di kampung pada petang Sabtu setelah semalaman di dalam perjalanan menaiki keretapi. Sebaik sahaja sampai di rumah, kami telah disambut dengan mesra oleh keluarga Borhan. Mereka sungguh ramah, walaupun pun aku menghadapi sedikit kesukaran untuk memahami setiap patah perkataan yang dituturkan oleh mereka.

Setelah berehat seketika, Borhan mengajak aku mandi sungai yang berada tidak berapa jauh dari rumahnya. Waktu itu hari sudah lewat petang. Ibunya melarang kami pergi ke sungai kerana hari sudah pun hampir gelap. Tetapi kami tetap berdegil untuk mandi di sungai. Lagi pun jarak antara sungai dengan rumahnya lebih kurang 500 meter sahaja. Kalau kami melaung pun boleh didengar. Begitulah kata Borhan kepada ibunya.

Ibunya hanya menggelengkan kepala melihat gelagat kami tetapi beliau sempat berpesan supaya kami balik semula ke rumah sebelum masuk waktu maghrib. Sebaik sahaja kami menuruni tangga rumah, adik Borhan yang berumur dalam lingkungan 9 tahun berpesan kepada kami supaya balik sebelum hari gelap kerana sekarang ini orang kampung tengah heboh memperkatakan tentang hantu tok bidan yang berkeliaran di kampung itu pada waktu malam.

Meremang bulu romaku apabila mendengar pesan adik Borhan itu. Mahu sahaja aku membatalkan niat untuk mandi di sungai. Tetapi lain pula dengan Borhan, dia sedikit pun tidak mengendahkan kata-kata adiknya itu. Dengan berat hati, aku mengekori Borhan dari belakang. Mataku liar memerhatikan semak-samun di kiri-kanan jalan. Ketika itu matahari sudah hampir terbenam. Cahaya kilauannya berbalam-balam di permukaan air. Aku merasa tidak sedap hati.

Terasa seolah-olah ada sepasang mata yang sedang memerhatikan setiap gerak-geri kami. Sesampai sahaja di gigi sungai, Borhan terus terjun. Percikan air sungai mengenai tubuhku. Terasa dingin sungguh. Dengan berhati-hati, aku turun ke dalam sungai. Perasaanku merasa tidak tenteram. Hatiku berdetik bahawa ada sesuatu yang sedang memerhati kami. Aku mengajak Borhan supaya cepat naik dan balik. Tetapi Borhan hanya mengetawakan aku. Katanya aku ini pengecut sangat. Borhan juga kata yang adiknya cuma bergurau.

ada yang memerhati

Sedang kami leka mandi-manda, tiba-tiba terdengar bunyi sesuatu benda jatuh ke dalam air tidak jauh dari tempat kami tengah mandi. Masing-masing senyap dan berpandangan sesama sendiri. Keadaan menjadi sunyi seketika. Yang kedengaran cuma suara riang-riang hutan bersahut-sahutan. Bulu romaku tegak berdiri sambil aku menggigil kesejukan. Tanpa sepatah kata, aku dan Borhan berlari naik ke tebing sungai dan terus mencapai barang-barang dan tanpa berlengah lagi, berlari balik ke rumah.

Ibu Borhan pelik melihat kami yang termengah-mengah apabila sampai ke pintu dapur. Adik Borhan pula cuma tersenyum menyindir. Aku memberitahu mereka apa yang telah berlaku. Ibunya hanya tersenyum mendengar ceritaku. Menurutnya mungkin dahan dari pokok kayu yang jatuh ke dalam sungai tadi. Tetapi adiknya pula mengingatkan kami tentang hantu tok bidan yang diceritakannya sebelum kami ke sungai tadi. Aku sendiri kebingungan. Kalau dahan kayu yang jatuh, tidak mungkin bunyinya sekuat seperti mana yang kami dengar tadi.

Selepas makan malam, aku duduk berehat di ruang tamu bersama adik Borhan. Aku mengambil kesempatan ini untuk mengetahui lebih lanjut lagi mengenai cerita hantu tok bidan yang diceritakannya petang tadi. Menurut ceritanya, ada seorang perempuan tua yang tinggal di kampung berdekatan baru meninggal dunia. Orang-orang kampung memanggilnya Tok Bidan kerana dia seorang bidan kampung. Semasa dia dalam keadaan nazak, keadaannya amat terseksa. Dia sentiasa kehausan. Entah berapa banyak air yang diberi, namun dia tetap kehausan. Sehinggalah dia menghembus nafas terakhir, dia meronta-ronta meminta diberikan air.

Menurut orang-orang kampung, semasa hayatnya dia telah banyak melakukan perbuatan jahat seperti menggugurkan kandungan secara haram dan melakukan pemujaan untuk meningkatkan lagi ilmu kebidanannya. Menurut mereka lagi, tok bidan itu ada membela hantu raya. Pernah beberapa kali orang-orang kampung terserempak dengannya tengah merayau-rayau pada waktu malam dengan keadaan tubuhnya yang bongkok. Tetapi pada waktu yang sama ada juga orang-orang kampung yang sedang berubat di rumahnya.

