Pengsan Dicekik Hantu Ketika Mandi Sungai

Apa khabar pembaca setia kisahseram.com? Hari ini admin kisahseram.com akan berkongsi tentang sebuah berita gempar dari bumi kenyalang. Terdapat seorang gadis yang tengah bermandi-manda di Sungai Nibong, Sibu, Sarawak yang dikatakan pengsan secara tiba-tiba setelah gambarnya diambil oleh seorang rakannya. Setelah gambar tersebut diteliti , didapati ada penampakan objek berupa tangan misteri yang kelihatan seperti sedang mencuba untuk mencekik gadis berkenaan.

Percaya atau tidak, memang kelihatan jelas tangan makhluk (dalam bulatan) yang dipercayai hantu air yang dikatakan cuba mencekik mangsa. Meneliti gambar yang disertakan oleh berita ini, kelihatan jari-jemari aneh dan berkuku tajam seolah-olah bersedia hendak mencekik leher gadis tersebut. Terdapat juga kemungkinan bahawa gambar hantu ini terjadi akibat biasan cahaya dari air sungai. Namun begitu, gambar tersebut nampak begitu nyata dan menakutkan. Biasanya biasan air tidak akan menghasilkan imej sebegini.

hantu air

Di bawah ini merupakan petikan artikel asal yang disiarkan di dalam akhbar Utusan Borneo yang menceritakan mengenai kejadian misteri yang menimpa mangsa yang ketika itu sedang mandi di Sungai Nibong, Sibu, Sarawak.

SIBU: Penduduk di kawasan rumah panjang di Sungai Nibong, berdekatan Jambatan Sungai Nibong dekat sini gempar apabila mendapati seorang gadis remaja pengsan setelah mandi-manda di sungai terbabit, petang kelmarin. Menurut sumber, mangsa yang berumur dalam lingkungan belasan tahun dari rumah panjang berdekatan dikatakan merakam gambar sewaktu mandi manda sehingga muncul satu imej yang menyerupai tangan satu lembaga seolah-olah hendak mencekik leher mangsa.

Setelah mengambil gambar, mangsa terus naik ke tebing dan pengsan sehingga menyebabkan rakan-rakannya yang lain terkejut dan cuba membantunya. “Melihat mangsa gagal memberi sebarang tindak balas, salah seorang rakannya kemudian berlari ke rumah panjang berdekatan untuk meminta pertolongan,” ujar seorang rakan mangsa yang enggan dikenali kepada Utusan Borneo, semalam.

Jelasnya, setelah dimaklumkan penduduk rumah panjang yang kemudiannya terus bergegas ke tempat kejadian dan cuba memberikan pertolongan kepada mangsa termasuk menggunakan jampi tertentu.

Menurutnya lagi, sedang beberapa orang penduduk rumah panjang sibuk memberi pertolongan kepada mangsa, salah seorang rakannya sempat mengimbas gambar yang diambil dengan menggunakan telefon bimbit dan alangkah terkejutnya dia apabila melihat objek yang menyerupai tangan ‘hantu’ cuba mencekik mangsa kelihatan dalam gambar itu.

hantu air

“Salah satu tangan ‘benda’ itu terletak berdekatan dengan dagu remaja itu sementara tangan satu lagi sudah berada di tengkuk kirinya dan dilihat seolah-oleh bersedia untuk mencekik mangsa yang sedang berada di dalam sungai tersebut untuk memberikan posenya kepada rakan yang sedang mengambil gambarnya,” ujar sumber itu.

Jelas sumber itu, mangsa kemudian dibawa ke rumah panjangnya dan difahamkan sudah sedar dan keadaannya tidak membimbangkan. Bagaimanapun katanya, satu upacara ‘ngampun’ mengikut adat lama masyarakat Iban akan dijalankan hari ini (semalam) di sungai tersebut bagi meminta maaf kepada makhluk halus itu.

Bagi mengikuti perkembangan upacara terbabit semalam, Utusan Borneo tidak dibenarkan membuat liputan sama ada mengambil sebarang gambar di kawasan terbabit atas sebab-sebab tertentu bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

Gambar ini yang dikirimkan melalui ‘Multimedia Messaging Services’ (MMS) kepada telefon bimbit pemberita Utusan Borneo menimbulkan keanehan apabila tangan makhluk terbabit sungguh ketara dilihat jika ia diperhatikan betul-betul. Percaya atau tidak, ia terpulang kepada individu itu sendiri tetapi gambar ini menimbulkan misteri dan ia benar-benar berlaku di kawasan tersebut.

Sungai Nibong yang terletak kira-kira 30 meter dari pusat bandar dan terletak di Jalan Nibong-Tada. Kejadian itu berlaku tidak jauh dari jambatan Sungai Nibong yang terletak di jalan terbabit. Utusan Borneo turut diberitahu bahawa jalan raya di situ, sama ada sebelum dan selepas Jambatan Sungai Nibong itu merupakan satu tempat yang ‘sangat keras’.

Menurut penduduk di situ, jalan terbabit sudah banyak mengorbankan nyawa manusia yang terlibat dalam kecelakaan jalan raya. Kata mereka, setiap kemalangan yang berlaku di situ pasti akan meragut nyawa dan jarang yang selamat apabila ditimpa kemalangan di jalan terbabit.

Ada antara mereka menyatakan bahawa banyak pengguna jalan raya yang melalui jambatan terbabit kerap diganggu oleh makhluk halus terutamanya pada waktu malam. Jadi diingatkan kepada semua pembaca kisahseramdotcom agar sentiasa berhati-hati dan mengamalkan ayat-ayat pelindung diri supaya terhindar dari gangguan makhluk halus yang jahat.

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi kisahseram.com

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.