Kisah Benar!! Pelajar Histeria Akibat Spirit of the Coin

Kisah ini adalah kisah benar yang berlaku sekitar tahun 2010. Kejadian ini berlaku di sekolah kitorang iaitu sebuah sekolah menengah perempuan di Kuala Lumpur. Harap maklum, nama-nama yang aku sebut di sini adalah nama samaran sahaja demi menjaga aib rakan-rakan yang terlibat.

Kitorang tingkatan 5 masa tu. Kejadian histeria berlaku selepas beberapa hari program Khemah Ibadah untuk tingkatan 5 berlangsung. Kejadian pertama berlaku, apabila pelajar tingkatan 4 diserang histeria di sekolah. Ramai yang cuba membantu tapi keadaan menjadi semakin teruk apabila pelajar yang membantu juga terkena histeria. Kelas pelajar tingkatan 4 berada di blok tengah sekolah, tingkat atas sekali. Masa tu kitorang tingkatan 5 tidak ambil tahu tentang kejadian yang berlangsung, sebab blok kitorang adalah blok paling hujung bersebelahan dengan jalan raya dan masjid. Apa yang berlaku di sebalik blok pelajar tingkatan 4, kitorang tidak berapa jelas sebab terlindung, dan masing-masing pula tengah tekun belajar untuk SPM yang akan datang. Bayangkan masing-masing pun tengah stress nak exam masa tu.

Kejadian histeria ini berterusan sehingga berminggu-minggu, tetapi pihak sekolah tidak mahu melibatkan ustaz dari luar. Kelas kitorang ada dua pintu, depan dan belakang. Kelas kitorang adalah yang paling hujung, bersebelahan tangga dan sebelah tangga pula ada tandas. Surau pula betul-betul terletak di bawah kelas kitorang. Masa tu, Miss Chen yang sedang mengajar, kelas Bahasa Inggeris. Keadaan kelas tenang seperti biasa.

Tiba-tiba ustazah Ain panggil rakan sekelas kitorang, Jie untuk membantu ustazah-ustazah yang lain di surau bawah. Ustazah meminta bantuan Jie untuk membantu pelajar-pelajar yang diserang histeria. Jie ni boleh dikatakan hafal dan tahu maksud-maksud semua surah dalam Al-Quran walaupun dia agak sedikit kelakian. Keadaan mula kecoh dan kacau-bilau, apabila pelajar ramai yang diserang histeria dan dibawa ke surau bawah kelas kitorang untuk rawatan. Ramai juga yang jadi tukang saksi di luar surau, rakan kitorang Jie sudah berpesan pelajar-pelajar yang lain supaya tidak berada di luar surau, dan masuk ke kelas masing-masing. Tapi biasalah manusia kan, nak sangat ambik tahu.

Kejadian menjadi lebih buruk apabila rakan sekelas sendiri melalui keadaan yang sangat teruk. Beberapa orang rakan sekelas kitorang turun ke surau bawah untuk menyaksikan kejadian histeria (mereka bagi alasan dekat Miss Chen, nak ke tandas). Tiba-tiba Melinda masuk ke kelas dan terus duduk dekat kerusi dia (tempat duduk dia betul-betul sebelah pintu belakang). Dia menangis tak berhenti macam kena dera pun ada. Apabila ditanya kenapa, dia berkata kawan dia ada main permainan Spirit of the Coins di sekolah. Dia sendiri pun tidak tahu kenapa dia menangis. Tiba-tiba Dian pula masuk kelas, juga menangis sama seperti Melinda. Dia kata dia takut. Masa dia turun ke surau bawah untuk menyaksikan kejadian histeria, dia terlanggar kelibat yang besar, tapi yang pasti ia bukan manusia sebab masa tu dia jauh lagi dari pelajar-pelajar yang lain. Dia cakap sakit sangat, dan rasa takut secara tiba-tiba.

