Kisah Seram Rumah Depan Kubur Diganggu Arwah

Aku nak ceritakan pengalaman seram aku semasa menetap di rumah lama sebelum aku sekeluarga berpindah ke rumah baru dalam tahun 2005. Jarak dari rumah lama ke rumah baru aku ni tak jauh mana pun. Rumah lama aku terletak di kampung seberang je. Nama kampung tu adalah Kampung Raja Uda atau singkatannya KRU di Port Klang, Selangor.

Untuk makluman pembaca setia kisahseram.com, kat kawasan rumah lama aku ni, ada lebih kurang dalam 34 buah rumah yang dibina sederet. Rumah nombor 1 hingga nombor 8 terletak berhadapan dengan perkuburan Islam, rumah nombor 9 hingga nombor 14 pula di depan rumah teres dan yang selebihnya semua kat depan loji. Rumah lama aku ni terletak yang betul-betul depan kubur.

Pada masa itu kalau ada orang tanya tinggal di mana, rata-rata penghuni kat situ akan jawab depan kubur je. Bagi sesaapa yang tinggal di Kampung Raja Uda tahu la kat mana tempatnya. Tetapi kubur ini tidaklah seram walaupun ada pokok ketapang yang rendang di situ. Kubur tu dah macam taman syurgawi, penuh dengan lampu-lampu jalan kat dalam kawasan kubur tu. Aku dan kawan-kawan aku pernah bermain besbol kat dalam tu. Kalau masa dekat-dekat nak raya tu lagi seronok, siap main meriam buluh lagi dalam kawasan kubur tu. Sebab apa main kat kubur? Sebabnya kalau bapak kitorang kejar, sempatlah kiranya nak lari jauh sikit.

kubur

Aku masa kecik-kecik dulu memang agak nakal, gaya pun ala-ala tomboy gitu. Sebelum aku mulakan cerita seram ini, diingatkan kepada para pembaca kisahseram.com bahawa cerita ini bukanlah bertujuan untuk mengaibkan sesiapa. Cuma sekadar sebagai renungan dan juga ingatan untuk kita bersama.

Alkisahnya, cerita ini berlaku pada tahun 90-an. Aku tak berapa pasti sama ada ianya berlaku pada tahun 1998 atau tahun tahun 1996. Pada masa itu ada perlawanan bola sepak World Cup atau Euro, tak ingat pula aku perlawanan yang mana satu sebab aku bukannya peminat bola. Pada masa itu ada salah seorang daripada penduduk kampung ni meninggal dunia (al-Fatihah). Arwah ini ada pertalian saudara jauh jugak dengan aku. Selepas kematiannya, berlaku gangguan-gangguan misteri di kampung aku selama lebih kurang 30 hari.

Bermula pada petang hari si arwah ni dikebumikan tu, ramailah juga penduduk kampung yang berada kat kubur. Tiba-tiba ada seorang budak perempuan berumur dalam 6 tahun dari rumah bernombor 8, menjerit cakap kat mak dia, ” Mak, ada hantu kat kubur!”. Jadi mak dia marahlah sebab ingat anak dia main-main dan juga takut menyinggung hati keluarga arwah. Selepas itu, terus mak dia bawak budak perempuan itu balik ke rumah. Sejak dari hari itu, budak perempuan itu berubah menjadi murung. Muka dia pucat je, makan pun tak nak. Pastu dia asyik cakap ada hantu kat kubur. Sampai dekat seminggu, barulah keluarganya bawak dia pergi berubat untuk pulihkan semula semangat. Selepas berubat, budak perempuan itu dibawa duduk kat rumah saudaranya di tempat lain.

hantu kubur

Untuk pengetahuan semua, rumah aku ni adalah rumah papan. Di depan rumah aku ada sebatang pokok nangka, jadi kat depan rumah aku tu penuh dengan daun-daun nangka kering. Kalau siapa tak tahu daun kering dari pokok nangka ni tak sah kalau tak berbunyi jika dipijak. Jadi, setiap kali ada orang lalu depan rumah kitorang akan tahu. Satu malam, aku dan kakak aku tengah tengok televisyen pada lewat malam kira-kira dalam pukul 12-1 pagi. Tiba-tiba, kedengaran bunyi dung dung dung dung. Ada orang dok gendang dinding umah aku yang betul-betul kat bawah pokok nangka.

