Kisah Misteri Di Sebalik Istana Kellie

satu program percuma khas oleh kisahseram.com

Kellie’s Castle atau Istana Kellie yang turut dikenali sebagai Rumah Kellas (Kellas House) dan dibina pada tahun 1910 oleh seorang peladang British, bernama  William Kellie Smith. Bangunan tiga tingkat ini dibina mengikut reka bentuk istana Moghul di Agra, India. Ini kerana buruh binaan Istana Kellie dibawa khas dari Madras, India.

Kellie Smith memulakan perancangannya membina istana besar yang dinamakan sebagai Kellas House sempena nama rumahnya yang terletak di Scotland, namun lebih dikenali sebagai Istana Kellie. Bangunan ini mempunyai 14 bilik termasuk bilik linen, bilik bacaan, fotografi, simpanan arak dan juga bilik bawah tanah yang dengan dilengkapi terowong rahsia berserta kemudahan lif yang pertama dibina seumpamanya di Tanah Melayu. Istana Kellie tidak sempat disiapkan apabila Smith meninggal dunia pada 11 Disember 1926 di Pelabuhan Lisbon, Portugal  kerana dijangkiti radang paru-paru. Perniagaan Smith turut merosot apabila 70 orang pekerjanya yang dibawa khas dari India mati akibat dijangkiti selesema Spanish. Isteri Smith, Agnes pulang ke England apabila anak lelakinya Anthony terkorban dalam pertempuran ketika Perang Dunia Pertama, manakala anak perempuannya Helen pula menghilangkan diri secara tiba-tiba.

William Kellie Smith

Gambar mendiang William Kellie Smith

Istana Kellie hanya sempat disiapkan kira-kira sebanyak 70 peratus saja. Apa yang pasti, semua anggota keluarga Smith tidak mati di dalam Istana Kellie. Mereka hanya sempat mendiami Rumah Kuning saja yang terletak dengan bersebelahan Istana Kellie. Struktur bangunan Istana Kellie yang kekal hingga kini dalam keadaan separuh siap atau masih dalam pembinaan menjadi tarikan pengunjung tempatan atau pelancong luar negara ke Batu Gajah, Perak kerana keunikannya. Selain itu, rumah agam itu juga turut dikatakan berhantu.

Sehingga ke hari ini, banyak fakta misteri mengenai Istana Kellie yang masih belum terungkai. Difahamkan, keadaan di persekitaran dan di dalam Istana Kellie itu ‘keras’ dan menyeramkan disebabkan faktor penjajahan Jepun di Tanah Melayu suatu ketika dulu apabila menjadikan bangunan separuh siap itu sebagai tempat untuk menyeksa dan membunuh penduduk kampung. Kononnya, ramai yang terkorban di situ, justeru lokasi berkenaan dikatakan berhantu, namun keadaan itu dikaitkan dengan kematian keluarga Smith, tetapi fakta ini tidak tepat kerana tidak ada seorang pun di kalangan anggota keluarga Smith yang mati di dalam istana tersebut.

Sememangnya sudah menjadi lumrah bagi mana-mana bangunan lama yang ditinggalkan, kisah-kisah seram dan misteri pasti akan menjadi buah mulut dari generasi ke generasi, sepertimana kisah penunggu di Istana Menanti, Negeri Sembilan. Istana Kellie sendiri mengundang pelbagai kisah misterinya yang tersendiri. Malah Istana Kellie pernah dinobatkan sebagai antara kawasan tarikan bagi Pelancongan Paranormal (Paranormal Tourism) sebagaimana yang dilaporkan oleh akhbar News Strait Times (NST) bertarikh 13 Mac 2006. Antara kisah-kisah misteri yang dikatakan berlaku di Istana Kellie adalah seperti di bawah:

Kisah 1 – Roh William Kellie Smith Menjaga Istananya

istana kellie waktu malam

Roh William Kellie Smith dikatakan sentiasa merayau-rayau di sekitar koridor bekas istananya itu. Tajuddin Yaakob, Pengarah Aqfast Enterprise, iaitu syarikat yang bertanggungjawab menguruskan Istana Kellie turut berkongsi kisah misteri ketika ditemuduga dalam satu rancangan dokumentari. Beliau merujuk peristiwa di mana sekumpulan ahli naturalis saintifik dari Kanada yang mengadakan kajian tentang haiwan yang keluar pada waktu malam di kawasan berkenaan. Sekitar tengah malam, setelah selesai mengambil gambar, salah seorang anggota wanita pasukan tersebut dikatakan telah terlihat satu lembaga yang menyerupai seorang lelaki berbangsa eropah sedang berdiri dan menjenguk dari salah satu tingkat di istana berkenaan, lembaga tersebut dipercayai roh William Kellie Smith. (Sumber: NST, 27 Mei 2008)

