Kisah Melepas Hajat Di Tandas Hujung Tanah Perkuburan

Kisah ini sebenarnya aku dah simpan lama dah. Ia diceritakan kepada aku kira-kira 12 tahun yang lepas. Ketika itu aku masih belajar di sebuah kolej dan sedang menjalani latihan praktikum di selatan tanah air. Begini kisahnya, tiga orang rakan sekolej aku telah ditugaskan untuk menjalani latihan praktikum bersama-sama.

Biarlah aku namakan ketiga-tiga mereka secara ringkas iaitu, Azlan, Hadi dan Zain. Di antara mereka bertiga, Hadi adalah yang orang yang paling penakut tapi mengaku berani. Apabila dikehendaki menjalani praktikum maka mereka bertiga pun kelam-kabutlah mencari rumah sewa kerana tempat yang akan mereka jalani latihan praktikum itu adalah antara yang paling jauh jaraknya dari kolej. Jika tempat latihan praktikum itu berdekatan dengan kolej, tak perlu susah-susah nak mencari rumah sewa kerana boleh menginap di asrama.

Setelah bertungkus-lumus mencari rumah sewa akhirnya mereka dapatlah sebuah rumah kampung yang mana kedudukannya agak jauh terpencil dari rumah penduduk kampung yang lain. Sewa bulanannya pula cukup murah, hanya RM150 sebulan. Setelah berjumpa dengan tuan rumah, mereka bertiga pun dibawa melihat rumah yang dimaksudkan itu. Rumahnya kecil sahaja, hanya terdapat satu bilik, ruang tamu yang sempit dan dapur.

Kebetulan Hadi ni meninjaulah ke dapur dan membuka pintu dapur. Namun alangkah terkejutnya dia apabila mendapati lebih kurang 4 meter sahaja dari pintu dapur itu terdapat tanah perkuburan. Tandas pula terletak di luar rumah, juga lebih kurang empat meter dari rumah. Ini bermakna, sekiranya berhajat nak melepaskan sesuatu, terpaksalah mereka yang menyewa di rumah itu berjalan merentasi celah-celah kubur itu.

Kalau waktu siang boleh tahan lah lagi tapi kalau waktu malam macam-mana? Hadi dah mula rasa gelisah tapi kerana sudah terdesak dan dah bayar pun wang deposit, maka terpaksalah juga dia bersetuju. Lagipun latihan praktikum itu hanya dalam tempoh 3 bulan sahaja. Pada malam pertama mereka menginap di rumah tu memang tidak ada apa-apa gangguan pun. Sehinggalah masuk minggu yang ketiga praktikum apabila ketiga-tiga mereka pulang dari makan malam di sebuah warung di tepi laut.

Untuk pengetahuan pembaca kisahseram.com, tempat praktikum mereka ni memang hampir dengan laut. Apa lagi hampir tiap-tiap malam lah mereka makan makanan laut. Setelah sampai ke rumah pada jam 9.30 malam, tiba-tiba berlaku gangguan bekalan elektrik (blackout). Nasib baik esoknya cuti, jadi tak perlulah mereka nak siapkan bahan untuk praktikum esok. Setelah bergelap selama lebih kurang 2 jam, maka ketiga-tiga mereka mengambil keputusan untuk tidur awal.

Lebih kurang 30 minit selepas itu, mereka semua pun terlelap sehinggalah Azlan yang amat mudah terjaga terbau sesuatu yang begitu busuk sehingga menyesakkan nafas. Dalam kegelapan malam tu Asri meraba-raba ke arah Hadi yang tidur di tengah-tengah di antara dia dan Zain. Azlan cuba menggoncang tubuh Hadi tapi dia tidak bergerak. Azlan memanggil Zain. Rupa-rupanya Zain dah terjaga awal lagi dek kerana tak tertahan menghidu bau busuk itu.

Dengan keberanian yang ada, Azlan mengajak Zain untuk melihat apakah benda yang mengeluarkan bau yang amat busuk yang datang dari arah dapur itu. Dalam kegelapan malam tu, Zain cuba mencari pemetik api tapi yang dicapainya sebatang penyapu. Kedua-dua mereka berjalan sambil teraba-raba ke arah dapur. Dari pintu bilik air nampak seperti ada cahaya api. Perlahan-lahan mereka berdua menghampiri bilik air.

Zain nekad di dalam hatinya, hantu atau manusia, yang penting merasa penangan penyapu di tangannya dulu. Apabila sampai di hadapan pintu bilik air kedua-dua mereka terus menerpa. Alangkah terperanjatnya mereka apabila melihat Hadi sedang mencangkung melepaskan hajat di dalam bilik air sambil memegang sebatang lilin. Baunya tak payah cakapla, macam bau makanan laut yang busuk pun ada. Zain pula nyaris-nyaris nak pelangkung kepala Hadi dengan penyapu kerana disangkanya toyol tua.

Malam itu sampai ke pagi Hadi asyik kena kutuk dengan Azlan dan Zain. Tapi dalam dok kutuk itu Azlan menyimpan satu rahsia yang tidak diceritakan kepada kedua-dua rakannya itu. Bila dah habis tempoh praktikum Azlan menceritakan pada aku. Apa yang menjadi kemusykilannya malam itu, kalau Hadi yang berada di bilik air sedang asyik melepaskan hajat, siapa pula yang berada di tempat tidur Hadi?

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi kisahseram.com

Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Editor & founder orangperak.com
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.