Kerana Permainkan Hati Perempuan, Bekas Kekasih Hantar Sihir Balas Dendam Part 3

Sambungan dari Kisah Benar – Kerana cuba mempermainkan hati dan perasaan perempuan, bekas teman wanita hantar sihir berupa ular, pontianak dan makhluk berbulu hitam demi untuk membalas dendam!!. Jika anda tertinggal Episod 1 dan Episod 2, anda boleh klik di sini untuk membaca kisah bekas kekasih hantar ular, pontianak dan makhluk berbulu untuk balas dendam Episod 1 dan Episod 2.

Episod 3

Tiga minggu selepas aku keluarkan jin ular tadi, masa itu cuti umum hari Isnin dan Selasa. Aku ambil keputusan untuk balik ke kampung pada malam Jumaat, walaupun cuti sekejap je. Masa ini aku dah mula insaf sikit-sikit. Aku anggap kejadian ular itu sebagai pengajaran. Aku naik bas dekat terminal. Pukul 12 malam bas pun bergerak. Perjalanan ke kampung aku mengambil masa selama 6 jam. Jadi bas dijangka sampai pada pukul 6 pagi. Aku meminta ayah aku datang jemput jam itu.

Sejam selepas perjalanan, masa tu aku duduk belakang sekali, aku tengok pemandangan di luar tingkap. Tepi jalan banyak hutan je. Entah kenapa aku rasa tidak sedap hati. Aku perhatikan betul-betul, memang tak salah lagi. Di sebalik pokok-pokok hutan itu, aku nampak benda putih terbang. Terbang ikut bas, sama laju. Oh, tidak! Orang di sebelah aku tiba-tiba baca sesuatu. Dia pun perasan jugak kot. Aku cepat-cepat tutup langsir tingkap aku tu.

Beberapa minit selepas itu, bas tiba-tiba dibelok kuat ke kiri. Bergoyang bas itu, terkejut penumpang-penumpang. Kami hampir-hampir terbabas tapi mujurlah pemanadu bas boleh kawal lagi bas itu. Dia menjerit, “Tidak ada apa-apa. Ada lubang tengah jalan. Tenang-tenang”. Aku dan orang sebelah spontan pandang ke belakang. Mana ada lubang, tapi ada kelibat perempuan baju putih kat tengah jalan tu. Itulah yang pemandu bas nak elak tadi kot.

pontianak

Aku betul-betul rasa cuak. Takut sangat. Aku rasa semua ini berpunca dari aku. Aku berdoa supaya tidak ada apa-apa yang berlaku. Aku tengok orang sebelah aku pon dok terkumat-kamit mulutnya membaca sesuatu. Pada pukul 3 pagi, selepas 3 jam perjalanan keadaan tenang, ada penumpang-penumpang yang dah terlelap, ada yang main psp tapi aku semestinya tidak dapat melelapkan mata. Tiba-tiba, “Aaaaaaaaaaaahh!!”, kedengaran suara seorang penumpang perempuan menjerit-jerit.

Semua orang terkejut. Perempuan itu menjerit, “Ada pontianak! Ada pontianak!!”. Bas berhenti, pemandu bangun dan meminta perempuan tersebut dan penumpang yang lain supaya bertenang. Dia meminta penumpang-penumpang bas yang beragama Islam agar mula membaca apa yang patut, tapi semua orang tengah takut. Ada yang dah nak nangis. Penumpang sebelah perempuan itu pujuk-pujuk dia untuk bagi tenang.

Kemudian, pemandu bas pasang CD ayat-ayat Quran dan bas mula berjalan balik. Tidak ada oarng yang berani lelap dah selepas tu. Kelihatan 2 orang lelaki duduk dekat-dekat dengan pemandu bas itu. Borak-borak, mungkin nak bagi pemandu itu rileks jugak kot. Bas sampai di terminal pada pukul 5 pagi. Eh, sejam awal. Pemandu bas rempit kot, takut punya pasal. Semua orang merasa lega bila dah sampai.

Aku turun, ada sejam lagi kena tunggu ni. Aku duduk kat kerusi yang ada kat situ. Penumpang yang lain ada yang ambil teksi, ada yang orang datang jemput. Akhirnya, tinggal aku seorang. Risau pulak aku. Tidak lama kemudian, ada bas lain yang baru sampai tapi tak ramai penumpang. Ada seorang makcik India ni turun dari bas itu dan berjalan ke arah aku. Nak duduk sini jugak kot tapi masa tu dia tengah belek-belek henfon dia.

Apabila dah dekat sampai kawasan tempat duduk aku tu, dia pun pandang la aku. Aku senyum tapi dia buat muka terkejut. Denagn kalut, dia terus berlari balik ke arah bas sambil menjerit, “Aiyoooo!!!!”. Aku pelik. Ada penumpang-penumpang lain yang baru turun dari bas tadi semua pandang makcik India itu. Makcik India itu tunjuk-tunjuk ke arah aku. Penumpang-penumpang bas itu pandang aku. Semua menjerit dan panik, masing-masing lari. Aku berkata dalam hati, “Ah, sudah. Kenapa ni?”.

