Kisah Seram Si Kaki Pancing

Majid merupakan seorang kaki pancing tegar, sebut sahaja mana-mana lubuk atau sungai yang terdapat banyak ikan, tentunya Majid pernah pergi memancing di situ. Memang Majid ini orangnya pantang mendengar mengenai tempat-tempat yang terdapat banyak ikan, pasti dia akan pergi mencuba nasib menaikkan ikan di kawasan itu kerana minatnya yang mendalam terhadap memancing.

kaki pancing

Pada suatu hari semasa sedang minum di kedai kopi Pak Ndak Leman, Majid terdengar orang-orang kampungnya bercerita tentang satu lubuk baru yang banyak ikan. Lubuk itu baru ditemui berdekatan dengan muara sungai di kampung seberang. Kampung itu terletak agak jauh di pedalaman dan kawasan sungai itu jaraknya lebih kurang tujuh kilometer dari kampung tersebut. Bukan sahaja jauh, malah sungai itu juga terletak berdekatan dengan pinggir hutan.

lubuk ikan

Tengahari tu, Majid bersiap-siap untuk pergi memancing di lubuk yang diceritakan. Selepas memakai helmet, Majid memasukkan bekalan minum petang dan alat pancingnya ke dalam raga motor. Majid bernyanyi riang sepanjang perjalanan ke lubuk berkenaan. Agak jauh perjalanan ke kampung seberang itu, hampir masuk waktu Asar baru Majid sampai ke destinasi yang dituju. Tiba-tiba, teringat pula bahawa dia belum sempat menunaikan solat Zohor sebelum bertolak tadi. Tidak lama kemudian Majid ternampak sebuah surau yg agak uzur di hujung kampung itu.

Keadaan sekitar surau itu agak sunyi namun begitu dia tetap bergegas berhenti demi menunaikan kewajipannya sebagai seorang hamba. Dilihatnya sekeliling surau tidak ada seorang pun, sunyi sepi surau tu. Majid segera mengambil wuduk dalam kedaan yang tergesa-gesa kerana waktu Zohor sudah hampir tamat. Semasa Majid berada dalam rakaat yang kedua, tiba-tiba dia terdengar bunyi suara orang ketawa.

surau lama

Mendengar akan suara ketawa itu, bulu roma Majid tiba-tiba meremang, “Hish, siapa pula yang gelak-gelak tu?” bisik hati kecil Majid. Setiap kali Majid sujud, dia terasa kepala dan tengkuknya lebih berat daripada biasa. Majid semakin berasa tidak sedap hati, “Ini surau tinggal ke?” suara hatinya berbisik disebabkan keadaan surau yang sangat uzur dan sunyi sepi itu tadi. Dan yang lebih menyeramkan, apa pula yang duduk kat tengkuk dia ni.

Sedaya-upaya Majid berusaha menenangkan hatinya dan selesaikan solat dengan segera. Majid mahu meninggalkan surau itu cepat-cepat. Bulu romanya semakin meremang dan Majid berasa seriau kerana suara orang ketawa kuat dan seolah-olah semakin ramai, malahan ada yang sampai terbatuk-batuk. Namun syukur kerana Majid sudah berada di tahiyyat terakhir solatnya. Selesai memberi salam ke kanan dan ke kiri, Majid meraup mukanya dengan tangan dari atas ubun-ubun kepala sampailah ke dagu. Kemudian, Majid tiba-tiba tersedar akan sesuatu.

hantu

Alamak, rupa-rupanya Majid terlupa untuk menanggalkan helmet semasa hendak sembahyang tadi dek kerana terlampau nak cepat. Patutlah dia mendengar orang ketawa, apabila Majid menoleh belakang, rupa-rupanya tok imam, bilal dan orang2 kampung yang datang ke surau untuk sembahyang Asar semua ketawakankan dia kerana Majid sembahyang dengan memakai helmet. Itulah sebabnya mengapa kepala dia terasa berat semacam.

ketawa

Terus Majid keluar daripada surau dan berlalu begitu sahaja kerana tidak dapat menahan malu. Majid si kaki pancing ini terus tak jadi pergi memancing, dia pusing balik dan kembali semula ke rumahnya disebabkan malu diketawakan dan dijadikan bahan oleh orang-orang kampung sebelah. Cerita mengenai orang yang sembahyang pakai helmet terus tersebar sehingga ke kampung Majid tetapi nasib baik juga orang kampungnya tidak tahu siapa orangnya yang sebenar.

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi kisahseram.com

Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Editor & founder orangperak.com
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.