big shadow

Tidak lama selepas itu, dua rakan kelas kitorang, Hana dan Ida masuk. Sebelum mereka berdua masuk ke dalam kelas, aku nampak mata mereka tidak berkelip memandang ke arah belakang aku. Mereka senyap saja tidak bercakap. Sehinggalah mereka duduk dekat kerusi masing-masing, namun mata mereka masih lagi memandang ke arah belakang aku. Oh ya, yang duduk belakang aku masa tu, Nena. Aku tak puas hati mereka asyik pandang-pandang, masa tu perasaan takut tak ada lagi dalam diri aku. Aku ingat mereka bergurau ke apa, terus aku bertanya, “Kenapa dengan korang ni? Pandang-pandang. Dah kenapa? Nampak hantu ke??”.

Sebaik sahaja aku tanya soalan itu, Hana dan Ida terus pandang aku dengan tidak berkelip. Lalu tiba-tiba mereka menangis. Apabila ditanya, mereka tidak menjawab sebaliknya mereka terus memaandang ke arah belakang aku balik. Masa itu keadaan dah jadi kelam kabut dah, tak pasal-pasal ramai yang menangis tiba-tiba. Miss Chen terpaksa hentikan pembelajaran masa tu, dan siap pesan supaya ambil wuduk dan baca Yaasin beramai-ramai. (Bertuah ada teacher bangsa cina yang memahami ni.)

Miss Chen cuba menenangkan Hana dan Ida. Selepas itu Miss Chen tanya mereka kalau ada apa-apa nak dikongsi. Tiba-tiba mereka pandang Nena sambil menangis. Mereka pun jawab, “Masa kitorang nak masuk kelas tadi, lalu pintu belakang, ada budak perempuan berdiri mengadap betul-betul depan Nena…”

“Budak tu toleh, dia tahu kami nampak dia…”

Jadi, bermula dari situlah Hana dengan Ida ni dah jadi tidak tentu arah. Yang paling ngerinya, mereka kata,”Budak perempuan itu tidak ada mata, tidak ada hidung, tidak ada mulut, berambut panjang dan badannya terapung-apung..”. Menggigil mereka nak bercerita masa tu sambil air mata tak berhenti mengalir. Okay, masa tu aku betul-betul kesal dengan mulut aku yang celupar. Ini bermakna makhluk yang mereka kata budak perempuan itu, betul-betul ada kat belakang aku, sebab tempat duduk aku kat depan Nena. Tapi alhamdulillah tidak ada kejadian pelik yang berlaku pada aku.

hantu tanpa muka

Hana dan Ida beritahu lagi,”Budak itu marah dengan Nena”. Bahagian yang ini, sampai sekarang kitorang tidak tahu kenapa “benda” itu nak marah Nena. Mungkin Nena ada tersilap di mana-mana. Miss Chen pun suruh wakil kelas hantar Hana, Ida, Nena, Dian dan Melinda ke surau bawah untuk rawatan. Masa tu, Jie ada lagi dalam surah dengan ustazah-ustazah yang lain, terkejut Jie bila melihat rakan sekelasnya terlibat sekali. Alhamdulillah selepas tu, mereka semua dah okay semula.

Selepas selesai rawatan, Jie ada cerita. Masa dia tengah menghalau makhluk-makhluk tu, kitorang tanya berapa banyak makhluk itu. Dia kata banyak, banyak sangat sampai tak terkira. Jie cerita lagi, “Masa tengah rawatan, ada beberapa ekor yang berdiri atas kepala aku. Berat sangat. Mereka marah aku tolong budak-budak ni..”.

