Kisah Bayi Diganggu Jelmaan Nenek Tua

satu program percuma khas oleh kisahseram.com

Kisah seram ini telah dikongsi pada 22 Februari yang lalu oleh seorang ibu bernama Mardhiah Mohamad di laman sosial media Facebook mengenai gangguan yang berlaku terhadap bayinya yang baru berusia beberapa bulan. Ikuti perkongsian beliau yang telah mendapat lebih dari 1500 share ini agar para ibu bapa yang ada anak kecil dapat jadikan sebagai iktibar terhadap apa yang berlaku dan lebih berhati-hati apabila ingin berjalan jauh lebih-lebih lagi jika melibatkan perjalanan di malam hari.

Mungkin post aku yang ni agak panjang, tapi aku cuma ingin berkongsi pengalaman yang terjadi kepada anak aku sendiri, baby Syifa. Semoga ianya dapat dijadikan iktibar untuk kita semua. Nak dijadikan cerita, semasa balik dari kuala Lumpur ke Kelantan hari itu, kami bertolak agak lewat. Selepas waktu zohor baru gerak, jadi semasa sampai di Gua Musang dah nak senja. Dalam pukul 6 petang lebih kalau tak silap. Sepanjang perjalanan dari Kuala Lumpur ke Gua Musang, Syifa memang tak tidur langsung. Si Syifa ni suka berdiri dan tengok pemandangan sekeliling. Masa tu tak adalah fikir apa-apa pun sebab tidak ada apa yang pelik berlaku.

Sampai di hentian RnR, kami berhenti makan, mandikan Syifa dan tunggu untuk solat maghrib. Lepas dah selesai semua, kami meneruskan perjalanan. Opss, terlupa pula nak bagitau. Masa balik tu, dalam kereta ada aku, Naida, Maryam dan baby Syifa. Perempuan sahaja. Dah gerak dari RnR tu, barulah Syifa tertidur. Dalam hati memang lega la sebab tidur juga akhirnya budak kecik ni. Dalam perjalanan nak menghala ke Kuala Krai, tiba-tiba ada kereta yang hon kami. Mula-mula tu, kami fikir sebab kami bawak kereta perlahan sangat kot, sampai kena hon. Tapi selang beberapa saat, ada lagi sebuah kereta yang hon dan terus memotong kereta kami. Disebabkan rasa tak sedap hati, kami berhenti untuk tengok apa yang tidak kenanya. Masa tu Naida dan Maryam je yang keluar tengok. Memang takda apa pun yang berlaku. Jadi, kami cuba berfikiran positif walaupun kat dalam hati masing-masing dah rasa lain macam.

Dalam pukul 11.30 tengah malam, kami selamat sampai di rumah umi. Masa nak keluar dari kereta, Syifa pun dah tersedar. Dia tak nangis pun tapi macam mamai-mamai je. Masuk dalam rumah pun ok je dia. Dah siap-siap bersihkan diri, nak tidur la kan sebab penat dah badan ni seharian dalam kereta. Mata pun memang dah ngantuk sangat. Tapi bermula pukul 12.30 tengah malam, Syifa mula menangis. Bukan menangis biasa-biasa tapi nangis yang menjerit-jerit. Umi cakap mungkin Syifa kembang perut. Dah sapu ubat dan urut-urut pun masih tak jalan. Semakin kuat suara dia, ayat Quran, doa, zikir, selawat, berzanji, marhaban semuanya tak berkesan. Pastu kami panggil tok guru yang ajar mengaji depan umah datang, tapi keadaan masih sama jugak.

Kemudian, Maryam telefon abang dia sebab abang dia boleh ubatkan orang. Abang Maryam cakap mungkin terkena gangguan yang berupa nenek tua. Malam itu kiranya Syifa berhenti menangis sebab dia memang sudah terlalu penat. Pukul 4.30 pagi barulah dia tertidur. Itu pun dia tidur dalam keadaan takut-takut dan teresak-esak. Aku sendiri pun menangis sebab kesian tengok keadaan dia.