Setelah meninggal dunia, orang-orang kampung menghadapi berbagai-bagai masalah untuk menguruskan mayatnya. Sewaktu mayatnya hendak ditanam, hujan turun dengan sangat lebat sehingga liang lahatnya terpaksa digali berkali-kali. Ini kerana hujan yang amat lebat telah mengakibatkan tanah runtuh dan menimbus liang lahad itu. Bacaan talkin pula cuma dihadiri oleh beberapa orang sahaja kerana keadaan cuaca yang buruk pada waktu itu. Pada sebelah malamnya, orang-orang yang lalu-lalang berdekatan dengan kawasan tanah perkuburan seakan-akan terdengar suara orang yang sedang meratap disertai dengan bau yang amat busuk.

kubur

Pada malam yang sama juga, beberapa buah rumah telah diketuk pintu berkali-kali dan apabila dibuka, tiada sesiapa pun di luar. Jika dibiarkan, ketukan pintu menjadi bertambah kuat dan bau busuk memenuhi ruang rumah. Badan aku terasa seram sejuk apabila mendengar cerita adik Borhan itu. Jam baru menunjukkan pukul 10.30 malam. Keadaan sekitar terasa sunyi sepi. Cuma bunyi cengkerik dan jam dinding sahaja yang kedengaran.

Kelopak mataku sudah pun terasa berat. Borhan pula sengaja mahu menyakatku. Dia menyuruh aku tidur di dalam biliknya manakala dia hendak tidur di ruang tamu. Aku terus tidak bersetuju. Apa lagi setelah mendengar cerita dari adiknya sebentar tadi. Katanya dia cuma bergurau. Kami sama-sama tidur di dalam bilik. Tempat tidurku bersebelahan dengan tingkap. Oleh kerana terlalu mengantuk, aku tidak peduli lagi, asalkan dapat melelapkan mata.

Entah pukul berapa, tiba-tiba aku dikejutkan dengan bunyi ketukan halus dari luar tingkap kayu di sebelah aku. Aku tetap memejamkan mata tetapi jantungku kian berdegup laju. Ketukan tadi menjadi semakin kuat disertai dengan bau seperti bau bangkai yang teramat busuk. Aku menahan nafasku dan memusingkan badan berpaling dari arah tingkap. Aku cuba mengejutkan Borhan. Tetapi dia tiada di sebelahku. Mungkin dia tidur di ruang tamu. Jantungku semakin laju berdegup. Peluh sejuk membasahi tubuhku. Daun tingkap terus diketuk dan digoyang. Aku menjadi kaku.

takut

Tiba-tiba aku terdengar suatu suara halus menyuruhku supaya membuka tingkap. Kata suara itu, dia ada membawa anak kecil. Dia hanya hendak menumpang meminum air. Terus aku teringat cerita adik Borhan tadi yang mengatakan Tok Bidan itu mati dalam keadaan haus. Aku menjadi bertambah kecut. Aku cuba untuk tidak mempedulikannya. Ketika itu aku telah berada di hujung katil diselimuti gebar sambil memeluk bantal. Suara yang halus tadi bertukar menjadi serak dan akhirnya menjadi parau. Katanya lagi kalau aku tidak mahu membuka tingkap, dia tetap akan masuk untuk mencari air.

Waktu itu cuma tuhan yang tahu bagaimana perasaanku. Selepas itu, dengan tidak semena-mena aku terasa seperti ada angin lembut bertiup mengenai mukaku dan pada waktu yang sama, tiba-tiba tingkap di dalam bilik terbuka luas. Apa yang aku lihat ketika itu sungguh mengerikan. Di luar tingkap kelihatan seorang perempuan tua tersengeh memandangku. Terlihat giginya yang jarang dan merah serta rambutnya yang dipenuhi uban mengurai. Dia menghulurkan sebelah tangannya kepadaku manakala sebelah lagi memegang janin bayi.

tok bidan

Pandanganku menjadi kelam, cuma yang aku dengar ketika itu ialah suara parau yang menggigil-gigil menyebut perkataan “air” berkali-kali. Tiba-tiba aku terdengar namaku dipanggil dan bunyi daun tingkap dibuka. Cahaya matahari pagi menyucuk mataku. Rupa-rupanya hari sudah siang. Borhan mengajak aku bersiap-siap untuk ke dusun durian datuknya. Aku terpinga-pinga. Dalam perjalanan ke dusun aku bertanya kepada Borhan adakah dia tidur di ruang tamu malam tadi.

Dia mengaku. Katanya dia tidak dapat tidur di dalam bilik kerana panas. Katanya lagi waktu itu aku sedang nyenyak tidur dibuai mimpi. Aku bertanya kepadanya lagi adakah tingkap bilik terbuka atau tertutup sewaktu dia masuk ke dalam bilik pagi tadi? Kata Borhan, tingkap itu tertutup. Dia menyoalku kembali, kenapa aku banyak bertanya. Aku hanya menggelengkan kepala sambil berkata tidak ada apa-apa.

Sehingga ke hari ini aku tidak pasti adakah kejadian ngeri itu benar-benar berlaku, atau cuma aku yang bermimpi. Tapi bagi aku, setiap detik yang berlalu ketika kejadian itu berlaku memang seperti ianya benar-benar terjadi.

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi kisahseram.com

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

4 + 4 =