Kisah Seram Apartment Country Height Bukit Padang

Assalamualaikum, di sini aku ingin berkongsi cerita seram yang pernah terjadi kepada diri aku. Sebelum terjadinya peristiwa itu, aku dulunya memang tidak percaya akan kewujudan makhluk-makhluk halus atau hantu. Disebabkan itu, jika ada kawan-kawan yang bercerita pasal hantu ketika kami keluar melepak bersama-sama, aku akan rasa ‘annoying’. Aku anggap benda-benda itu semua adalah perkara karut, cuma rekaan atau ilusi seseorang saja. Sehinggalah pada satu masa ia terkena pada diri aku sendiri.

Malam itu, macam biasa aku dan kawan-kawan aku melepak di kedai mamak. Semasa sedang lepak itu, Kawan-kawan aku pun membuka cerita tentang keadian mistik yang konon menimpa dirinya. mendengar pasal cerita hantu, apalagi aku pun malas nak mendengar lalu aku main game saja di telefon. Tiba-tiba seorang kawan aku bertanya, “Pok, kau je ni yang tidak pernah bercerita pasal hantu, ala cerita kat kitorang, mustahil kau tidak pernah nampak hantu”. Lalu terus aku menjawab, “Nak cerita apa kalau benda itu pun aku tidak pernah nampak atau lalui peristiwa pelik. Ah sudahlah, mengarut je itu semua!”.

“Pok, kau jangan cakap besar, sekali dia muncul depan kau tahulah nasib kau nanti! Boleh sakit jantung dibuatnya,” sampuk seorang lagi kawan aku sambil ketawa. Boleh pula dia melawak, aku pun malas nak layan sangat mereka masa itu. Lagipun hari sudah lewat malam, jadi aku pun meminta diri untuk balik ke rumah. “Bah geng, aku gerak dulu lah. Pukul 11.30 malam sudah ni, esok pagi aku kerja. Lain kali aku lepak-lepak lagi dengan korang semua kat sini,” kata aku sambil bangun dari kerusi.

Semasa aku nak balik tu, kawan-kawan aku siap berpesan, “Pok, hati-hati kau, jangan pandang belakang!,” kata mereka sambil ketawa. Dalam hati saya berkata, celaka punya kawan. Saja nak takut-takutkan aku! Aku pun tidak tunggu lama, terus aku ambil kunci motosikal dan balik ke rumah. Perjalanan dari kedai mamak ke rumah aku yang terletak di Apartment Country Height berdekatan Bukit Padang memakan masa lebih kurang dalam 20 minit. Macam biasa perlahan-lahan saja aku bawa motosikal sebab kononnya nak menghayati suasana malam.

Naik motor

Sampai sahaja di rumah, maklumlah rumah apartment, tingkat paling atas pula tu, aku terus mengambil tuala untuk pergi mandi. Tetapi niat aku untuk mandi terbantut keran tiba-tiba telefon aku berdering. Rupa-rupanya kawan yang melepak sama di kedai mamak tadi yang telefon. “Halo Pok, patutlah kau nak balik awal rupanya kau bawa perempuan. Tadi kami ada kejar kau tapi tak dapat, laju betul kau. Kami nampak kau berdua sama-sama naik tangga tadi. Ooh begitulah kawan, sini kau turun dulu. Helmet kau ada dengan aku ni, kau tertinggal kat mamak tadi. Meh datang ambil sendiri kat bawah ni, aku malas nak naik atas,” kata kawan aku itu.

hantu bonceng

Mendengar itu, secara tiba-tiba bulu roma aku meremang sampai bercakap pun tergagap-gagap,” A..apa kau merepek ni? Perempuan? Perempuan mana pula ni? Hel..met, kau tunggu kejap. Aku turun ni”. Belum sempat aku keluar dari rumah, aku terdengar bunyi seperti suara perempuan berdehem di kawasan balkoni dapur. Ehemm, ehemmm. Begitulah bunyinya. Terus anak mata aku membesar sambil berfikir siapa yang ada di rumah.

Kebetulan masa itu makcik aku dan anak-anaknya balik kampung, jadi hanya aku seorang saja yang ada di rumah. Dalam hati aku terdetik, “Takkanlah makcik sudah balik. Tak pulak aku nampak kasut mereka semua, lagipun kalau mereka ada mesti sepupu-sepupu aku tu buat bising kat rumah”.

Aku pun terpaksa memberanikan diri menuju ke balkoni dapur. Aku nak tengok siapa yang ada di situ, sebab mana la tahu kot-kot ada pencuri yang dah pecah masuk rumah. Perlahan-lahan, aku buka pintu balkoni dapur. Dengan berbekalkan cahaya lampu yang samar-samar, alangkah terkejutnya aku apabila ternampak susuk tubuh seorang wanita yang berpakaian serba putih dan berambut panjang sedang berdiri kaku menghadap ke luar rumah.

pontianak

Perasaan aku masa itu bercampur-baur, takut dan seram. Terasa macam nak pengsan di situ juga pada waktu itu tetapi aku sempat berdoa kepada tuhan agar dilindungi dan dikuatkan semangat. Kaki aku bagaikan melekat di lantai namun aku gagahkan diri dan terus berlari ke bawah jumpa kawan dan suruh dia lari dari situ. Keesokan harinya barulah aku menceritakan tentang apa yang berlaku kepada semua termasuk keluarga aku. Sejak terjadinya peristiwa itu, barulah aku percaya bahawa benda-benda ghaib itu sememangnya wujud.

p/s: Untuk pengetahuan pembaca kisahseram.com, cerita yang kongsikan di atas diolah semula dari pengalaman penulis asal cerita ini iaitu pemilik akaun facebook bernama Akuma Jee.

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi kisahseram.com

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

87 − 83 =