Kerana Permainkan Hati Perempuan, Bekas Kekasih Hantar Sihir Balas Dendam Part 2

Sambungan dari Kisah Benar – Kerana cuba mempermainkan hati dan perasaan perempuan, bekas teman wanita hantar sihir berupa ular, pontianak dan makhluk berbulu hitam demi untuk membalas dendam!!. Jika anda tertinggal Episod 1, anda boleh klik di sini untuk membacanya.

Episod 2

Masuk bulan pertama semester 6, dah lebih 3 bulan aku single. Aku ingat nak rehat sekejap daripada kaum hawa ini. Nak fokus pada pelajaran dan berbaik-baik dengan kawan-kawan lelaki yang aku tak hirau dari dulu tu. Akhirnya aku berjaya memperbaiki hubungan kami. Budak-budak lelaki tidak lagi menyisihkan aku. Maka aku teruskan hidup seperti biasa.

Pada bulan kedua semester 6, satu hari aku ke kuliah seperti biasa. Kuliah petang, bermula pukul 5 habis pukul 6.30 petang. Dalam pukul 6.15, aku perasan sesuatu. Aku nampak seekor ular hitam, saiz sebesar betis, panjang dan tengah elok berlingkar kat kaki pensyarah yang tengah mengajar. Tapi yang peliknya, semua oarng buat tidak tahu sahaja. Pensyarah itu pun macam tidak ada perasaan, mengajar macam biasa. Sebab semua orang buat tak tahu, aku ingatkan ular itu haiwan peliharaan pensyarah la.

ular hitam

Spontan aku tanya kawan kat sebelah aku, ” Pensyarah bawak pet macam tu, orang tak takut ke?”. Kawan aku terpinga-pinga. Banyak kali jugalah dia tanya aku, “Mana, mana?”. Dan banyak kali jugalah aku tunjuk kat kaki pensyarah itu, sampai pensyarah itu perasan. Siap tanya kalau aku ada apa-apa soalan. Bila balik tu tidak ada seorang pun kawan-kawan aku mengaku nampak ular itu, tapi aku tak percaya. Aku fikir mungkin mereka ni saja nak main-main kenakan aku. Tapi mereka memang sungguh-sungguh, siap bersumpah-sumpah kata memang tak nampak. Aku dah rasa lain macam.

2-3 hari selepas tu, malam itu aku tengah melepak kat bilik kawan aku. Kami duduk hostel, tiba-tiba aku rasa nak pergi ke tandas. Bila aku dah hampir sampai ke tandas, lagi sekali, aku nampak seekor ular. Kali ini lagi dekat sebab masa kuliah haritu nampak dari jauh je. Aku terkejut, ular tu elok je berlingkar kat depan pintu tandas. Ular tu angkat kepala dia dan pandang aku. Aku terus berlari balik ke bilik kawan aku tadi. Panggil diorang dan bagitau ada ular kat tandas.

Tapi apabila kami pergi tengok balik ramai-ramai, ular itu dah takda. Puas aku cuba meyakinkan diorang, ular ini memang sebijik macam yang aku nampak masa kuliah hari itu. Aku akhirnya buat report kat warden. Keesokan paginya ada seorang pekerja yang cari ular ini tapi tak jumpa. Dalam hati aku berkata, “Lambat sangat bertindak diorang ni, ular itu dah lari jauh dah”. Hidup aku tak keruan sejak hari itu, asyik teringat-ingat kat ular ni. Aku jadi risau, takut pun ada. Pernah sekali ada batang kayu di tepi jalan pun buat aku terkejut sebab aku ingatkan ular itu.

Selang seminggu kemudian, kali ini kat kafetaria. Waktu malam lepas pukul 10, aku tengah buat projek berkumpulan dengan kawan-kawan aku. Tengah dok bincang-bincang tu, aku nampak balik ular itu. Mula-mula jauh dari aku, berlingkar tidak bergerak tapi kepala dia pandang aku. Kemudian ular itu bergerak ke arah aku, semakin lama semakin dekat, dan semakin laju. Spontan aku terus lompat dari kerusi yang aku duduk itu, lintang-pukang aku lari balik ke hostel.

Sampai hostel, aku lari masuk bilik kawan aku dan terus kuncikan pintu. Terpinga-pinga diorang tengok kelakuan aku. Muka aku betul-betul pucat. Aku terangkan apa yang berlaku. Mungkin sebab aku asyik cerita pasal ular ini, diorang dah mula percaya. Diorang menasihatkan aku supaya jadi aku yang dulu balik, imam muda. Banyakkan amalan, sebab ular itu mungkin syaitan yang nak main-mainkan aku. Aku terima nasihat itu.

Mulai hari itu, aku dah jaga balik solat aku tapi hidup aku makin tidak keruan. Gangguan semakin menjadi-jadi pulak. Ada masa-masa kat kuliah ke, kat bilik ke, aku selalu dengar bunyi desiran ular. Bunyi sayup-sayup je tapi telinga aku dapat tangkap. Aku jadi terlebih takut. Buku jatuh dari meja pun boleh buat aku terkejut smpai pucat-lesi. Kemuncaknya, satu hari ketika aku sedang bersiap-siap nak pergi kuliah. Aku baru lepas mandi, nak pakai baju. Tapi bila buka je almari baju aku, seekor ular hitam tengah berlingkar kat atas baju-baju aku.

ular hitam

Itulah situasi aku berada paling dekat dengan ular tersebut. Memang besar betul ular itu. Senang-senang je rasanya dia boleh belit aku sampai mati. Ular tu angkat kepala dia. Dengan pantas, terus patuk muka aku yang bagaikan terpaku di depan almari. Dunia aku jadi gelap, aku tumbang. Aku dapat rasakan badan aku jadi sejuk, sangat sejuk. Badan aku bergerak-gerak. Aku tidak pasti apa yang aku buat, tidak dapat berfikir pun. Tapi masa tu aku sedar lagi.

