Kisah Seram Pontianak Ikut Balik Rumah

Malam ini, saya akan berkongsi cerita tentang pengalaman salah seorang rakan saya yang bernama Saiful. Saiful telah mengalami peristiwa yang boleh dikatakan seram dan tidak boleh dilupakan sehingga sekarang.

Jika anda tinggal seorang diri di rumah, anda dinasihatkan untuk mengajak saudara-mara atau kawan-kawan untuk menemani anda kerana dikhuatiri anda akan berasa takut untuk ke tandas pada waktu tengah malam.

Saiful yang berumur 21 tahun pada masa itu adalah seorang yang langsung tidak mempercayai akan kewujudan makhluk-makhluk halus termasuklah hantu, langsuir, pocong dan lain-lain lagi.

Apabila orang bercakap mengenai hantu, dia akan membalas “Eh mana ada hantu dalam dunia ni, lagi-lagi zaman moden ni haa”. Pada anggapan Saiful, semua perkara yang bersangkut-paut dengan hantu adalah mengarut. Sampailah pada satu hari perkara yang dia tidak jangka berlaku.

pontianak

Hari khamis malam jumaat tahun lepas, Saiful balik ke rumah sewa dia. Secara kebetulan semua kawan-kawan serumah dia keluar. Jiran sebelah rumah dia pun keluar sekali dengan kawan-kawan dia.

Malam itu terpaksalah Saiful tinggal seorang diri di dalam rumah sewa tu. Tanpa berfikir apa-apa, dia terus menyalakan lampu tangga dan naik ke bilik. Masa tu jam menunjukkan pukul 11.30 malam, secara tiba-tiba televisyen di ruang tamu terpasang.

Memikirkan bahawa kawan-kawan serumah dia dah balik, Saiful pun turun ke bawah. Tetapi apabila Saiful memanggil semua nama kawan-kawan dia, tak ada seorang pun yang menyahut panggilan beliau.

Memandangkan tiada sesiapa di bawah, Saiful terus mematikan televisyen dan naik ke atas semula, namun selepas itu televisyen tersebut terpasang balik. Kali kedua televisyen terpasang semula, Saiful terus angkat kaki daripada rumah sewa itu. Nampak macam sinopsis filem Melayu kan? Tetapi itulah yang berlaku terhadap Saiful pada minggu pertama dia menginap di situ.

hantu

Pada minggu kedua, juga pada hari khamis malam jumaat pada lebih kurang jam 10 ke 11 malam, Saiful dan seorang kawan ingin keluar makan malam. Mereka keluar dengan menaiki motosikal.

Sampai sahaja di satu selekoh berdekatan Bukit Permai, Ampang tiba-tiba Saiful ternampak sesuatu di sebelah cermin sisi kiri motosikalnya. Saiful memberitahu saya bahawa muka makhluk itu sangat jelas, mungkin sebab ia betul-betul berada di sebelah dia.

Saiful mengatakan muka mahkluk yang dia nampak itu hitam, hodoh dan berambut panjang mengerbang, tengah terbang mengikuti Saiful ke mana sahaja Saiful pergi. Berdasarkan ciri-ciri yang digambarkan oleh Saiful, saya yakin makhluk tersebut adalah pontianak.

Disebabkan rasa tidak sedap hati, Saiful mencabut cermin sisi kiri itu dan meletakkannya ke dalam bakul motosikal. Nak dijadikan cerita, apabila Saiful terpandang cermin sisi kanan, pontianak itu berada dekat sebelah kanan Saiful pula.

Saiful terus menterbalikkan cermin sisi kanan ke depan. Kawan Saiful merasa pelik melihat kelakuan Saiful dan bertanya “kenapa?”. Tetapi Saiful tidak menjawab kerana Saiful ini jenis yang kalau nampak sesuatu yang aneh, dia akan senyap dan tidak akan bercakap.

pontianak

Sebelum saya menyambung cerita mengenai Saiful, ayah saya pernah bercerita bahawa pernah suatu hari anak jiran kami balik lewat malam dalam pukul 1 lebih.

Ketika anak jiran kami itu melalui lorong berdekatan kawasan perumahan saya dengan menaiki motosikal, tiba-tiba ada seorang perempuan menahan motosikal dia suruh berhenti, perempuan tu memakai pakaian putih.

Tetapi malangnya apabila dia berhenti, bukan perempuan sebenarnya yang menahan motosikal beliau tetapi mahkluk lain yang berwajah mengerikan. Kasihan, seminggu dia demam kerana diganggu oleh makhluk tersebut. Lagi sekali nampak macam filem Melayu kan? Tetapi ini adalah peristiwa yang benar-benar berlaku.

pontianak

Sekarang saya sambung semula bercerita mengenai Saiful, selepas Saiful dah perasan pontianak itu mengikuti dia, Saiful menghantar kawan dia balik ke rumah.

Melihat air muka Saiful yang lain macam, kawan dia tidak membenarkan Saiful terus balik. Sebaliknya kawan dia meminta Saiful menunggu di rumahnya dahulu dan kemudian menelefon kawan serumah Saiful untuk datang mengambil Saiful.

