Misteri Rumah Sewa Biru Di Sungai Petani, Kedah

Kisah seram kali ini adalah berdasarkan kisah benar yang dialami oleh sebuah keluarga. Untuk makluman para pembaca kisahseram.com, kisah ini berlaku pada tahun 2004 ketika mereka sekeluarga menyewa sebuah rumah di satu kawasan taman di Sungai Petani, Kedah.

Segalanya bermula apabila rumah keluarga aku dalam proses untuk diubah suai dan baik pulih. Jadi kami sekeluarga terpaksa mencari rumah sewa untuk diduduki selama lebih kurang 6 bulan sementara menunggu rumah keluarga kami disiapkan sepenuhnya untuk proses ubah suai tersebut. Satu hari aku meronda sekitar kawasan taman untuk mencari rumah sewa dengan ditemani oleh seorang sahabat baik aku. Ronda punya ronda, kami terjumpa sebuah rumah kosong yang dicat warna biru. Rumah biru itu kelihatan sangat cantik dengan balkoni yang luas, siap berbumbung. Halaman rumah itu juga luas dan kemas. Kebetulan pula di depan pintu rumah biru itu tertulis ‘Rumah Untuk Di Sewa’.

untuk disewa

Tanpa membuang masa, aku yang sememangnya sudah tertarik dengan rumah biru itu memberitahu kepada ibu dan bapa aku berkenaan rumah tersebut. Mereka pun bersetuju untuk menyewa rumah itu. Setelah mengemas barang-barang, kami sekeluarga pun berpindah masuk ke rumah biru yang cantik ini. Warna cat yang hampir pudar di tambah lagi dengan lumut-lumut kecil yang ada pada dinding membangkitkan suasana misteri pada rumah ini.

Di rumah biru itu, kami tinggal berjiran dengan Makcik Ani. Dia kelihatan seperti sangat gembira apabila mendapat tahu bahawa dia bakal dapat jiran baru. Tapi yang peliknya, dari raut wajah Makcik Ani seakan-akan ada tanda tanya. Aku cuba berfikiran positif dan berfikir, “Mungkin Makcik Ani nak bersembang dengan kami kot. Dari mana kami datang? Siapa nama kami?”.

Tabiat abah aku, dia suka menonton televisyen sambil berbaring di ruang tamu. Sudah jadi rutian harian dia dah macam tu. Dalam asyik berbaring itu, kadang-kadang dia terlelap. Akhirnya bukan dia yang tengok televisyen tapi televisyen yang tengok dia. Aku pula dilarang keras untuk menonton televisyen sebab aku akan menduduki Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) pada tahun itu. Aku perlu lebihkan masa belajar di dalam bilik untuk menghadapi PMR yang bakal berlangsung.

tengok tv

Minggu kedua di rumah biru, semua barang-barang kami telah siap disusun rapi oleh ibu aku. Apabila keadaan dalam rumah sudah kemas dan bersih, semuanya terasa tenang. Sejuk mata memandang. Aku pula, kalau tengah mengulang kaji pelajaran aku akan kunci pintu bilik supaya adik-adik aku tidak dapat masuk ke dalam bilik dan mengganggu aku yang tengah kusyuk mentelaah buku. Maklumlah, adik-adik aku masih kecil lagi waktu itu.

Punyalah khusyuk sangat aku study, sampai aku tidak sedar pun yang jam dah menganjak ke angka 12 malam. Meja belajar aku ada cermin, dari cermin itu aku boleh nampak keseluruhan ruang bilik termasuklah bahagian pintu bilik. Tiba-tiba, muncul abah aku dengan muka yang seriusnya berdiri betul-betul di belakang aku. Tidak sedar pula aku bila masanya abah aku masuk ke dalam bilik. Mata aku yang tadinya kuyu, terus terbuka luas. Hilang rasa mengantuk, dan aku terus buat-buat macam tengah bersemangat mengulang kaji.

Kemudian aku menoleh ke belakang tetapi abah aku sudah tiada di situ, “Eh, mana pula abah ni? Bila masa pula dia keluar?”. Aku pun bangun, buka kunci pintu bilik dan keluar sebab rasa nak terkencing. Bilik aku adalah bilik yang paling depan dan bersebelahan dengan ruang tamu. Aku nampak abah aku tengah tengok televisyen, tapi tiada siaran pun masa itu kerana dah lebih pukul 12 tengah malam. Dulu-dulu kan mana ada siaran televisyen bila dah lewat malam. Aku tengok mata abah aku tepat je tengok ke arah televisyen dengan siaran kosong itu.

no signal

Pelik betul aku tengok abah aku. Aku fikir, takkan abah tidur dengan mata terbuka pula. Aku pun cuba la tegur abah tapi dia langsung tak bagi respon. Dia buat keras je, hanya matanya saja yang terjegil. Disebabkan aku dah nak terkencing sangat, aku tinggalkan abah dan terus menuju ke bilik air. Sampan depan tandas, aku ternampak ibu aku. Aku pun cakap la kat ibu aku, “Ibu nak masuk tandas juga ke? Ibu bagi kakak masuk dulu la, dah tak tahan sangat dah ni! Oh ya, ibu pergilah ajak abah tu masuk tidur. Dia dok tengok tv sorang-sorang tu kat depan”.

Lepas aku cakap tu terus ibu aku pandang aku atas bawah dengan muka pelik. “Hang ni dah kenapa? Abah ada tu dok tengah berdengkur dah dalam bilik, dia tidur awal malam ni sebab badan dia tak berapa sihat”, kata ibu aku. Mendengar itu, terus hilang rasa nak kencing tadi. Tak jadi aku kencing. Tiba-tiba rasa kosong dah pundi kencing aku. Untuk balik ke bilik, aku kena lalu kat ruang tamu.