“Sebab itu aku dah cakap jangan berdekatan dengan surau masa rawatan tu..”
“Korang tahu tak kenapa?? Sebab tempat budak-budak melonggok dekat tingkap surau sebenarnya, ada makhluk-makhluk lain sekali dekat tingkap tengah bertenggek. Ramai sangat!!”
“Ikutkan aku dah tak kuat dah masa tu, sebab aku dah letih. Bilangan makhluk-makhluk itu terlampau ramai”.

mahkluk halus

Masa tu, tiba-tiba Jie berkata, dia rasa ada pelajar kat sekolah dah buat benda yang tidak elok macam upacara apa-apa yang berupa syirik. Tetapi kejadian histeria tetap berulang juga selepas tu, sehinggalah akhirnya pihak sekolah terpaksa panggil ustaz-ustaz yang pakar dalam kes seperti ini untuk selesaikan kes histeria di sekolah. Masa ustaz-ustaz tu datang ke sekolah, dia dah tahu dah. Ustaz itu tanya ada sesiapa yang buat upacara apa-apa ke kat sekolah?

Masa itu lah Melinda beritahu, rakan dia dari Tingkatan 4 ada bermain permainan Spirit of the Coins dengan rakan-rakan yang lain sebelum Khemah Ibadah diadakan. Mereka bermain kat kelas A (kelas ni ditutup dan tak dibenarkan masuk ketika program Khemah Ibadah berlangsung, sebab kelas ni sangat keras. Banyak kejadian pelik berlaku, semasa Khemah Ibadah tahun-tahun yang lepas berlangsung). Mereka kata tidak mungkin kejadian histeria berlaku selepas mereka bermain Spirit of the Coins itu, sebab kalau nak diikutkan pada rules of Spirit of the Coins kejadian akan berlaku selepas permainan ketiga. Mereka pula hanya main sekali sahaja. Ini bermakna ada lagi dua kumpulan pelajar yang turut bermain permainan Spirit of the Coins itu.

spirit of the coin

Ustaz-ustaz pun cari jalan penyelesaian dengan rawatan-rawatan Islam. Boleh kata, pagar sekolah, Yaasin apa semua segala usaha dah buat, tetapi kejadian histeria masih juga berlaku. Beberapa hari selepas tu, pihak sekolah dapat tangkap pelajar-pelajar yang terlibat dengan upacara Spirit of the Coins itu. Sekumpulan pelajar tingkatan 5 dan sekumpulan pelajar tingkatan 4. Dengan segala soal siasat, akhirnya budak-budak ni menceritakan kejadian sebenar Spirit of the Coins itu. Di sini aku ringkaskan ceritanya;

1. Kumpulan Pertama
Beberapa minggu sebelum Program Khemah Ibadah berlangsung, kumpulan pertama ini mendapat tahu tentang larangan memasuki kelas A itu. Mereka curious sangat, jadi mereka nak cuba macam mana rasa main Spirit of the Coins. Mereka nak cuba sekali je, sebab mereka tahu kalau buat sekali saja, tiada apa-apa yang akan berlaku. Peralatan, peraturan dan cara-cara untuk upacara Spirit of the Coins mereka tahu dari pelajar-pelajar senior tahun lepas yang dah graduate. Waktu percubaan, petang. Selepas selesai, mereka terus pergi dari situ.

2. Kumpulan Kedua
Hari semasa Program Khemah Ibadah berlangsung, beberapa orang pelajar tingkatan 5, keluar malam-malam pergi ke kelas A yang sama. Masa ni mereka tidak tahu pun dah ada Kumpulan Pertama yang main Spirit of the Coins ni. Jadi, mereka nak rasa sangat main permainan tu terus cuba kat kelas A tu, selepas itu terus balik masuk bilik (kelas) masing-masing sebab esoknya kena bangun awal pagi.