Kisah 2 – Misteri Bilik Helen

girl ghost

Antara salah satu ruang di dalam Istana Kellie yang dianggap mempunyai misteri ialah bilik anak perempuan beliau, iaitu Helen. Seorang pengunjung Istana Kellie dikatakan pernah terlihat seorang budak perempuan berbangsa eropah berusia dalam lingkungan usia enam tahun berkeliaran di dalam bilik tersebut.

Kisah 3 – Pengawal Tanpa Kaki

hantu tanpa kaki

Pada tahun 1995, dikisahkan terdapat empat orang pemuda dari Tapah, Perak buat kali pertamanya melawati Istana Kellie. Mereka sampai di Istana berkenaan pada kira-kira pukul lima petang. Malangnya mereka telah didatangi seorang lelaki yang dipercayai pengawal istana berkenaan dan dimaklumkan bahawa premis berkenaan telah ditutup kerana telah melewati tempoh melawat. Sebelum meninggalkan premis berkenaan mereka sempat memandang ke arah pengawal tadi yang sedang menuju ke arah pondok pengawalnya, di situlah baru mereka sedari bahawa pangawal tadi rupanya tidak mempunyai kaki, sebaliknya seakan-akan melayang menuju ke pondoknya (Sumber: NST, 8 Oktober 2006).

Kisah 4 – Bertemu Langsuir

pokok angsana istana kellie

Seorang pengawal di Istana Kellie, Kamazan Yeop atau Pak Naman berkongsi pengalaman seram beliau sewaktu melakukan tugas rondaan selepas waktu melawat yang berakhir pada pukul 6 petang. Sewaktu beliau melintasi sebatang pokok angsana yang berada di halaman istana berkenaan, beliau terdengar bunyi yang agak mencurigakan, lalu mematikan langkah beliau di situ. Sebaik sahaja beliau menoleh ke belakang, kelihatan satu lembaga putih dengan rambut panjang menggerbang muncul di sisi pokok angsana berkenaan dan menuju ke arah di mana beliau sedang berdiri. Dalam situasi cemas itu, Pak Naman sempat membaca beberapa potong ayat al-Quran sambil mengacukan senapang patah beliau ke arah lembaga tersebut. Beberapa das dilepaskan, namun ianya tidak meninggalkan sebarang kesan. Sebaliknya lembaga tersebut melayang terbang meninggalkan kawasan tersebut. Dikatakan lembaga  yang ditemui oleh Pak Naman itu sebenarnya adalah hantu Langsuir. Beberapa hari kemudian, Pak Naman sekali lagi terserempak dengan satu lembaga putih, cuma kali ini di sekitar kawasan surau istana berkenaan. Pak Naman tidak pasti adakah lembaga yang beliau temui di kawasan surau itu adalah lembaga yang sama yang pernah ditemuinya sebelum ini. Kedua-dua peristiwa ini berlaku dalam tahun 1997 (Sumber: NST, 26 Jun 2006).

Istana Kellie kini berada dalam keadaannya yang terbaik berbanding sebelum ini,setelah melalui proses pemuliharaan dan projek naik taraf yang dilaksanakan pada tahun 2011 dan menelan belanja sebanyak RM5 juta. Projek naik taraf yang siap sekitar Oktober 2011 itu telah melihatkan impak yang sangat besar kepada industri pelancongan negeri Perak, berdasarkan kepada statistik pelawat sepanjang 2011 yang menunjukkan Istana Kellie telah dilawati oleh 66,000 orang pelancong dari dalam dan luar Negara (Sumber: Bernama, 20 Oktober 2011).

Kini pengurusan Istana Kellie diuruskan oleh sebuah syarikat swasta, Aqfast Enterpise. Semoga istana  ini terus kekal sebagai tarikan utama industri pelancongan negara, dan dalam masa yang sama kajian harus terus dilakukan berkaitan dengannya, usah dibiarkan Istanan Kellie ini terus diselubungi misteri.

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi kisahseram.com

Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Editor & founder orangperak.com
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.