Aku berdiri sebab terkejut. Dah bising pulak terminal itu dengan jeritan-jeritan manusia. Aku pandang ke kiri dan kanan tapi tidak ada apa-apa. Kemudian aku mendongak ke atas. Pontianak tadi!! Terapung-apung atas aku. Tanpa berlengah, aku pun lari macam tak cukup tanah. Penumpang-penumpang bas tadi semua lari bertempiaran ntah ke mana. Aku lari tanpa hala tuju. Habis beg-beg aku tinggal kat situ. Aku lari ke jalan raya. Aku lintas. Ada stesen minyak, aku lari ke situ.

pontianak

Sampai di stesen minyak, aku berhenti. Tercungap-cungap, tak larat dah aku berlari. Aku baru je buat larian paling laju dalam hidup aku. Aku pandang ke depan, belakang, atas dan bawah. Tidak ada dah pontianak itu. Pekerja-pekerja stesen minyak itu pandang aku dengan muka pelik. Aku terduduk atas jalan. Tidak lama selepas tu, aku nampak kereta ayah aku. Aku tahan. Ayah aku tanya kenapa aku duduk situ. Aku terus ajak dia pergi tempat duduk aku tadi. Memang tidak ada apa dah. Kami ambil beg dan balik ke rumah.

Sampai di rumah, aku terus menunaikan solat subuh. Selepas bersarapan aku ceritakan semuanya kepada mak dan ayah aku. Mak aku punya la marah. Membebel dia pagi itu. Tak sangka anak dia playboy, dah lah budak sekolah agama! Tapi benda dah jadi, aku beritahu mereka yang aku dah insaf. Mak ayah aku diam. Mereka suruh aku berehat dulu. Aku bangun tidur selepas Zohor. Aku keluar bilik, nampak mak dan ayah aku duduk dekat ruang tamu dengan seorang saudara, nama Tok Lah. Dia padai mengubat.

Apabila dia nampak aku, terus dia panggil. Aku duduk depan dia. Dia nak scan aku dulu. Cara Tok Lah mengubat lebih kurang sama dengan Abang Wan. Baca ayat ruqyah kuat-kuat pastu banyak kali dia seru jin dalam badan aku ni. Suruh bercakap dengan dia. Tapi tidak ada respon apa pun. Dia syak benda itu dah lari masa dia sampai. Buat masa ini Tok Lah cuma pagarkan aku tapi aku kena pagar diri sendiri dengan rajin membuat amalan. Tok lah nak tidur di rumah aku pada malam itu.

Malam itu aku tidak dapat tidur. Teruk betul aku rasa. Aku ingat balik apa yang dah aku buat. Main-mainkan perempuan. Menyesal sungguh. Sekarang ada yang membalas dendam. Memang padan dengan muka aku. Aku mengiring ke kiri, ke kanan tapi aku tetap resah. Jam sudah menunjukkan pukul 1 pagi. Tiba-tiba aku rasa ada orang berjalan. Di atas katil aku, aku diam. Aku pandang sekeliling tapi tidak ada apa-apa.

pontianak

Aku mengiring ke kanan. Alamak, aku rasa ada yang baring kat belakang aku! Meremang naik segala bulu roma aku. Aku cepat-cepat bingkas bangun tanpa pandang belakang pun. Aku keluar bilik. Aku ketuk bilik mak dan ayah aku. Bila mak aku buka pintu je, mata dia terus terbeliak, “Baaannggg!!!”. Ayah aku terus bangun. Ketika nampak aku, ayah aku terus beristighfar, ” Astaghfirullah, Allahuakbar!”.

Tahu lah aku, benda itu ada kat belakang aku. Aku memang tak berani nak pusing ke belakang. “Haaiippp!!”, terdengar pula suara Tok Lah. Serentak dengan itu, aku rasa ada angin menderu kat belakang aku dan bergerak laju ke atas. Aku agak benda itu terbang. Aku pusing, aku nampak Tok Lah tengah kejar benda itu. Dia terbang ke dapur. Ada lubang kat atas pintu dapur tu, untuk pengudaraan. Benda itu menyusup ikut lubang itu. Tok Lah tidak dapat berbuat apa-apa.

Selepas itu, kami semua berjaga sampai ke siang sudahnya. Masing-masing macam tak percaya dengan apa yang baru terjadi. Esoknya pagi-pagi lagi aku dah kena mandi dengan air limau. Tok Lah memagar satu rumah. Dia menasihatkan aku supaya tak balik ke universiti dulu. Aku hubungi pensyarah aku semua, beritahu apa yang terjadi pada aku tapi aku tak sebut siapa yang punya angkara. Aku cuti kuliah selama seminggu.

Dalam masa seminggu tu, Tok Lah berusaha untuk ubatkan dan pulihkan aku semula. Akhirnya aku terpaksa balik universiti jugak lepas seminggu. Sampai di universiti, selama beberapa minggu tidak ada sebarang gangguan. Aku menguatkan diri dengan amalan-amalan zikir. Hidup aku tenang buat sementara.

Bersambung ke Episod 4.

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi kisahseram.com

Loading...

LEAVE A REPLY

Amaran:
Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Please enter your comment!
Please enter your name here