Kisah Bukit Garas Yang Penuh Misteri

Kali ini team kisahseram.com akan membawakan kisah seram yang dikatakan berlaku di Bukit Garas, Sabah. Cerita asal kisah seram yang berlaku di Bukit Garas ini telah dikongsi di blogdawaiduri oleh seorang penulis yang bernama Hamsun Masan. Kisah ini dikatakan berlaku kepada seorang pekerja kontraktor pembinaan lebuhraya Ranau–Kota Marudu di Bukit Garas. Ismail (nama samaran) bertugas menjaga jentera-jentera berat yang digunakan untuk kerja-kerja pembinaan lebuhraya tersebut. Beliau menceritakan bahawa satu makhluk pelik telah muncul di situ dan mengganggunya yang sedang bertugas ketika itu.

Menurut cerita Ismail, pada suatu malam, ketika sedang dia duduk-duduk sambil menghisap rokok, dia pun terlelap. Tetapi tiba-tiba dia merasakan seperti jaketnya ditarik oleh seseorang. Apabila dia membuka matanya, kelihatan satu makhluk aneh yang tak pernah dilihatnya sebelum ini sedang asyik menarik jaketnya. Ismail kemudiannya bergegas bangun dan terus merebut semula jaketnya dari makhluk tersebut. Mungkin berasa terkejut, makhluk tersebut terus melarikan diri dengan laju dan kakinya seakan-akan tidak menyentuh bumi.

hantu hutan

Suara makhluk tersebut pada mulanya kedengaran seperti orang perempuan yang ketawa tetapi apabila semakin menjauh, bunyinya bertukar nyaring dan berbunyi seperti seekor kuda yang sedang mengilai. Apalagi, Ismail terus membuka langkah seribu berlari ke arah pondok kawan-kawannya yang berada tidak jauh dari situ. Dengan ketakutan yang amat sangat, Ismail cuba menenangkan dirinya walaupun ketika itu dia rasa macam hampir terkencing di dalam seluar.

Bukit Garas yang terletak di antara Kampung Timbua dan Kampung Perancangan Ranau sememangnya memiliki ‘kekerasannya’ dan misteri yang tersendiri. Menurut beberapa cerita dari penduduk setempat, sudah banyak kemalangan jalan raya yang berlaku di situ. Kemalangan tersebut dikatakan berpunca dari keadaan permukaan jalan berbatu yang curam dan licin. Ada juga yang mengatakan bahawa di dalam gaung di bawah bukit itu adanya ‘sesuatu’ yang akan menarik kenderaan-kenderaan yang lalu-lalang di situ.

gaung

Ada sahaja korban makhluk tersebut hampir setiap 5 tahun sekali. Seorang penduduk tempatan menceritakan bahawa pernah satu ketika beberapa tahun yang lalu, sebuah lori trailer yang sedang membawa muatan jentera berat telah terjatuh ke dalam gaung di Bukit Garas. Kedua-dua pemandu dan kalindan lori telah terbunuh, dan agak lama juga kesan tumpahan darah kelihatan dengan jelas di kawasan ini. Ada suatu hari itu, pernah juga seorang guru di Sekolah Kebangsaan Togop Darat (guru terbabit kini sudah bersara) telah mengalami kemalangan di Bukit Garas ini, tetapi beliau bernasib baik kemalangan ini tidak membawa kepada kehilangan nyawanya. Sebaliknya hanya kecederaan yang dialami oleh beliau.

Selain itu, antara kisah lain yang diceritakan ialah pada suatu malam seorang penduduk dari Kampung Togop Darat melalui jalan ini. Waktu itu jam menunjukkan lewat jam 1.00 pagi. Sampai sahaja di sebuah selekoh, alangkah terkejutnya beliau apabila ternampak satu mayat yang dibaluti dengan kain putih sedang terbaring di tengah-tengah jalan. Lantas dengan tidak mempedulikan akan keselamatan dirinya, beliau terus memecut kereta kerana ketakutan. Selepas itu, beliau mengalami demam panas selama beberapa hari akibat kejutan tersebut.

pocong

Di samping itu, seorang penduduk tempatan turut menceritakan bahawa suatu malam dia pergi ke Pekan Ranau atas urusan tertentu. Apabila beliau sampai di kawasan Bukit Garas, dia berselisih dengan seorang rakan yang menunggang motosikal. Waktu itu, dia melihat ada seorang perempuan yang cantik sedang membonceng kawannya ini. Tanpa ada sangkaan yang buruk, dia berfikir mungkin itu adalah saudara kepada rakannya tadi.

Keesokan harinya apabila sudah kembali ke kampungnya, dia berjumpa dan berbual-bual dengan rakannya itu. Tiba-tiba terlintas di hati beliau untuk bertanya siapakah perempuan cantik yang membonceng motosikalnya malam semalam. Dengan agak terkejut rakannya menafikan kewujudan perempuan tersebut dan mengatakan bahawa dia pulang bersendirian apabila selesai pekerjaannya di Kampung Lohan. Jadi, siapakah gerangannya perempuan cantik itu?

hantu bonceng

Pelik tapi kalau difikir-fikirkan, tetapi memang tidak dinafikan mengenai peristiwa-peristiwa pelik yang terjadi di tempat ini. Sehingga kini terlalu banyak cerita misteri yang telah berlaku di bukit puaka ini, namun tidak dapat untuk diceritakan satu-persatu mengenai cerita-cerita tersebut. Walaubagaimanapun, kini jalan berbatu di Bukit Garas ini telah dinaiktaraf dan diturap dengan baik.

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi kisahseram.com

Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Editor & founder orangperak.com
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.