Menyingkap Misteri Kampung Tanduo Di Sabah

Dalam artikel kali ini, kisahseram.com akan mengungkap misteri Kampung Tanduo yang terletak di Lahad Datu, Sabah. Kampung Tanduo merupakan antara lokasi yang dijadikan sebagai pusat sehenti dan sarang pengganas. Matlamat utama kumpulan pengganas ini adalah untuk merampas negeri Sabah dari kerajaan Malaysia. Namun ada sesuatu yang lebih menarik ingin dikongsikan bersama anda.

Difahamkan, Kampung Tanduo sebenarnya dikatakan telah menyimpan 1001 misteri sejak lebih 50 tahun dahulu. Misteri yang dikaitkan ini adalah seperti penemuan lembaga aneh, makhluk halus dan lain-lain lagi. Ikuti kisah pengembaraan dua wartawan akhbar Sinar Harian yang bertandang ke Kampung Tanduo tidak lama selepas peristiwa Op Daulat di Lahad Datu, Sabah.

peta kampung tanduo

Peta Kampung Tanduo

Bunyi aneh, jeritan, raungan kesakitan, terserempak kelibat manusia, merupakan antara perkara yang dilalui oleh penduduk kampung berhampiran dan anggota keselamatan yang berkawal di Kampung Tanduo. Sejak awal menjejak kaki di Felda Sahabat, Lahad Datu, pelbagai kisah misteri yang berlaku selepas Op Daulat disuakan ke telinga kami.

Kisah Kampung Tanduo yang menjadi lokasi dan tempat berkumpulnya lebih 100 pengganas tidak lama dahulu, bukan setakat yang dilihat dengan mata kasar. Kewujudan kampung itu sejak 50 tahun lalu, sebelum ini dikatakan sebagai perkampungan haram, sebenarnya menyimpan 1001 misteri yang masih belum terungkai.

Beberapa penduduk berhampiran, terutama dari Felda Sahabat 17 yang ditemui mendakwa bahawa mereka pernah terserempak dengan kelibat aneh ketika sedang memandu kereta untuk keluar ke Pekan Lahad Datu. Menurut seorang penduduk bernama Ali Hadi, 30, dia pernah ‘bertemu’ dengan ‘lembaga’ seperti manusia yang melintas di laluan utama kawasan Felda itu.

roh

Penampakan kelibat di Kampung Tanduo

“Masa tu hujan turun renyai-renyai. Saya sedang memandu dan hampir melanggarnya. Tetapi lembaga itu sempat mengelak. Bila saya menoleh ke sebelah kanan, lembaga itu menghilang”, kata Ali. “Saya beranikan diri turun daripada kereta. Saya memeriksa kawasan sekitar kerna khuatir jika benar-benar terlanggar orang. Apabila saya periksa di tepi belukar, memang tiada siapa yang saya langgar. Tiba-tiba muncul perasaan seram. Saya masuk ke dalam kenderaan dan terus memecut laju,” cerita Ali lagi. Menurut Ali, hingga hari ini dia masih belum menemui jawapan siapa atau apakah yang dilanggarnya ketika itu.

Seorang lagi penduduk Felda Sahabat 17, yang hanya mahu dikenali sebagai Mat, 47, juga menceritakan perasaan aneh yang sering dirasainya terutama bila menjelang senja. Menurut Mat, ada satu hari dia terdengar bunyi seperti seorang lelaki sedang menjerit dekat kebun kelapa sawit berhampiran rumahnya.

“Mendayu-dayu. Nak kata bunyi anjing bukan, sebab bila saya jenguk di tingkap suara itu masih jelas didengari. Isteri saya juga turut mendengarnya. Kami buat keputusan cuba hubungi polis, tapi kemudian bunyi itu lenyap begitu sahaja,” kata Mat.

Perkara itu turut diperkukuhkan lagi apabila ada anggota pasukan keselamatan yang turut mengalami perkara aneh ketika melakukan rondaan pada waktu malam. “Kami beberapa kali terdengar bunyi suara orang meminta tolong. Suara itu seperti dalam kesakitan. Bila diperiksa, tiada sesiapa. Perkara ini sering dialami oleh anggota keselamatan terutama pada waktu malam dan juga pada waktu tengah hari,” katanya.

kem kampung tanduo

Kampung Tanduo kini dijadikan sebagai kem tentera

Malah ada juga anggota pasukan keselamatan yang mendakwa pernah terdengar seolah-olah bunyi tembakan. Menurutnya pernah pada suatu ketika mereka terdengar seperti bunyi lolongan tetapi bila diperiksa di lokasi berkenaan yang terletak betul-betul berhampiran Kampung Tanduo, tidak ada sesiapa di situ.

Peluang menjejak kaki ke Kampung Tanduo, kisah misteri yang disampaikan seperti sukar untuk dinafikan. Ditambah apabila gambar satu objek pelik yang dirakamkan oleh penduduk Felda Sahabat ditunjukkan kepada kami. Melalui jalan-jalan sunyi dan menjengah beberapa tempat di sekitar Kampung Tanduo, ada sejenis aura yang dirasai.