Keesokan paginya Syifa bangun macam biasa, tapi tak ceria seperti selalu la. Kebetulan hari tu nak pergi kenduri kat rumah kawan kami, jadi kami singgah di rumah Tok Ayah. Tok Ayah ni boleh berubat orang jugak la. Lepas balik dari rumah Tok Ayah memang Syifa ceria je. Jadi kami fikir, dah takda apa-apa kot. Tok Ayah tu cakap, mungkin terkena teguran je la kot. Memandangkan Syifa pun dah ceria, dapat la kami pergi kenduri kahwin kawan dengan tenang. Balik dari kenduri tu dah petang jugak la. Dekat nak sampai ke kawasan rumah, Syifa dah mula meragam. Syifa macam tahu-tahu je dah nak sampai rumah. Dah siap mandikan dan susukan dia, dia nangis balik. Tangisan yang sama macam malam yang sebelum tu. Hari itu pula kebetulan ramai saudara-mara yang datang ke rumah. Jadi lepas yang ni dukung, yang tu pula dukung tapi semua dia tak nak. Memang kalau kita dukung dia, dia akan tekapkan muka kat badan kita. Mungkin juga sebab Syifa takut sangat.

Aku cakap kat umi cuba la telefon mak bidan (Kak Na), mungkin dia boleh tolong. Kak Na ni adalah orang yang urutkan aku masa aku dalam pantang. Dalam 10 minit selepas dihubungi, Kak Na datang ke rumah. Dengan Kak Na pun Syifa tak nak, dia masih menangis. Pastu umi cakap pergilah masuk bilik, boleh susukan Syifa sambil Kak Na baca-baca doa ke apa. Masa atas katil sambil nak susukan Syifa, kak Na ni duduk menghadap dengan aku. Orang putih cakap ‘face to face’ la. Dekat la jarak aku dengan dia. Mula-mula ok je sembang ngan dia, biasa kalau kita sembang mesti la kita tengok mata orang yang sembang dengan kita tu kan. Tengah duk borak-borak dengan dia, zass aku perasan dia macam kena rasuk. Mata dia, wajah dia seram sangat. Tengah taip ni pun tiba-tiba bulu roma aku tegak je berdiri sebab teringat muka dia yang seram tu. Huwaaaaaa!!! Memang masa dia dah kena rasuk tu, aku menjerit panggil umi aku. Nasib baik masa tu aku peluk Syifa dan tak bagi dia pegang Syifa. Aku tepis tangan dia sebab dia nak pegang Syifa. Dah rasa macam dalam filem seram sangat masa tu.

Cepat-cepat aku keluar dari bilik. Tangisan Syifa makin kuat sebab dia terkejut dengar aku menjerit. Aku pun masa tu rasa macam dah hilang separuh semangat aku. Memang kecoh sangat kat rumah masa tu. Sampaikan jiran-jiran yang berdekatan semua datang tengok apa yang berlaku. Masa tu Kak Na masih kena rasuk. Dia jadi nenek tua oi, suara dia, gaya dia sebiji macam orang tua la. Aku dah tak berani nak tatap mata dia, takut dari mata turun ke hati. Huhuhu. Lepas dia sedar, dia cakap dia nak balik. Dia tak boleh tolong. Lagipun dia ada hal lain lepas tu. Syifa pula tak berhenti menangis lagi dari tadi.

Kisah Bayi Diganggu Jelmaan Nenek Tua

gambar hiasan

Elok je Kak Na tu balik, datang pulak Tok Abah. Jiran aku yang tolong hubungi Tok Abah suruh datang ke rumah aku. Tok Abah datang, dia mintak benang kuning. Sambil dia duk simpul-simpul benang tu ada la dia baca ayat-ayat Quran. Lepas tu dia pakaikan Syifa dengan rantai benang kuning itu. Ok, Syifa senyap sekejap. Selang beberapa minit, dia menangis balik. Tok Abah cakap benda yang ikut Syifa ni degil. Kemudian, dia mintak pula garam dan lada hitam untuk pagarkan rumah. Syifa berhenti nangis. Jadi, Tok Abah ingat benda itu dah lari. Tak lama kemudian, Syifa mula menangis balik. Tok Abah cakap benda ni ada lagi. Masa tu semua dah buntu.