Tidak lama kemudian, dua orang kawan Saiful yang bernama Mamat dan Taufiq sampai untuk menjemputnya. Semasa Mamat dan Taufiq berada berdekatan pagar rumah, Saiful bertanya “Mamat, Taufiq, korang datang berapa orang ni?” Mamat dan Taufiq pun menjawab “2 orang je. Kenapa Saiful?”.

Saiful tidak memberitahu apa-apa kepada mereka tetapi sebenarnya Saiful ternampak seorang lagi yang semestinya bukan manusia tengah mengintai Saiful di sebalik kawan-kawannya. Seram juga saya mendengar cerita daripada Saiful itu. Cuba anda bayangkan ada sesuatu sedang mengintai anda melalui tingkap sekarang ini.

pontianak

Selepas itu Saiful membonceng motosikal Mamat, manakala Taufiq menaiki motosikal Saiful. Saiful terpaksa menjadi penumpang sahaja kerana dia sudah tidak berani untuk menaiki motosikal sendiri.

Motosikal yang dinaiki oleh Mamat dan Saiful ada di depan manakala Taufiq mengikuti mereka daripada belakang. Nak dijadikan cerita seramnya, Saiful pada masa itu menoleh ke belakang kerana Saiful hendak melihat Taufiq. Waktu itu Saiful nampak pontianak tersebut terus mengikuti motosikal yang dinaiki Taufiq daripada belakang.

Pontianak tu tidak duduk di atas bangku motosikal Taufiq tetapi ia hanya mengikut daripada belakang. Saiful berkata bahawa dia nampak rambut pontianak itu yang mengerbang tidak tentu hala ditiup angin malam. Nampaknya pontianak itu begitu bersungguh-sungguh dan sangat berminat untuk mengikuti Saiful.

pontianak

Mengikut kata ustaz yang mengubati Saiful, pontianak ini sangat berminat nak berkawan dengan Saiful. Masa Saiful bercerita saya cakap padanya “Itulah siapa suruh kau kacak sangat sampai hantu pun berminat”.

Mak Saiful pula cakap “Kau ni memang dah tak ada perempuan lain ke yang kau nak pilih, sampai kau pilih hantu ini!”. Semasa Saiful kena ikut dengan pontianak ini, Saiful memang langsung tidak boleh bercakap dengan teman wanita dia.

Apabila teman wanita Saiful menelefon, Saiful akan merasa marah dan akan terus melenting. Saiful memberitahu pernah sewaktu teman wanita dia menghubunginya, Saiful merasa begitu marah sehingga menendang kipas sampai pecah. Tetapi Saiful tahu bahawa yang marah itu bukan Saiful tapi pontianak itu. Disebabkan pontianak itu perempuan, mungkin dia cemburu Saiful mempunyai teman wanita lain.

pontianak

Walaupun sudah berubat, Saiful masih lagi boleh melihat benda-benda halus sehingga sekarang. Pernah sekali tu Saiful bercerita bahawa ada satu pokok rendang berdekatan dengan kampung Saiful.

Waktu itu dah tengah malam, Saiful hantar mesej pada saya berbunyi begini “Saya ada nampak ‘benda’ tengah bertenggek dekat atas pokok besar itu. Elok je ia duduk kat atas tu, saya takut la”. Dah lah masa dia mesej saya itu, saya tengah duduk dalam bilik sorang-sorang.

Saiful bercerita lagi ketika dia tengah duduk seorang diri di dalam bilik, dia terdengar ada orang memanggil namanya sayup-sayup sebanyak 3 kali. Ada tak antara anda semua yang pernah mengalami perkara seperti ini?

pontianak

Ada lagi satu cerita, sewaktu Saiful pergi ke Kelantan dengan kawan-kawan beliau, mereka melalui suatu kawasan di mana terdapat sebuah rumah kosong. Dahulu rumah kosong tu adalah tempat pembunuhan di mana seorang cucu membunuh neneknya sebab cucu dia tu penagih dadah.

Kisah pembunuhan itu pernah heboh dalam berita pada tahun 2008. Semasa melalui rumah kosong tersebut Saiful ternampak ada seorang nenek tua bongkok tengah berdiri di kawasan rumah tersebut.

Nak dikatakan jiran adalah tidak logik sebab masa itu adalah pada waktu malam. Kalau betul pun jiran, apalah si nenek ini buat dekat tempat seram macam tu?

nenek tua

Teringat pula, Saiful ada memberitahu saya bahawa rupa nenek yang dia nampak itu lebih kurang macam makcik tua di dalam filem Congkak, tetapi jauh lebih seram lagi. Fikir-fikirlah.

Sebab itulah orang selalu pesan mulut itu kena jaga jangan nak celupar sangat, jangan nak berlagak, jangan main lalu dan langgar ikut suka sahaja tempat orang. Namun begitu anda jangan sesekali cakap macam ini “Tok nenek,cucu tumpang lalu”. Boleh jatuh syirik jadinya itu.

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi kisahseram.com

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

2 + 7 =