Kisah Penunggu Pokok Pisang

Selepas menerima hasil wang pampasan tenteranya, ayah Seriayu telah membina sebuah rumah sendiri di belakang rumah ibu mertuanya. Ayah Seriayu merupakan seorang yang rajin menternak ayam, kambing dan juga bercucuk tanam. Banyak pokok buah-buahan dan tanaman lain seperti sayur-sayuran ditanam di sekeliling rumah memandangkan ibu mertuanya mempunyai tanah yang cukup luas.

Di penjuru dapur dan bersebelahan dengan bilik air, ayah Seriayu telah menanam beberapa pokok pisang Awak dan pokok pisang Berangan memandangkan kawasan tersebut redup dan sejuk. Segar-bugar pokok-pokok pisang tersebut dan ia membesar dengan cepat sehinggakan ia membentuk satu bulatan yang kosong di tengah-tengahnya. Seriayu dan adik-beradiknya selalu menyorok di dalam kawasan tersebut jika bermain sorok-sorok dan selalu dimarahi oleh ayah mereka kerana dikhuatiri pokok-pokok pisangnya rosak.

pokok pisang

Kakak Seriayu yang kedua telah mula bekerja di pekan Alor Setar dan dia berulang-alik dari rumah ke tempat kerjanya. Seawal pukul 6 pagi, dia mula berjalan meredah kegelapan malam sambil membawa lampu suluh menyusuri rumah-rumah jiran untuk menunggu bas di sebatang jalan besar. Pada suatu hari, selepas pulang dari kerja, dia menceritakan pengalaman seram kepada ibunya. Sewaktu dia berjalan menuju ke pondok menunggu bas di tepi jalan, kedengaran loceng kaki yang biasanya dipakai oleh wanita berbangsa India mengekorinya dari belakang.

Namun apabila dia menoleh ke belakang, tiada apa-apa pun di situ dan apabila dia berjalan semula loceng tersebut akan jelas kedengaran disertai dengan bau-bauan bunga yang harum mewanggi. Lantas dia pun mempercepatkan langkahnya untuk segera sampai di tepi jalan besar yang diterangi oleh lampu jalan. Ibu Seriayu berjanji pada anaknya yang dia akan menemaninya pada keesokan hari. Kegirangan kakak Seriayu mendengar janji ibunya dan hilang sudah rasa takut dan runsingnya.

Pada keesokan harinya, ibu Seriayu bersedia untuk menemani kakak Seriayu berjalan ke tempat menunggu bas. Sebelum itu, dikejutkan Seriayu serta dua adiknya untuk bangun mandi dan bersiap-siap untuk ke sekolah. Seriayu belajar di dalam Tingkatan 3 di Sekolah Menengah Bedong dan dua adiknya belajar di Sekolah Rendah Semeling. Seriayu melangkah ke bilik air sambil menyanyi-nyanyi perlahan-lahan untuk menghilangkan rasa mengantuknya. Bilik air rumah Seriayu mempunyai ruang kosong di antara dinding dan bumbung. Disebabkan ruang kosong itu sehasta lebarnya dan memanjang selebar luas bilik air maka jelaslah kelihatan pokok-pokok pisang di sebelahnya.

Pada pagi itu, Seriayu terasa gemuruh dan tidak sedap hati tetapi dilawannya perasaan itu kerana mungkin perasaan ini timbul kerana ibunya tiada dirumah. Dia menolak pintu bilik air secara perlahan-lahan dan matanya terpaku kat atas sebatang pokok pisang yang paling besar. Apakah makluk yang sedang bersila kemas di atas pokok tersebut? Memandangkan Seriayu seorang yang berani, dia tidak akan menegur benda-benda pelik yang dilihatnya maka dia menajamkan penglihatannya dan cuba untuk melihatnya dengan lebih jelas.

Pada ketika itulah, makhluk yang sedang duduk membelakangkan Seriayu telah menoleh kepadanya dengan perlahan-lahan sambil mengeluarkan suara yang sukar untuk dijelaskan. Seriayu menampar daun pintu bilik air dan dia pun terus berlari meluru ke arah adik-adiknya. Dalam beberapa minit selepas itu dan bila perasaannya kembali stabil, dia mengajak adik-adiknya untuk melihat makhluk tersebut.

“Nak tengok hantu tak?” kata Seriayu pada adik-adiknya berulang kali sambil menarik tangan adik-adiknya ke bilik air. Adik-adik Seriayu meraung-raung ketakutan sambil meronta-ronta sehinggakan ibunya lari terkejar-kejar pulang ke rumah kerana dari jauh lagi sudah kedengaran riuh-rendah suara anak-anaknya. Seriayu menceritakan kejadian tadi di mana dia ternampak satu makhluk berambut panjang melepasi bahu, kurus tak berbaju, berkulit hijau gelap dan bertaring sedang duduk bersila di atas pokok pisang sebelah bilik air.

hantu pokok pisang

Lakaran Penulis

Ibunya mengucap panjang dan mengejutkan abang Seriayu dari tidur. Abang Seriayu keluar dan mencari-cari kesan tapak kaki kerana difikirkan ada orang yang mengintai adiknya mandi, tetapi hampa. Tidak mahu lagi terjadi peristiwa-peristiwa yang pelik, ibu dan ayah Seriayu mengambil keputusan untuk menebang semua pokok pisang berdekatan rumah mereka untuk mengelak dari menjadi tempat perkampungan makhluk tersebut.

Untuk pengetahuan semua pembaca setia kisahseram.com, kisah hantu pokok pisang ini hasil nukilan dari Masryarnida.

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi kisahseram.com

Loading...

LEAVE A REPLY

Amaran:
Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Please enter your comment!
Please enter your name here