Kisah Misteri Gunung Pondok Padang Rengas

Gunung Pondok merupakan sebuah gunung batu kapur yang cukup terkenal di Padang Rengas, Kuala Kangsar, Perak. Nama Gunung Pondok diambil bersempena seorang ulama dari tanah Jawa yang mendirikan pondok di kawasan gunung tersebut untuk mengajar agama. Gunung Pondok turut menjadi simbolik dan mercu tanda semula jadi yang memisahkan sempadan antara Kuala Kangsar dan Larut di samping menjadi petunjuk arah penting bagi kedua-dua lokasi berkenaan.

Apa yang menarik mengenai Gunung Pondok ialah dahulunya ia pernah menjadi tumpuan bukan sahaja dalam kalangan penduduk malah penyelidik juga dikatakan mendaki gunung itu untuk melakukan kerja-kerja eksplorasi dan ekskavasi bagi tujuan kajian arkeologi.

gunung pondok

Bagi segelintir penduduk tempatan pula, Gunung Pondok dijadikan sebagai tempat untuk melakukan aktiviti pemburuan terutamanya jika ingin mendapatkan kambing gurun iaitu antara spesies hidupan liar yang sangat sukar ditemui di Malaysia. Terdapat juga segelintir penduduk melakukan kegiatan mencari tahi kelawar di dalam gua untuk dijadikan baja.

Selain itu, aktiviti pertapaan turut dilakukan di dalam gua yang terdapat di Gunung Pondok untuk meningkatkan ilmu kebatinan dan persilatan. Antara gua yang menjadi tumpuan termasuklah Gua Panca Logam dan Gua Bersanding. Namun, aktiviti-aktiviti berkenaan sudah tidak lagi dilakukan dan penduduk dikatakan tidak berani mendaki gunung tersebut.

Selain disebabkan aktiviti kuari yang dijalankan oleh sebuah syarikat pengeluar simen, rupa-rupanya terdapat beberapa peristiwa pelik dan kisah misteri yang pernah berlaku di gunung itu yang menyebabkan penduduk setempat tidak lagi berani mendaki gunung berkenaan.

Menurut Ketua Kampung Lalang, Mohamad Nawawi, salah satu peristiwa yang sehingga kini dianggap misteri berlaku pada awal tahun 1970-an, apabila seorang penyelidik berbangsa Cina dilaporkan hilang ketika sedang menjalankan kajian bersama satu rombongan lain. “Tidak diketahui ke mana perginya penyelidik tersebut. Difahamkan ketika berada di atas gunung itu, penyelidik itu telah hilang daripada kumpulannya tanpa disedari,” katanya.

gunung pondok

“Apabila dilaporkan mengenai berita kehilangannya, pelbagai usaha mencari giat dijalankan. Penduduk kampung turut serta dalam usaha mengesan penyelidik berkenaan dari siang hingga ke malam namun, tidak berjaya ditemukan. Malah sehingga kini kehilangannya masih kekal sebagai misteri,” kata Mohamad Nawawi.

Katanya lagi, ketika berlaku runtuhan pada 1967, penduduk kampung juga pernah ternampak sekilas pandang seorang wanita lengkap berpakaian serba putih berdiri di sebalik lubang seakan-akan sebuah terowong besar yang terbentuk di tengah-tengah gunung.

“Penduduk yang kebetulan menyaksikan runtuhan itu terkejut tatkala terpandang seketika kelibat perempuan yang berdiri di terowong tersebut. Kejadian pada waktu malam itu disaksikan oleh beberapa orang penduduk. Yang peliknya lubang berbentuk seperti terowong hanya kelihatan selepas runtuhan itu berlaku. Sebelum ini lubang itu tidak kelihatan langsung,” katanya.

Selain daripada itu, menurut penduduk Kampung Sungai Ati, Hasan Yang Ibrahim, 71, pada masa dahulu pernah berlaku peristiwa seorang penduduk melihat beberapa orang berjalan sambil mengusung keranda pada waktu malam di laluan berhampiran Gunung Pondok.

gunung pondok

“Kejadian itu disaksikan oleh seorang penduduk yang dalam perjalanan melalui sebuah jalan di tepi hutan. Kerana terkejut, dia tergamam dan tidak dapat berkata-kata namun sebaik melepasi laluan berkenaan barulah dia tersedar lalu teringat akan peristiwa menakutkan itu. Di laluan tersebut juga dahulu dikatakan agak ‘keras’ dan sering berlaku kemalangan,” katanya.

Ketua Kampung Sungai Ati, Hasini Mohd. Yusof, pula menceritakan sekumpulan pelajar kolej pernah sesat ketika mencari jalan keluar menuruni gunung tersebut. “Masa kejadian itu berlaku saya masih kanak-kanak lagi. Apa yang saya ingat, dari bawah gunung kami boleh nampak pelajar-pelajar itu mencari-cari jalan untuk keluar. Entah kenapa mereka tidak dapat keluar. Jadi, penduduk terpaksa naik ke atas untuk membawa mereka pulang.

“Dulu banyak juga dilaporkan berlaku kes orang yang sesat. Orang kata kalau naik ke gunung dengan niat tidak baik memang akan sesat dan tidak jumpa jalan keluar,” katanya. Selain itu, kejadian histeria juga dikhabarkan pernah berlaku melibatkan penghuni perempuan di asrama sebuah madrasah yang terletak berhampiran gunung itu dipercayai diganggu makhluk halus.

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi kisahseram.com

Loading...

LEAVE A REPLY

Amaran:
Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Please enter your comment!
Please enter your name here