Misteri Jalan Lama Bukit Putus

Sebut sahaja nama Bukit Putus, bukan setakat penduduk Negeri Sembilan yang kenal dengan nama yang cukup masyhur ini, malah masyarakat luar juga turut mengetahui mengenainya. Satu ketika dahulu, jalan Bukit Putus yang rupanya seperti ular kena palu menjadi laluan utama dari Seremban ke Kuala Pilah.

Cerita-cerita mistik sering menjadi buah mulut pengguna jalanraya yang melalui jalan di Bukit Putus ini terutamanya mereka yang pernah mengalami sendiri gangguan-gangguan pelik sewaktu menggunakan jalan tersebut. Namun apabila jalan baru sejauh 6.9 kilometer dibuka secara rasmi pada 25 November 2009, jalan Bukit Putus yang berkelok 32 itu, dari hari ke hari semakin ditinggalkan sepi. Seterusnya, meninggalkan Bukit Putus kekal diselubungi misteri.

bukit putus

Selain daripada kisah-kisah seram dan misteri, laluan berliku dan berbukit itu sendiri kurang disukai oleh pemandu. Selekoh yang tajam dan jalannya yang sempit pasti mengerikan bagi pemandu baru yang baru pertama kali melaluinya. Disebabkan keadaan jalan inilah yang menyumbang kepada kurangnya pemandu untuk terus menggunakan jalan berliku dan merbahaya di laluan Bukit Putus itu.

Mendengar cerita-cerita mistik yang banyak tersebar dari mulut ke mulut mengenai Bukit Putus juga boleh menjadikan bulu roma meremang. Antara kisah yang popular adalah kisah seorang lelaki tanpa kepala yang mengilai berdekatan satu pokok besar dekat satu selekoh. Malah ada juga pengguna jalanraya Bukit Putus yang pernah terserempak dengan sekumpulan manusia sedang berjalan sambil mengusung keranda dan membawa obor. Selain itu, ada yang mendakwa melihat pocong berdiri di kaki Bukit Putus.

Di samping itu juga terdapat cerita bantal peluk (bantal peluk atau sebenarnya pocong?) yang bergolek mengejar kenderaan, bebola api berterbangan di sekitar jalan, gerai misteri yang berniaga di tengah malam sehinggalah cerita bahawa ada yang terlihat sepasang manusia lelaki dan wanita sedang melapah daging monyet di selekoh yang terdapat juraian air bukit. Di bawah adalah antara kisah-kisah seram yang diceritakan secara terperinci oleh orang yang mengalaminya sendiri.

Kisah Seram 1: Kereta Tiba-Tiba Jadi Berat

Kisah ini diceritakan oleh Ismail Shah Abd Samad. “Waktu itu tahun 2002, jam 2.30 pagi dari arah Seremban. Masa itu, jalan lengang langsung tiada kereta atau lori. Saya pun tidak fikir apa-apa, sehinggalah berhampiran Kem Pengakap sebelah kiri, tiba-tiba kenderaan saya jadi berat. Memang nak naik ke jalan itu agak payah,” kata beliau.

Katanya, dia hanya terfikir bahawa keretanya rosak kerana kenderaan miliknya itu memang sering meragam. Selepas itu Ismail melihat cermin pandang belakang, untuk melihat kalau-kalau ada kenderaan lain untuk meminta bantuan. Tetapi apa yang beliau nampak adalah objek berwarna putih dan samar-samar berada di bonet belakang kereta. Automatik menggigil satu badan beliau ketika itu.

hantu tumpang kereta

“Saya teruskan perjalanan, sambil itu membaca ayat Kursi tetapi secara tiba-tiba bau wangi kapur barus pula yang muncul. Memang sangat seram waktu tu. Apabila tiba di puncak Bukit Putus, terdengar bunyi angin yang kuat dan dengan tidak semena-mena juga kereta saya menjadi ringan,” cerita Ismail lagi.

“Itulah peristiwa yang paling saya tidak boleh lupakan sehingga kini. Saya juga pernah berbual dengan pemandu lori di hentian rehat Ulu Bendul dan mereka memberitahu saya bahawa sekitar jam 2 pagi hingga ke 4 pagi, jalan itu akan diganggu oleh Pontianak,” ujar Ismail menamatkan bicara.

Kisah Seram 2: Perempuan Bersama Tiga Anak

Kisah perempuan bersama tiga anaknya ini pula diceritakan oleh Shahrudin Abd Halim. “Ini cerita tahun 90-an dulu. Masa itu, saya bertugas dalam Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM). Saya berulang alik dari Felda Kepis ke Seremban. Kejadian itu berlaku selepas selesai habis bertugas. Saya bergerak dari JPAM lebih kurang jam 12.30 tengah malam dan tiba di laluan kedua selekoh jam 1 pagi dari Seremban,” kata Shahrudin.

“Tempat saya nampak perempuan misteri itu adalah di kawasan kebun durian dekat selekoh paling tajam di jalan lama Bukit Putus. Masa itu saya naik kereta. Sebelum ini, ada kawan yang beritahu saya bahawa laluan itu agak menakutkan tetapi saya tidak percaya. Hinggalah, pada malam itu, saya ternampak sendiri seorang perempuan berjalan di tengah jalan bersama tiga anaknya termasuk seorang yang didukung,” sambung beliau.

pontianak dukung anak

Perasaan saya ketika itu, hanya ALLAH SWT sahaja yang tahu. Jika difikirkan ikut akal logik, takkanlah jam 1 pagi ada orang yang berjalan di kawasan itu dan di kawasan itu tiada sebuah rumah pun. Memang seram sejuk waktu itu. Habis meremang bulu roma saya. Saya meneruskan perjalanan seperti biasa tanpa menegur perempuan itu,” kata Shahrudin Abd Halim lagi.

Kisah Seram 3: Orang Usung Keranda

Kisah yang ketiga ini dikongsi oleh Mashitah Idris yang terserempak dengan sekumpulan orang yang tengah mengusung keranda pada waktu tengah malam. Hanya orang yang ‘bernasib baik’ sahaja yang akan diganggu oleh makhluk halus. Lebih ‘bertuah’ jika makhluk halus itu menampakkan rupa mereka yang sebenar.

“Saya dahulu berulang alik dari Seremban ke Kuala Pilah kerana bertugas di Jabatan Pengangkutan Jalan Raya. Saya pernah mengalami gangguan seperti lampu kereta tiba-tiba terpadam dan radio turut senyap. Waktu itu jam menunjukkan pukul 1 pagi,” kata Mashitah Idris memulakan cerita beliau.

“Apabila diganggu, saya meneruskan perjalanan seperti biasa. Dalam perjalanan, tiba-tiba saya ternampak pula sekumpulan orang yang tengah mengusung keranda. Saya lega apabila melihat ada orang ramai. Waktu itu langsung saya tidak terfikir perkara yang bukan-bukan walaupun ketika itu sudah melebihi waktu tengah malam,” ujar Mashitah lagi.

usung keranda

“Perasaan takut mula hilang. Namun apabila saya tiba di puncak bukit, barulah saya terfikir semula, di selekoh ketiga itu mana ada rumah orang dan baharulah saya tersedar, mungkin apa yang saya lihat bukan orang sebenar. Nasib baik juga saya hanya terfikir tentangnya selepas dah sampai ke puncak bukit, jika tidak pasti saya akan ketakutan waktu itu,” kata Mashitah Idris menamatkan perbualan.

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi kisahseram.com

Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Editor & founder orangperak.com
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.