Pastu aku cerita pada Tok Abah yang sebelum Tok Abah datang, Kak Na pun ada datang ke rumah. Aku cerita la kat dia yang Kak Na tu kena rasuk. Lepas dengar cerita aku je, dia beriya suruh panggil Kak Na tu balik. Katanya Tok Abah, kalau ada Kak Na senang sikit nak selesaikan masalah ini. Umi telefon Kak Na balik, mula-mula dia agak berat hati nak datang tapi dia datang jugak dengan syarat dia suruh umi telefon suami dia suruh datang jugak ke rumah aku sebab masa tu Kak Na ada kat rumah orang lain. Sementara menunggu Kak Na dan suami dia sampai, Syifa dah pun tertidur kepenatan.

Ketika Kak Na dan suami dia sampai ke rumah, masa tu aku dah masuk dalam bilik sebab temankan Syifa tidur. Yang tak boleh blahnya siap ajak Maryam sekali sebab takut. Aku dan Maryam hanya dengar apa yang berlaku di ruang tamu dari dalam bilik je la. Kiranya Kak Na ni dia relakan badan dia untuk jadi perantara antara nenek tua dengan Tok Abah. Jadi, masa badan dia kena rasuk jadi nenek tua, macam-macam la yang dapat kita tanya kat dia. Di sini aku sertakan dialog antara Tok Abah dan Kak Na (masa ni dia dah dirasuk oleh nenek tua).

Tok abah : Kenapa ganggu budak kecik?
Nenek tua : Aku bukan ganggu, aku nak main-main je dengan dia. Aku suka budak tu sebab dia comel.
Tok abah : Balik lah ke tempat asal kau, jangan diganggu budak kecik ni. Kesian dia takut tengok kau!
Nenek tua : Aku takda siapa-siapa, aku nak tumpang budak ni. Aku seronok duk kat sini. (Setan kau ingat aku seronok ke?!)
Tok abah : Macam-mana kau boleh ikut budak ni?

Nenek tua tu jawab, “Aku duk kat bonet kereta. Nak masuk takda orang yang bukak pintu”. Bila aku ingat balik, patutlah masa dalam perjalanan balik ke rumah malam tu banyak kereta yang dok hon-hon kami. Rupa-rupanya inilah sebabnya!! Seterusnya Tok Abah bagi amaran pada nenek tua itu untuk tidak mengganggu Syifa lagi dan bla bla bla..(tak kuasa aku nak taip panjang-panjang). Masa ni ada la kejadian Kak Na ni hentak kepala dia kat pintu bilik sebab nak masuk bilik nak ambik Syifa. Tapi jangan risau, masa ni mesti la aku dah kunci pintu duk senyap-senyap dalam bilik bersama dengan Syifa dan Maryam.

Alhamdulillah, akhir sekali dapat jugak buang benda tu dari badan Kak Na dengan cara paksa. Tapi kesian jugak la dengan Kak Na sebab badan dia jadi lesu lepas dia dah sedar. Terima kasih banyak-banyak Kak Na. Tok Abah dah pergi buang benda tu kat Sungai Wakaf Stan. Jadi kepada sesiapa yang rasa nak cari nenek angkat boleh la pergi cari kat Sungai Wakaf Stan (gurau je). Pesan Tok Abah, kalau nak berjalan jauh bawak anak kecik, sediakan lada hitam, garam dan asam keping letak dalam bekas kecik. Dalam perjalanan bukak la penutup bekas tu, sebab kita nak elak benda-benda halus macam ni dari ganggu anak kita. Jangan lupa jugak baca ayat Qursi dan selawat hembus kat ubun-ubun anak sebelum nak keluar dari kereta.

Kisah Bayi Diganggu Jelmaan Nenek Tua

gambar hiasan

Yang paling penting jangan la kita semua bergantung sepenuhnya pada garam, lada hitam, cukup rasa dan seumpanya kerana apapun, Allah jua yang Maha Berkuasa terhadap seluruh alam semesta. Banyakkan berdoa dan yakin pada Allah S.W.T. Bila dah jadi macam ni, aku harap kita semua lebih berhati-hati. Siapa yang tak sayang anak kan? Semoga Allah melindungi kita semua dari segala anasir-anasir jahat.

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi kisahseram.com

Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Editor & founder orangperak.com
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.