Aku tidak tahu berapa lama aku terbaring sambil menggoyang-goyangkan badan kat atas lantai tu. Aku memang tidak nampak apa-apa sampailah aku dengar suara kawan sebilik aku. Dia baru balik dari kuliah. Tidak jelas apa yang dia jerit-jeritkan. Telinga aku berdesing je. Lepas tu aku dengar pulak suara ramai orang dan aku rasa diri aku diangkat. Badan aku pula masih bergoyang-goyang. Aku tidak pasti aku buat tarian ke apa. Aku rasa badan aku diletak dalam kereta.

Dalam 10 minit, aku diangkat keluar pula. Kemudian, aku dengar bacaan ayat-ayat al-Quran. Penglihatan aku mula beransur-ansur pulih. Rupa-rupanya kawan-kawan aku dah hantar aku ke rumah pensyarah aku yang pandai mengubat. Nasib baiklah pensyarah tu ada kat rumah pada masa itu. Memang syukur sangat. Aku tengok kawan sebilik aku pun ada. Dia membuka cerita, masa balik bilik dia nampak aku terlentang kat lantai.

Mata aku buntang, nampak mata putih je, anak mata dah ternaik habis ke atas. Sebab itulah aku tak nampak apa-apa. Pastu dia kata aku tengah buat macam gerakan ular. Terlenggok-lenggok badan aku macam ular berlingkar. Dia jadi takut, terus panggil kawan-kawan aku yang lain dan hantar aku ke sini. Pensyarah itu meminta aku pergi ke rumah kawan dia yang lagi pandai mengubat, malam itu jugak. Kawan-kawan yang bersimpati, setuju tolong aku.

dirasuk

Kami balik hostel dulu, makan-makan pastu baru bergerak ke rumah kawan pensyarah tadi. Perjalanan agak jauh sebab rumah dia kat luar IPTA. Kami sampai kat rumah kawan pensyarah ni, aku panggil Abang Wan, dalam sejam kemudian. Kami dipersilakan masuk dan aku duduk berhadapan dengan Abang Wan. Abang Wan memulakan sesi rawatan dengan membaca ruqyah. Selepas itu dia meminta aku mengangkat kedua-dua tangan dan bertempik, “Kalau ada jin sihir dalam badan Sham, bergerak ke tangan kiri sekarang! Jatuhkan tangan kiri Sham!”. Ayat itu diulang sebanyak 3 kali. Tidak ada sebarang respon. Abang Wan sambung ruqyah.

Dada aku mula berdebar-debar. Lagi sekali Abang Wan tempik, “Kalau ada jin sihir dalam badan Sham, bergerak ke tangan kiri sekarang! Jatuhkan tangan kiri Sham!”. Kali ini sekali sahaja, aku dapat rasa ada pergerakan dalam badan aku, seolah-olah ada ular yang sedang bergerak di bawah kulit aku. Bermula dari kaki kiri, dia bergerak-gerak ke betis, peha, perut, dada sampailah ke tangan kiri aku. Serta-merta aku rasa tangan kiri aku amat berat dan jatuhlah tangan kiri aku. Maka benarlah ada jin sihir dalam badan aku.

Abang Wan sambung bacaan lagi. Selepas itu dia tempik macam tadi, tapi kali ini dia suruh bergerak ke lidah aku. Abang Wan nak berdialog dengan jin sihir itu. Aku rasa ular di bawah kulit aku bergerak dari tangan kiri, ke mulut aku. Masa benda tu lalu kat leher memang aku rasa perit sangat. Macam nak muntah. Kemudian aku rasa lidah aku bagaikan dikawal oleh jin tadi. Abang Wan tanya siapa tuan dia tapi jawapan dari lidah aku adalah, “Ssssssssss”, bunyi ular. Abang Wan tanya macam-macam tapi jawapan cuma ‘Sssssssssss’ sahaja. Kesudahannya, dialog gagal.

Abang Wan meminta jin itu keluar melalui mulut aku. Dada aku rasa sesak. Abang Wan menghulurkan baldi, aku pun muntah dengan banyaknya. Isi muntah itu hanya air kekuningan disertai dengan 3 ketul bebola darah yang beku. Seksanya aku muntah itu hanya tuhan saja yang tahu. Aku pengsan. Bila aku sedar balik, aku tengok semua orang tengah berbual-bual. Abang Wan datang dekat aku, beritahu jin itu sudah tidak ada dalam badan aku. Aku boleh balik.

Esoknya aku ponteng kelas seharian, nak rehat. Bila dah malam, aku dapat mesej yang mengejutkan dari Dila, “Bodoh, kau keluarkan satu, aku boleh hantar lagi!”. Sah, memang Dila yang buat aku. Aku rasa marah, tapi memang salah aku jugak. Main-mainkan dia. Tapi aku tak nak kena lagi, nak buat macam-mana. Aku hantar mesej minta maaf dari Dila, aku tak nak kena lagi. Tapi tidak ada balasan mesej dari Dila selepas itu.

Bersambung ke Episod 3.

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi kisahseram.com

Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Editor & founder orangperak.com
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.