Kakak aku yang bangang terus bertanya, “Siapa tu??”. Bongok sungguh, sah-sah tidak ada langsung bunyi orang yang lalu kat depan rumah aku. Aku ckp kt dia dgn isyarat, “Kau diam boleh tak?”. Lepas tu, terus kitorang tutup televisyen dan bergegas masuk ke dalam bilik dan tidur. Nasib baik kejap je aku dah terlelap.

Malam seterusnya pula, ketika aku sekeluarga termasuk mak dan abah aku tengah tengok televisyen, dalam pukul 11 malam tiba-tiba bunyi gedegang!! Bunyi macam buah nangka jatuh atas bumbung zink rumah kami (pada waktu itu aku ingatkn ada buah nangka depan rumah aku dah masak). Jika ikutkan logik, ‘buah nangka’ itu sepatutnye bergolek jatuh gedebuk depan rumah, tapi tak! Ia terus bergolek-golek di atas bumbung zink mnghala ke umah sebelah! Kami semua mendongak memandang ke arah bumbung sambil mata menghala ke arah bunyi bergolek itu datang.

Kami dengar bunyi ‘ia’ bergolek pastu siap sambung bergolek ke bumbung rumah sebelah lak sampai ke hujung. Rumah kami agak rapat, ditambah pula dengan bumbung zink jadi jika ada apa-apa yang bergerak kat atas tu memang dengar sangatlah. Apalagi, terus aku, akak dan abah membaca ayat kursi. Pastu abah suruh kitorang semua masuk bilik dan tidur. Nasib baik adik-adik aku tak menangis masa tu.

Keesokan paginya, abah dan mak berbincang tentang kejadian pelik yang berlaku malam tadi. Buat sementara waktu, abah meminta mak membawa kitorang adik-beradik pergi bermalam di rumah nenek. Nasiblah rumah nenak kat kampung sebelah je, senang nak ulang-alik. Lepas mak balik kerja dan ambik kitorang, terus mak bawak pergi ke rumah nenek. Tinggallah abah sorang je dok umah. Hati dia kental sikit, lagi pun masa tu kan tengah ada perlawanan bola(Euro atau World Cup). Jadinya dia nak tinggal kat rumah tengok bola. Ha, sanggup tu hadap gangguan semta-mata nak tengok bola! Abah kata sepanjang kitorang tidak ada kat rumah lepas tu, ‘dia’ hanya ketuk dinding dan golek-golek je.

Lebih seminggu kemudian, abah bangun tengah-tengah malam dalam pukul 2 pagi camtu sebab nak tengok bola. Mula-mula okay je, sampai masa rehat 15 minit tu, abah turun ke dapur nak makan. Abah makan sambil mengadap ke tingkap dapur yang da jammed tak boleh nak tutup rapat. Belakang rumah kami ada parit and landasan kereta api. Semasa abah tengah makan tu, tiba-tiba datang angin kuat tak tentu hala macam nak hujan. Tengah abah tunduk makan, dengan tidak semena-mena langsir dapur yang ditiup angin menyapu ke muka dia dan membuatkan dia mendongak.

hantu luar tingkap

Nah kau, tegak berdiri di luar tingkap dapur adalah lembaga yang mirip wajahnya dengan arwah yang baru dikebumikan hari itu. Di mukanya terdapat bintik-bintik, mungkin itu adalah kesan kotoran tanah. Dia merenung tajam ke arah abah. Abah terkejut dan terdiam sekejap. Pastu abah tunduk buat tak tahu saja, dan sempat menghabiskan makanannya sebelum naik balik sambung tengok bola (errk, boleh pulak kan?). Tapi ada akibatnya sebab tak melayan kunjungan ‘dia’.