Tidak dapat dipastikan sama ada yang hadir itu ‘angin’ negatif atau sebaliknya, namun paling nyata ia menyuntik rasa berjaga-jaga sepanjang berada di sini. Bertandang seketika di surau Kampung Tanduo, ada semilir hangat yang menampar kulit. Riak degup dada berubah rentak. Juga terasa seakan-akan ada mata yang memerhati dan mengawasi kehadiran kami di situ.

surau tanduo

Surau Kampung Tanduo dijadikan tempat pertama kumpulan pengganas berkumpul

Tidak tahu kenapa kami berperasaan begitu namun rasa aneh itu terjawab apabila diberitahu bahawa surau itu sebelum ini pernah menjadi lokasi pendaratan pengganas. Di tanjung Sungai Tanduo, perasaan sama muncul kembali. Ketika merakam beberapa keping foto perahu panjang dan perahu laju di tanjung sungai itu, saat itulah perasaan sama muncul kembali.

Terasa seakan ada suara yang menyeru supaya terus mara. Menghampiri, mendekati perahu-perahu yang ditinggalkan itu. Namun ‘sergahan’ anggota keselamatan yang mengiringi, menasihatkan kami supaya berpatah balik, mematikan langkah untuk terus ke hadapan. Rupa-rupanya kawasan itu adalah tempat pengganas menyimpan bot dan perahu. Memang sepanjang berada di tebing sebarang tanjung sungai, kami merasakan ada mata yang dari arah semak, memerhati setiap gerak langkah kami. Juga terasa seperti ada ‘suara’ yang memanggil-manggil agar melintas ke seberang menuju ke semak berkenaan.

perahu

Bot pancung pengganas yang dimusnahkan

Sebetulnya, kami tidak mahu berfikiran negatif atau diselubungi pengaruh mistik sepanjang bertugas di sini. Dan kerana itu, kebanyakan perkara yang dirasai, kami pujuk hati untuk menidakkannya. Hari merangkak petang. Namun kami tidak mampu menipu perasaan sendiri. Aura aneh kembali hadir ‘mengacau’ jiwa. Semakin lama semakin kuat. Dan secara diam, hadir perasaan ingin menunggu di lokasi kejadian.

Tetapi kehendak hati terhalang kerana anggota keselamatan yang mengiringi kami sudah memberi isyarat untuk keluar dari kawasan itu. Kami bergerak ke arah kawasan rumah yang dikatakan menjadi tempat simpanan senjata kumpulan pengganas. Kami melalui kawasan perkuburan pengganas yang ditemui oleh pasukan keselamatan, ia juga menjadi lokasi di mana rakan kami merakam foto objek pelik menggunakan kamera telefon bimbitnya.

tapak kubur

Tapak kubur yang pernah menempatkan 14 mayat penceroboh yang terbunuh

Kami tidak pasti apa objek berkenaan dan tidak pula mengatakan terdapat gangguan misteri di situ. Dalam masa yang sama kami tidak mahu menafikan keanehan objek itu, serta mengakui memang ada sedikit rasa yang agak berbahang di kawasan berkenaan. Boleh dikatakan rasa yang sama wujud di setiap lokasi dijejaki yang melibatkan pengganas.

Ada kemungkinan juga ‘bahang’ yang dirasai merupakan kesan-kesan haba akibat pengeboman yang dilakukan semasa Op Daulat dahulu. Seterusnya kami menjejak ke kawasan rumah yang didakwa menjadi tempat simpanan senjata serta tempat berlindung sementara kumpulan pengganas.

Dari situ, langkah kami mencecah ke kawasan kolam udang yang dikatakan sebagai sebahagian taktik pengganas menyusup masuk ke Kampung Tanduo. Entah benar atau sekadar mainan perasaan di remang senja, di situ terasa juga ada mata yang memerhati setiap pergerakan kami. Berbeza dari kawasan sebelum ini, rasa ini lebih mengarah ke dalam kawasan kolam dan ketika ini, terasa degup jantung lebih kencang berbanding biasa.

kolam udang

Pengganas Kiram menggunakan kolam udang sebagai muslihat untuk menyusup masuk ke Tanduo

Dalam perjalanan pulang, ketika melewati semak, telinga menangkap bunyi derapan orang berlari. Namun tidak kelihatan apa-apa di sekeliling. Mata terus liar memerhati untuk memastikan perjalanan kami selamat dan tiada yang menghidu pergerakan.

Alhamdulillah, kami dilindungi-Nya untuk sampai ke Felda Sahabat dengan selamat. Terkenang kembali pengalaman semasa perjalanan tadi, secara tidak sengaja kami ada mendengar perbualan antara anggota pasukan keselamatan yang mengatakan mereka pernah terlihat kelibat manusia sewaktu berkawal.

Sama ada ia benar-benar manusia atau bukan tiada dapat dipastikan. Bagaimanapun, telah diakui oleh orang ramai termasuk penduduk dan pasukan keselamatan bahawa, kebiasaannya kawasan peperangan pasti akan menyimpan selingkar kisah-kisah misteri.

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi kisahseram.com

Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Editor & founder orangperak.com
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.