3. Kumpulan Ketiga
Kumpulan ketiga pula muncul selepas beberapa hari Program Khemah Ibadah berlangsung. Kumpulan ketiga ni langsung tidak tahu dah ada dua kumpulan pelajar yang main Spirit of the Coins sebelum ini. Mereka curious sangat-sangat dengan permainan ini. Semasa upacara dilakukan, mereka fikir takkan ada apa-apa benda yang berlaku sebab mereka ingat mereka lah yang pertama bermain Spirit of the Coins ni. Selesai segala upacara, tiba-tiba salah seorang daripada mereka terkena histeria. Yang kena histeria ini lah yang masa kejadian pertama berlaku, rakan lagi seorang nak tolong redakan, sekali dengan dia pun kena histeria juga. Rakan yang terlibat lagi seorang terselamat tak kena histeria cuma terkejut besar, takut dan serba salah.

Ustaz berkata, buat macam mana pun, kejadian histeria tetap akan berulang, melainkan mereka dapat cari semula duit syiling yang mereka gunakan semasa upacara Spirit of the Coins. Peralatan yang mereka guna, tempurung, tiga duit syiling dan lilin. Tapi jawapan mereka, “Masa kami main Spirit of the Coins itu, tinggal dua syiling saja, lagi satu hilang macam tu je. Lepas syiling itu hilanglah, Qira mula diserang histeria”.

Mereka pun carilah duit syiling itu dalam Kelas A, tapi tak jumpa-jumpa. Carilah mana-mana pun takkan jumpa. Oh ya duit syiling yang mereka gunakan itu bukan duit syiling biasa. Duit syiling tu agak pelik, rupa pun buruk seperti duit syiling lama. Akhirnya, ustaz gunakan ilmu yang ada, azan semua bagai, tiba-tiba ustaz arahkan seorang cikgu lelaki naik atas bumbung sekolah. Cikgu turun je dari bumbung sekolah, dekat tangan dia ada duit syiling itu.

syiling lama

Selepas ustaz dah dapat duit syiling tu, kitorang tidak tahu apa yang terjadi selepas tu. Sebab semua pelajar kena masuk ke kelas masing-masing. Yang menguruskannya cuma pihak sekolah dan ustaz sahaja. Alhamdulillah selepas tu, keadaan sekolah dah kembali tenang macam sebelum ini.

Pada mulanya aku tidak tahu orang yang bukan beragama Islam pun boleh nampak benda-benda ghaib ni. Miss Chen ada beritahu kitorang, Spirit of the Coins ini sangat bahaya. Sebab benda lama yang dah berkurun pun boleh keluar semula. Aku dah blur dah masa tu. Dia kata, “Kawan you buat Spirit of the Coins hari itu, dah keluarkan macam-macam makhluk yang berasal dari zaman dulu. Kawasan sekolah kita ini adalah kawasan kubur pada zaman dahulu”.

“Sebab itu mereka semua bebas..”

Apa yang Miss Chen cakap ini juga, sama dengan apa yang ustaz beritahu. Kiranya Spirit of the Coins ini memuja dan memanggil-manggil makhluk yang tidak sepatutnya. Rupa-rupanya, masa kejadian histeria hari tu, Miss Chen sudah tahu dah apa yang berlaku. Tapi dia boleh buat rileks je, siap suruh kitorang ambik wuduk, baca Yaasin.

Ada cerita juga dari akak jiran sebelah rumah, dia bekas pelajar dari sekolah kitorang. Masa zaman dia belajar kat sekolah kitorang tu dulu pun, pernah berlaku kejadian histeria yang sama tetapi lagi teruk, tapi dah bertahun lama lah. Sampai pihak sekolah terpaksa meminta bantuan ustaz-ustaz dan pelajar-pelajar dari sekolah lelaki di sebelah untuk bantu pelajar perempuan. Tapi pelajar lelaki yang membantu pun terkena histeria sekali masa itu. Keadaan lagi teruk apabila lelaki yang terkena histeria.

Apa-apa pun alhamdulillah semuanya dah pulih seperti sedia kala. Harap jangan ada lagi yang gatal buat upacara tu lagi. Semua itu adalah SYIRIK dan berdosa besar.

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi kisahseram.com

Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Editor & founder orangperak.com
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.