Hantu Tarik Nyawa Di Sungai Golok

Salah satu destinasi syurga membeli belah yang terkenal di negeri Kelantan ialah Rantau Panjang. Namun begitu, Rantau Panjang juga tidak terkecuali turut menyimpan cerita-cerita mistik yang ada antaranya mampu meremangkan bulu roma sesiapa yang mendengarnya.

Beberapa siri kemalangan, kejadian lemas serta gangguan-gangguan tertentu yang berlaku di daerah Rantau Panjang ini, adakalanya menimbulkan persoalan. Adakah ia disebabkan oleh faktor-faktor mistik atau gangguan makhlus halus? Atau ia disebabkan oleh sikap cuai manusia itu sendiri, atau ada sebab yang lain?

makhluk halus

Apabila sesuatu kejadian itu sering berlaku dan berulang di lokasi yang sama, tidak dapat dielakkan apabila ada segelintir masyarakat yang mengaitkannya dengan unsur-unsur tahyul. Benarkah kemalangan berlaku kerana gangguan makhluk halus ataupun ia berpunca daripada sikap penduduk yang tidak mematuhi keselamatan diri sehingga meragut nyawa?

Ada kemungkinan juga cerita-cerita berunsur gangguan penuh misteri yang diceritakan oleh nenek moyang terdahulu merupakan salah satu unsur hiburan yang direka-reka bagi menakutkan anak-anak agar tidak keluar rumah sehingga lewat malam.

Selain itu, ada juga kemungkinan budak-budak nakal menyamar sebagai hantu dan mengganggu pengguna jalan raya sehingga mengakibatkan berlakunya kemalangan jalan raya di sini. Selain kemalangan jalan raya, kejadian lemas juga kerap berlaku di Rantau Panjang terutamanya di Sungai Golok.

sungai golok

Dalam masa setahun, pasti ada kejadian mati lemas yang berlaku di Sungai Golok tidak kira sama ada pada musim tengkujuh atau pun musim kemarau. Mengikut dakwaan penduduk setempat, kejadian lemas itu ada kaitan dengan alam mistik atau semangat ‘hantu’ yang menarik nyawa sehingga berlaku kejadian lemas di sini.

Walau bagaimanapun, ada juga penduduk yang percaya bahawa ia adalah takdir selain faktor kelalaian manusia itu sendiri kerana bermain di kawasan air yang dalam walaupun hakikatnya mereka tidak pandai berenang.

Seorang penduduk Rantau Panjang, Saripah Ayub, berkata bahawa dia tidak percaya sungai yang dikongsi antara dua negara berjiran ini dihuni ‘penunggu’ atau makhluk halus. Menurut Saripah, jika benar ada ‘hantu tarik nyawa’ atau ‘tarik kaki’ di sungai ini, dia yakin kejadian lemas pasti akan berlaku setiap hari.

“Tetapi kejadian itu tidak berlaku walaupun budak-budak yang tinggal berdekatan dengan sungai mandi setiap hari, malah mereka sering mencari etak bila kemarau,” katanya.

mandi sungai

Saripah berkata lagi, tidak dinafikan makhluk halus itu wujud, namun sebagai seorang Muslim kita wajib meyakini kekuasaan ALLAH melebihi segala-galanya dan bukannya percaya kepada mana-mana makhluk lain.

Sementara itu, seorang lagi penduduk Rantau panjang, Mat Bastaman, pula berkata, walaupun sebilangan penduduk tidak mempercayai makhluk halus menjadi punca kejadian lemas di Sungai Golok, namun ada penduduk dari negara jiran menjalankan upacara menolak bala.

Menurut Mat Bastaman, ada juga penduduk dari negara jiran yang menjalankan upacara Loy Kratung bagi menolak pelbagai bentuk tragedi ke atas keluarga mereka. “Walaupun kebiasaannya upacara Loy Kratung diadakan untuk menambah rezeki, namun ada juga terselit unsur-unsur menolak bala terutamanya bagi penduduk bukan beragama Islam yang menggunakan sungai sebagai sumber pengangkutan utama,” katanya.

Loy Kratung

Dalam pada itu, Mat Bastaman turut berkata, dia juga tidak mempercayai unsur-unsur khurafat berhubung kejadian lemas yang berlaku di Sungai Golok itu. “Biasanya kejadian lemas ini berlaku kepada penduduk luar kerana mereka tidak tahu mana kawasan yang dalam dan cetek.

“Ada juga yang mandi di sini tetapi tidak tahu berenang,” kata Mat. Tambahnya lagi, sungai itu juga ada kawasan pasir jerlus yang menyebabkan orang yang mandi-manda di situ mudah tenggelam dan seterusnya lemas.

Untuk pengetahuan pembaca setia kisahseram.com, artikel di atas dipetik dari Sinar Harian Online.

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi kisahseram.com

Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Editor & founder orangperak.com
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.