Nenek Tua Tumpang Selfie

Kisah seram ini diceritakan oleh salah seorang rakan saya beberapa tahun yang lepas. Peristiwa seram itu berlaku kepada sepupu kawan saya yang merupakan seorang ibu tunggal apabila dia membeli sebuah telefon bimbit baru. Biar saya namakan sepupu kawan saya itu sebagai Mariam (bukan nama sebenar) bagi memudahkan saya menceritakan semula tentang perkara yang telah berlaku terhadapnya.

Selepas seharian bekerja, Mariam pulang ke rumah lalu meletakkan telefon bimbit yang baru dibelinya pada hari itu di atas meja. Mariam ingin merehatkan badannya yang keletihan dan berbaring di atas sofa sambil menonton televisyen. Kemudian anak lelaki Mariam datang menghampiri Mariam dan meminta untuk bermain dengan telefon bimbit barunya itu. Mariam membenarkan anak lelakinya bermain telefon bimbit itu dengan syarat anaknya tidak boleh membuat panggilan kepada sesiapa atau pun bermain mesej.

Anak lelaki Mariam bersetuju dengan syarat yang diberikan oleh ibunya kerana dia cuma ingin bermain permainan yang ada di dalam telefon bimbit itu sahaja. Ketika waktu menunjukkan lebih kurang pukul 11.30 malam, Mariam berasa sangat mengantuk dan memutuskan untuk menjenguk bilik anak lelakinya dan memastikan dia telah tidur kerana esok pagi dia perlu ke sekolah.

Apabila Mariam masuk ke bilik tidur anaknya, namun dia terkejut apabila dia mendapati anak lelakinya tidak ada di dalam bilik itu. Dengan rasa cemas, Mariam terus berlari ke biliknya sendiri untuk mencari anaknya. Rupa-rupanya anak lelaki Mariam sedang tidur lena di atas katil di dalam biliknya bersama telefon bimbit yang masih berada di tangannya.

selfie

Gambar misteri yang melihatkan sebahagian muka seorang wanita tua

Melihat anaknya yang sedang tidur lena, Mariam berasa lega lantas dia mengambil semula telefon bimbitnya dari tangan anaknya untuk memeriksanya. Ketika memeriksa telefon itu, Mariam perasan hanya sedikit perubahan kecil yang berlaku seperti latar belakang baru, banner baru dan lain-lain perkara yang tidak begitu penting. Kemudian dia membuka bahagian gambar yang tersimpan di dalam telefon bimbit itu. Mariam mula memadamkan gambar-gambar yang telah diambil oleh anak lelakinya sehingga hanya tinggal satu gambar terakhir.

Apabila melihat sahaja gambar tersebut, Mariam bagaikan tidak percaya dengan apa yang dilihat oleh matanya sendiri. Gambar itu menunjukkan anak lelaki Mariam yang sedang tidur di atas katil, tetapi gambar itu diambil oleh orang lain yang berada di atas dia. Gambar itu menunjukkan sebahagian muka sebelah kiri seorang wanita tua.

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi kisahseram.com

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

+ 58 = 63