Aku gagahkan jua diri pergi ke ruang tamu. Aku tengok ruang tamu kosong. Televisyen telah dimatikan. Namun dapat aku rasakan skrin televisyen itu masih panas, seolah-olah baru dimatikan. Dan-dan itu juga aku teringat yang pintu bilik aku berkunci tadi tapi muncul abah aku di belakang aku tiba-tiba, “Ya Allah, siapa sebenarnya yang ada dalam bilik aku tadi? Aku kunci pintu kan, abah pula tidur awal. Siapa pula berdiri belakang aku tadi?”. Malam itu, aku tidur dengan menekup muka dengan bantal busuk aku.

tutup kepala dengan bantal

Rutin ibu aku pagi-pagi, dia akan kupas bawang banyak-banyak di ruang tengah rumah sebab kami berniaga makanan. Dari waktu pagi hingga tengah hari, ibu akan sibuk di dapur. Aku pula, apabila hari cuti sekolah aku akan tolong ibu. Aku ingat lagi, pada hari cuti itu, sebakul dah aku kupas bawang. Tiba-tiba adik lelaki aku, Muhamad berlari-lari datang sambil melangkah bakul bawang aku. Aku terus marah si Muhamad, “Hei, tak nampak ke kakak buat apa ni? Main langkah saja bakul ni?!”.

Aku memang membebel la sebab adik lelaki aku, Muhamad ni memang nakal sikit orangnya. Ibu pula terus terkebil-kebil matanya memandang aku. Terus ibu aku cakap, “Kenapa dengan kakak ni, Muhamad kan takda, dia pergi sekolah ada sukan hari ini. Bila masa yang dia adanya?” Soalan ibu membuatkan aku meremang di siang hari. Tetapi aku dapat rasa angin hasil dari larian adik aku tadi. Jadi tak mungkin aku tersilap. Namun disebabkan hari yang masih siang, aku cuba menenteramkan diri yang sudah mula terfikir hal yang bukan-bukan.

Tidak lama selepas itu, kami sekeluarga balik ke kampung yang terletak di Pahang selama seminggu kerana ada hal kecemasan di sana. Apabila kami pulang kembali ke rumah kami, Makcik Ani menyapa ibu, “Balik dari mana ni?” Ibu pun bercerita la pada Makcik Ani bahawa kami ada hal keluarga di Pahang dan sudah seminggu tiada di rumah. Mangkuk lauk yang tengah dipegang oleh Makcik Ani untuk diberi kepada kami, terus terhempas jatuh ke tanah. Dia terkejut bukan kepalang sebaik sahaja mendapat tahu yang kami tiada di rumah selama seminggu.

“Tie, Ani tak rasa pun yang Tie tak ada seminggu kat rumah, sebabnya Ani nampak ada ja orang. Ani baru nak tanya pasal apa kurung Muhamad kat luar rumah sebab bila Ani tanya kat dia, dia tak jawab. Ani panggil Tie, Tie tak keluar. Ani dengar je bunyi mandi, orang masak dan makan dalam rumah. Waktu malam pula lampu terpasang, cuma Muhamad duduk kat luar. Ani cuma nampak Det je yang keluar masuk dalam rumah, kadang-kadang lalu di tepi rumah tengok ayam belaan Tie. Tapi dia tak ada cakap apa-apa, terus masuk ke dalam rumah”, dengan panjang lebar Makcik Ani meluahkan rasa peliknya.

Meremang habis bulu roma ibu aku apabila mendengar cerita Makcik Ani. Sebelum ini, kalau aku cerita, ibu aku seolah-olah sukar nak percaya, mungkin sebab dia ingat aku saja nak main-main agaknya. “Benda” itu selalu menyerupai abah dan Muhamad. Tak ada pula ‘benda’ itu menyamar jadi orang lain selain abah dan Muhamad. Sepanjang enam bulan kami tinggal di rumah biru itu, macam-macam yang telah kami lalui. Bergai usaha yang kami lakukan untuk mengelak gangguan seperti membaca Yassin, buat doa selamat dan sebagainya.

hantu rumah

Alhamdulillah keadaan semakin reda dan makhluk halus itu dah keluar dari rumah biru yang kami sewa itu. Sewaktu kami nak berpindah keluar kerana rumah keluarga kami dah selesai semua proses membaik pulih, barulah Makcik Ani menceritakan segala-galanya kepada kami. Sebelum kami menyewa di situ, rumah biru ini dah dibiarkan kosong selama 8 tahun. Semua yang menyewa di rumah ini, tidak pernah lebih dari sebulan. Semua cabut lari. Makcik Ani memang tunggu orang datang duduk di rumah itu sebab dia pun tidak tahan kerana turut terkena gangguan yang datang dari rumah biru itu.

Bunyi orang menyanyi, memasak, mengemas rumah, bertengkar, berlari, semua itu perkara biasa. Makcik Ani berharap agar dapat jumpa jiran yang dapat tinggal lama di rumah itu. Alhamdulillah lepas habis tempoh kami menyewa di situ, tuan rumah biru itu yang merupakan askar di Terengganu, kembali tinggal di rumahnya. Alhamdulillah juga sebab makhluk halus yang menghuni rumah itu tidak muncul dengan rupa yang menakutkan. Siapa sangka, siang-siang hari pun makhluk itu tetap rancak mengganggu manusia. Namun aku tetap bersyukur kerana semuanya selamat.

Untuk makluman para pembaca kisahseram.com, sumber kisah seram di atas dipetik dari laman web says.com.

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi kisahseram.com

Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Editor & founder orangperak.com
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.