Jelmaan Makhluk Berbulu Menyerupai Beruk Ganggu Penduduk Di Bachok

Di Bachok, cerita mengenai kewujudan penanggal masih belum terhenti sehingga kini walaupun zaman sudah moden. Malah sejak hebohnya cerita tentang makhluk halus itu yang pernah dilihat berkeliaran oleh penduduk setempat di sekitar Kampung Sungai Dua dan di kawasan kubur di Jelawat, ia telah menjadi perhatian netizen.

Di sebalik kisah penanggal itu sebenarnya tersembunyi pengalaman ngeri penduduk yang pernah diganggu oleh makhluk berbulu menyerupai beruk setinggi enam kaki yang berkeliaran di kampung berkenaan. Kisah makhluk berbulu tersebut terbongkar setelah pengamal perubatan Pusat Perubatan Islam Al-Qalam dari Selangor merawat kampung berkenaan selepas laporan Sinar Harian berkongsi kebimbangan penduduk yang diganggu penanggal dan bebola api.

bebola api

Kejadian diganggu oleh makhluk menyerupai beruk itu diceritakan oleh Zubaidah Abdullah, 50, ketika dia tinggal di kediaman arwah ibunya, Siti Zaharah Daud, 76 di Kampung Sungai Dua. Zubaidah berkata, tidurnya sering terganggu apabila kerap didatangi dua lembaga berbulu yang dikatakan datang dari arah pokok besar di belakang kediaman ibunya. “Saya terkejut apabila benda tu boleh bercakap dengan saya dan mahu tidur di sebelah saya”, katanya.

“Saya halau makhluk itu dengan membaca ayat al-Quran, kemudian ia hilang,” kata Zubaidah lagi yang memang sejak dari kecil sudah terbiasa dengan perkara mistik sebegitu. Kejadian pelik itu katanya turut dialami adik-beradiknya yang lain, namun tidak diendahkan oleh mereka.

tempat tinggal makhluk berbulu

Kawasan belakang kediaman Zubaidah dipercayai menjadi tempat tinggal makhluk berbulu

Bukan itu sahaja, malah menurut cerita Zubaidah, tamparan lagi hebat buatnya apabila dia mengalami keguguran ketika mengandungkan anak pertama sehingga ketiga hingga menyebabkan dia terpaksa menggunakan khidmat pengamal perubatan tradisional untuk ‘menjaga’ kandungan beliau sehingga berusia lima bulan. “Kandungan keempat saya pun tidak dapat bertahan lama, gugur lagi. Saya memang tidak menyangka keguguran itu sebenarnya ada kaitan dengan makhluk berbulu yang datang ganggu saya sebelum ini,” katanya.

Sangat menyeramkan juga apabila makhluk berbulu tersebut memanggil-manggil nama penduduk kampung terutamanya ketika waktu senja dan sekitar jam 8 malam sehingga 9 malam. Mengikut cerita penduduk lama di sini, kejadian berkenaan menyebabkan orang yang menyahut panggilan makhluk tersebut akan demam selama berminggu-minggu. Ekoran dari gangguan itu, penduduk kampung menjadi trauma dan tidak mahu keluar pada waktu senja dan malam.

makhluk berbulu

Turut mengalami gangguan terbabit ialah Azmi Bakar, 48. Kata Azmi, bumbung rumahnya pernah bergegar pada waktu maghrib seperti dipijak sesuatu yang sebelum ini disangka kucing. Ekoran kejadian diganggu penanggal dan makhluk berbulu yang kecoh sejak beberapa bulan lalu di kampung terbabit, Pengasas Pusat Perubatan Islam Al-Qalam, Datuk Seri Baharuddin Abu turun padang untuk mengenal pasti gangguan yang berlaku di Kampung Sungai Dua itu.

Dalam sesi rawatan yang dilakukan oleh Pengasas Pusat Perubatan itu, Datuk Seri Baharuddin berkata, kediaman arwah ibu Zubaidah yang telah lama ditinggalkan dan tidak berpenghuni merupakan antara faktor yang mendorong makhluk berbulu itu untuk menetap di kediaman itu.

Menurut Baharuddin, beliau turun ke sini untuk melihat sendiri keadaan kampung yang dikatakan diserang penanggal dan melakukan pemerhatian berhubung gangguan makhluk berbulu yang dihadapi keluarga Zubaidah dan kejiranannya.

“Mengikut cerita Zubaidah, rumah terbabit hanya digunakan semasa adik-beradiknya pulang pada masa cuti. Mungkin sebelum ini Zubaidah tidak tahu jelmaan makhluk berbulu itu bukanlah penanggal, tetapi ia adalah saka warisan yang tidak bertuan,” katanya.

Baharuddin berkata, setelah dibuat tinjauan didapati keluarga berkenaan sebenarnya bukan diganggu oleh penanggal tetapi ia merupakan saka belaan tanpa sedar yang sebelum ini berada dalam keluarga berkenaan. Kunci untuk membersihkan diri dan mengelakkan dari gangguan makhluk halus ini adalah dengan melakukan solat lima waktu dengan sebaik-baiknya di samping mengamalkan solat sunat termasuk solat taubat, tahajud, istikharah dan witir.

“Kita perlu kembali sepenuhnya kepada ajaran Islam dengan amalan ayat-ayat Ruqyah dan usah percaya kepada pawang dan bomoh, kerana gangguan itu hanya akan melemahkan rohani kita dan boleh memesongkan akidah seseorang,” kata Baharuddin lagi.

Sementara itu, Exco Gabungan Persatuan Pengubatan Islam Malaysia (Gapima), Datuk Shamsuri Shafie berkata, benteng bagi menjauhi gangguan iblis dan syaitan yang menjelma dalam pelbagai bentuk adalah dengan mengamalkan bacaan ayat-ayat suci dari surah dalam al-Quran. Ini termasuklah surah Al-Fatihah, Ayat Qursi, Surah Al-Baqarah ayat 1-5, Surah Ibrahim ayat 24-25, surah Al-Jin ayat 1-9, surah Al-Hasyr ayat 20-24 dan surah Al-Mukminun ayat 114-118 dan amalan empat Qul iaitu Al-Ikhlas, An-Nas, Al-Falaq dan Al-Kafirun.

makhluk berbulu

Menurut Datuk Shamsuri yang juga Pengasas Pusat Perubatan Islam At-Tobibi, amalan surah itu juga perlulah dibacakan untuk diri sendiri dan ketika di rumah dan jalan terbaik adalah manusia perlulah sentiasa mendekatkan diri kepada pencipta-Nya dengan mentaati perintah ALLAH SWT.

Untuk pengetahuan pembaca-pembaca kisahseram.com, kisah di atas dipetik dari Sinar Harian Online.

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi kisahseram.com

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.