Rumah Misteri Di Atas Bukit

Kisah yang akan kisahseram.com paparkan kali ini adalah berkaitan dengan sepasang pengantin baru yang baru sahaja mendirikan rumahtangga. Nita dan suaminya, Hisyam baru sahaja pindah ke rumah yang terletak di kawasan bukit. Pasangan yang baru sahaja berkahwin itu tidak sempat berbulan madu kerana tanggungjawab suaminya terhadap tugasnya di tempat kerja tidak membenarkan mereka untuk berbuat demikian. Walaupun pada mulanya Nita berasa kecewa, namun setelah melihat rumah besar yang disediakan oleh syarikat suaminya, Nita berasa gembira.

Rumah tersebut terletak di kawasan bukit dan agak terpinggir daripada bandar dan kawasan rumah-rumah yang lain. Alangkah indah dan sunyi dan sesuai untuk mereka berdua sebagai pasangan pengantin baru. Nita adalah seorang gadis jelita yang berpendidikan tinggi. Dahulu dia bekerja di sebuah firma guaman. Setelah berkahwin dengan Hisyam, Nita berhenti kerja kerana ingin meluangkan lebih masa bersama suaminya. Hisyam pula merupakan seorang jurutera di salah sebuah kilang automobil yang terkenal. Dia sentiasa sibuk dan kadang-kala terpaksa bekerja lebih masa. Namun kehidupan pasangan itu cukup bahagia sehinggalah terjadinya suatu peristiwa.

Rumah yang didiami oleh mereka merupakan sebuah rumah banglo dua tingkat. Ketika mereka berpindah ke sana, Nita dan Hisyam hanya sempat membersihkan bahagian tingkat bawah sahaja. Memandangkan bilik di tingkat bawah sudah memadai bagi mereka berdua, maka tingkat atas tidak dibersihkan dan diabaikan. Kadang-kala Nita terasa amat sunyi menetap di rumah besar tersebut terutamanya ketika Syam keluar bekerja dan dia terpaksa tinggal seorang diri di rumah.

Pada suatu hari, akibat terasa amat bosan Nita telah naik ke tingkat atas lalu mula mengemaskan bilik-bilik di tingkat itu mengikut citarasanya. Ketika sedang mengemas, tiba-tiba Nita merasakan yang bulu romanya meremang kerana terasa gerun dan sejuk semacam. Dia terasa seolah-olah ada seseorang sedang merenungnya. Jantungnya mula berdegup dengan kencang sekali. Namun, sebagai seorang yang berpendidikan tinggi dia meyakinkan diri sendiri dengan mengatakan bahawa tiada apa-apa yang harus ditakutkan.

diperhatikan

Setelah mengemas Nita pun turun. Hati Nita tetap tidak senang kerana kali ini pun dia masih terasa yang terdapat sepasang mata yang memandang ke arahnya dengan tajam. Dia cepat-cepat mandi dan memakai baju menanti kepulangan suaminya. Siaran televisyenlah yang menjadi penemannya sehingga Hisyam pulang dari tempat kerja pada jam 1.00 pagi. Nita tidak memberitahu Hisyam tentang perasaan yang melanda dirinya kerana segan diejek oleh suaminya bahawa Nita penakut dan hidup dalam dunia khayalannya sendiri.

Keesokan harinya ketika Nita sedang sibuk mengemas, tiba-tiba loceng pintu rumahnya berbunyi. Kelihatan pakciknya tercegat di hadapan pintu. Beliau tidak dapat hadir ke majlis perkahwinan Nita tempoh hari kerana terpaksa ke Rom untuk kajian selanjutnya tentang alam roh. Apabila pakciknya melangkah masuk ke dalam rumahnya, Nita nampak ada perubahan pada wajah pakciknya itu. Setelah minum kopi, pakciknya bertanya kepada Nita sama ada Nita dan Hisyam menyewakan tingkat atas kepada orang lain? Nita dengan kelirunya menjawab tidak. Wajah pakciknya berubah menjadi lebih kusut. Beliau meminta izin untuk melihat tingkat atas rumah tersebut. Walaupun bingung dengan sikap pakciknya namun Nita membiarkan sahaja.

Selepas 15 minit pakciknya turun semula ke bawah sambil menggeleng-gelengkan kepalanya. Pakciknya meminta Nita mengambil sedikit pakaian dan barang keperluan lalu mengikutnya ke rumahnya. Nita hanya menurut sahaja perintah pakciknya. Setelah menghantar Nita ke rumahnya, pakciknya segera pergi ke kilang tempat Hisyam bekerja. Sampai sahaja di kilang itu, dia menceritakan tentang kemusykilannya dan meminta rakan sekerja Hisyam yang sudah lama bekerja di situ supaya menceritakan hal yang sebenar kepada mereka berdua tentang rumah tersebut.

Syam terperanjat apabila mendengar cerita rakan sekerjanya itu. Menurut rakan tersebut, beberapa tahun lalu seorang jurutera muda yang menetap di rumah tersebut mati bunuh diri kerana patah hati setelah ditipu oleh kekasihnya. Menurutnya lagi, kekasih jejaka tersebut sangat cantik malah secara kebetulan wajahnya mirip Nita. Sejak itu, dikatakan rohnya seringkali mengganggu wanita atau isteri para jurutera yang menetap di rumah tersebut. Akibatnya, jurutera yang tinggal di rumah tersebut terpaksa berhenti kerja dan berpindah ke tempat lain bersama keluarganya.

bunuh diri

Setelah mendengar penerangan rakan Hisyam, pakcik Nita meminta supaya Hisyam segera berpindah ke rumah lain malam itu juga kerana menurut pemerhatian beliau, roh jejaka itu sudah jatuh cinta dengan Nita apabila Nita naik ke tingkat atas untuk mengemaskan bilik tersebut. Malah, dia bercadang untuk meragut nyawa Nita pada keesokan hari yang merupakan malam bulan purnama bagi mengisi kekosongan dan kesunyiannya di alam roh.

Tanpa berlengah lagi, Hisyam dengan bantuan beberapa orang rakannya telah berpindah ke rumah sewa lain yang terletak berhampiran dengan rumah pakciknya. Nita masih tidak faham dengan tindakan suami serta pakciknya. Hisyam tidak memberitahu perkara sebenar kepada Nita kerana dia tidak mahu membuat isterinya risau dan berfikir bukan-bukan. Kini Nita dan Hisyam hidup bahagia di rumah baru mereka.

Untuk pengetahuan semua pembaca setia kisahseram.com, artikel ini telah dipetik dari sebuah blog iaitu peluit.blogspot.my dan menurut blog tersebut artikel ini merupakan petikan daripada Majalah Remaja keluaran 15 April 2002.

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi kisahseram.com

Loading...

LEAVE A REPLY

Amaran:
Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Please enter your comment!
Please enter your name here