Sementara itu, cerita dari rumah sebelah pulak, serentak dgn kes abah tadi. Semasa angin tiba-tiba bertiup kencang, jiran aku yang aku panggil sebagai tok anjang (sedara gak), yang juga tengah tengok bola pada masa tu, bangun dan terus buka pintu. Ini dia sendiri yang ceritakan balik, dia kate angin bersimpang siur, bukan datang dari satu arah je. Pastu die cakap, “Dia dah datang dah”. Lepas dia tutup je pintu, tiba-tiba dia terdengar suara anak perempuan dia menjerit memanggl adiknya yang lelaki. Mendengar jeritan itu, terus dia bingkas bangun menuju ke bilik anak perempuannya. Tapi dia lihat anak perempuannya itu sedang nyenyak tidur dengan isterinya. Kemudian, dia jengah lak anak lelakinye. Anak lelakinya pun tengah sedap tidur. Pastu die layan bola balik.

Pada waktu petang esoknya tu, petang nak ke senja macam tu, mak dan aku adik-beradik tengah bersiap-siap nak ke rumah nenek macam biasa. Kebetulan, nenek aku pun ada masa tu. Tanpa disangka-sangka, abah aku tiba-tiba terbaring sambil mengerang. Tidak dapat nak digambarkan macam mana keadaan masa tu. Abah cakap panas dan sakit. Badan abah memang panas sangat masa tu. Aku adik-beradik dan mak cepat-cepat nak angkat papah abah bangun. Bapak aku ni besar tinggi orangnya.

Kami cuba nak angkat abah tapi tak boleh. Dengan tenaga kami berempat, puas kami cuba namun tak boleh nak angkat walau seinci pun. Macam ada sesuatu yang berat sedang duduk atas badan abah aku. Aku dah mula menangis dah, nenek aku kat bawah yang dengar kecoh-kecoh terus berlari naik ke atas. Abah tak berhenti mengerang. Nenek terus baca-baca ayat kursi dan die juga meminta kami turut baca.

Selepas beberapa minit, kami cuba lagi angkat abah. Kali ini barulah boleh. Badan abah masih panas, tapi kali ini dia menggigil dengan teruk. Bukan setakat menggigil dah, aku rasa badan abah macam bergoncang! Dengan kami pun ikut bergoncang sekali. Sampai je kat depan pintu rumah kami papah abah, nenek melaungkan Allahuakbar kuat-kuat sampai jiran-jiran kami keluar tengok apa yang berlaku. Kali ini badan abah dah hilang goncang, tinggal gigil-gigil sahaja. Semasa kami memapah abah masuk ke dalam kereta, sekali lagi kami semua baca ayat kursi.

Pastu baru keadaan abah elok sikit cuma agak lemah. Terus mak bawak kami semua pergi ke klinik Halimah. Aku pun tak faham kenapa mak bawak pergi klinik. Tapi mungkin sebab dia ustazah, jadi itu je yang terfikir pada masa itu. Selepas itu, abah okay, cuma masih penat. Jadi kami semua bermalam di rumah nenek pada masa itu sampai dekat sebulan. Kadang-kadang abah balik jugak tidur kat rumah kami. Bimbang pula kot-kot ‘dia’ bersarang pula kat rumah tu kalau lama-lama sangat dibiar kosong.

gangguan pocong

Sebenarnye banyak lagi cerita orang kampung yang kena kacau. Tapi ini je yang aku ingat. Yang lain-lain tu ada yang nampak ‘dia’ terbang, meloncat pun ada. Selain itu, ada juga orang kampung yang nampak ‘dia’ tengah tunggu orang kat tepi jalan. Ketuk pintu rumah, bergolek atas bumbung, bahkan ada juga yang sampai histeria. Inilah antara gangguan-gangguan yang penduduk-penduduk disitu terpaksa hadap pada masa tu.

Akhir sekali, dari apa yang aku dengar, ketua kampung pergi berjumpa dengan anak si arwah untuk minta tolong hapuskan gangguan yang terjadi di kampung kami. Setelah disiasat, kubur arwah bapanya berlubang. Jadi beberapa hari jugaklah aku nampak anak-anaknya berada dikubur bersama dengan seseorang yang nampak macam gaya ustaz. Selepas daripada itu, kami tak diganggu lagi. Itulah perkara paling buruk yang pernah terjadi, sampai satu kampung kena ganggu!

Sumber : says.com

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi kisahseram.com

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.