Penunggu Pokok Durian Depan Banglo Usang

Kisah seram ini telah dialami sendiri oleh abangku. Ketika kejadian, dia masih belajar di sekolah rendah. Aku cukup yakin, peristiwa yang berlaku ini tidak akan pernah dilupakan olehnya. Kejadian itu terjadi betul-betul di persimpangan jalan menuju ke rumah kami dulu. Sekarang ini keluarga kami sudah berpindah ke tempat lain.

Di persimpangan itu terdapat sebuah rumah banglo yang penuh dengan tanda tanya dan misteri. Dahulunya, di rumah banglo yang besar itu pernah terjadi kejadian rompakan di mana seluruh keluarga pemilik banglo tersebut dibunuh termasuklah dengan pembantunya sekali.

Sungguh tragis sekali kejadian yang terjadi menimpa mereka pada waktu itu. Sejak dari saat itu, rumah banglo itu ditinggalkan tidak berpenghuni dan menjadi rumah paling puaka di kampung kami. Ini kerana pada malam hari seringkali ada penduduk kampung yang terdengar suara tangisan pilu dan teriakan-teriakan yang datang dari dalam banglo yang telah lama ditinggalkan itu.

Rumah banglo itu mempunyai halaman yang sangat luas. Di bahagian kiri rumah terdapat banyak pokok pisang yang tidak terjaga, manakala di sebelah kanan pula adanya kuburan. Mengikut kata ibuku, itu adalah kuburan pemilik rumah yang mati dibunuh ketika dirompak itu. Sementara di depan rumah banglo itu terdapat sebatang pokok durian yang sangat rimbun dan di pokok durian itu begitu banyak cerita-cerita menyeramkan yang dikatakan terjadi.

Ada cerita yang pernah bertemu pontianak duduk bertenggek di salah satu cabang pokok durian itu lalu menghilang ke dalam banglo. Ada juga cerita pernah bertemu hantu raya, dan bertemu pocong seperti yang dialami sendiri oleh abangku.

Penunggu Pokok Durian Depan Banglo Usang

gambar hiasan

Mengulas tentang peristiwa abangku diganggu pocong, waktu itu selepas solat Maghrib. Abangku seperti biasa pergi mengaji al-Quran bersama kawan-kawannya di rumah Pak Haji Naim yang merupakan pakcik kami sendiri dan sekarang sudah meninggal dunia.

Rumah Pak Haji Naim ini terletak tidak berapa jauh dari rumah kami tetapi jika hendak ke rumahnya terpaksa lalu di depan banglo tersebut. Ketika berangkat pergi tidak terjadi hal yang aneh. Namun begitu entah mengapa ketika perjalanan pulang selepas habis mengaji, abangku boleh terpisah dengan kawan-kawannya dan dia terpaksa melewati rumah banglo puaka, gelap dan tidak berpenghuni itu sendirian.

Sampai sahaja di depan rumah banglo puaka itu, abang aku dah sedia untuk membuka langkah seribu. Tetapi pada saat dia ingin berlari, dia terdengar seakan-akan ada sesuatu yang terjatuh dari pokok durian itu. Akibat terkejut, dengan spontan abangku terus menoleh ke arah pokok durian itu, tapi tidak ada sesiapa pun di situ.

Lalu dia pun cepat-cepat membuka langkah untuk berlalu dari situ. Belum pun sempat dia pergi, tiba-tiba terdengar ada suara yang memanggilnya, “Nak, tolong nenek nak. Nenek terjatuh”. Abangku kembali menoleh ke pokok itu, dan barulah dia ternampak di situ ada seorang nenek tua yang sedang duduk di atas tanah yang sepertinya memang akibat terjatuh.

Penunggu Pokok Durian Depan Banglo Usang

gambar hiasan

Abangku merasa kasihan melihat nenek yang terjatuh itu dan tanpa berfikir perkara negatif yang bukan-bukan, abangku berjalan menghampiri si nenek untuk membantunya. Ketika hanya tinggal beberapa meter lagi akan mencapai si nenek tiba-tiba seluruh tubuh si nenek mengeluarkan asap. Semakin lama semakin banyak asap yang keluar hingga perlahan-lahan tubuh si nenek lenyap dan asap tersebut menjelma menyerupai sesosok pocong dengan muka yang menyeramkan. Alangkah terperanjatnya abangku melihat apa yang baru sahaja terjadi di depan matanya dan tubuhnya gementar ketakutan.

Peluh dingin mengalir membasahi badannya dan dia mencuba untuk lari sekuat tenaga. Tetapi apa yang anehnya dia hanya berlari setempat sahaja. Akibat dibelenggu dengan perasaan takut yang tak terhingga akhirnya abangku pengsan di situ. Saat abangku sedar ternyata dia sudah berada di rumah dan dikelilingi oleh beberapa orang tetangga termasuk pakcikku Haji Naim yang juga merangkap guru ngaji abangku.

Rupa-rupanya ketika abangku pengsan, orang tuaku berasa risau kerana waktu itu sudah hampir jam 10 malam tetapi abang aku masih belum pulang ke rumah. Akhirnya ayahku memutuskan untuk menyusul ke rumah pakcikku dan ketika melintasi rumah banglo kosong itulah ayahku menemui abangku yang terbaring pengsan di bawah pokok durian tersebut.

Penunggu Pokok Durian Depan Banglo Usang

gambar hiasan

Keesokan harinya barulah abangku menceritakan tentang kejadian yang dia alami kepada kedua orang tuaku. Setelah itu orang tuaku menceritakan bahawa memang dah ramai orang-orang kampung itu yang pernah terserempak dengan penampakan di rumah banglo itu dan juga di pokok durian itu. Semenjak kejadian itu, abangku tidak berani lagi melalui kawasan rumah banglo tersebut secara sendirian lebih-lebih lagi pada waktu malam.

Kejadian itu merupakan kejadian seram yang kata abangku tak mungkin dia mampu lupakan sampai sekarang. Aku pula bernasib baik dan agak beruntung kerana tidak lahir di kampung itu. Jadi aku tidak perlu merasai kepuakaan rumah banglo puaka tersebut.

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi kisahseram.com

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.