Hantu Raya Jilat Air Mayat Tuannya Bahagian 2

Ini merupakan sambungan daripada kisah seram Hantu Raya Jilat Air Mayat Tuannya Bahagian 1. Jika anda tertinggal bahagian 1, anda boleh klik pada pautan ini untuk membaca kisah Hantu Raya Jilat Air Mayat Tuannya Bahagian 1.

hantu

Isteri dan anak-anaknya sudah tidak sanggup lagi melihat penderitaan yang dialami oleh Pak Sahak. Akhirnya mereka memanggil Ustaz Abdul Aziz yang tinggal di kampung berdekatan untuk membantu menyelesaikan masalah itu. “Dah berapa lama Pak Sahak sakit ni Mak Munah?” tanya Ustaz Abdul Aziz yang duduk di sebelah suaminya.

“Adalah dalam lima bulan,” balas Mak Munah sayu. “Masya Allah,” ucapnya perlahan sambil menggeleng kepala melihat wajah Pak Sahak. Kemudiannya ustaz Abdul Aziz membaca sesuatu sambil menyentuh dahi Pak Sahak secara perlahan-lahan. Dia membaca beberapa surah untuk meringankan kesakitan ditanggung oleh Pak sahak. “Jangan sentuh aku, panas!!” Jerit Pak Sahak sebaik sahaja Ustaz Abdul Aziz menyentuh dahinya buat kali ketiga.

Tersentak beberapa orang penduduk kampung yang sedang membaca surah Yassin dan ada yang datang melawat ke rumah Pak Sahak apabila mendengar jeritan kuatnya. Walaupun Pak Sahak sudah kelihatan tenat dan nazak, tetapi suaranya amat kuat bertenaga. Ustaz Aziz dapat merasakan kelainan pada suara itu yang dianggap bukan suara Pak Sahak yang sebenar.

Ustaz Abdul Aziz terus membaca ayat al-Quran dengan diikuti bacaan Yassin oleh penduduk kampung. Keadaan Pak Sahak semakin gelisah. Dia cuba meronta ke kiri dan kanan seperti kesakitan. Selama hampir sejam Pak Sahak meronta dan meraung kepanasan. Beberapa kali Pak Sahak meminta air untuk diminum kerana terasa badannya terlalu panas.

hantu

Akhirnya tanpa disedari Pak Sahak menghembuskan nafasnya yang terakhir. Namun terdapat perkara aneh yang terjadi, secara tiba-tiba sahaja badan Pak Sahak yang gempal bertukar menjadi kurus kering seperti sudah lama meninggal dunia.

“Bersabar banyak-banyak ya Mak Munah, Pak Sahak sudah meninggal dunia. Pergilah panggil tukang mandi jenazah cepat. Jangan lengah-lengahkan lagi. Jenazah arwah perlu dikebumikan dengan segera” kata Ustaz Abdul Aziz dengan tenang.
Sementara menunggu tukang mandi mayat tiba, mereka membiarkan jenazah arwah Pak Sahak di ruang tamu rumah itu.

Memandangkan waktu Isyak sudah hampir tiba, semua tetamu kemudiannya turun dari rumah untuk ke surau yang terletak tidak jauh dari situ untuk solat Isyak berjemaah. Selepas solat Isyak, jenazah Pak Sahak dimandikan dan siap dikafankan. Jenazah arwah kemudiannya dikebumikan di tanah perkuburan Islam di hujung kampung pada malam tersebut juga.

Selesai proses pengebumian, pada malam itu tinggallah Mak Munah, tiga orang anak bujangnya dan beberapa orang ahli keluarga terdekat mereka. Disebabkan keletihan, mereka semua tertidur. Tidak berapa lama kemudian, Mak Munah terdengar bunyi seperti sesuatu menyusur di bawah rumahnya tempat arwah Pak Sahak dimandikan tadi.

kucing hitam

Pada mulanya, Mak Munah ingatkan itu adalah kucing, namun bunyi itu semakin kuat seperti sesuatu sedang menjilat air. Mak Munah cuba memberanikan diri turun ke bawah rumahnya sambil membawa lampu picit. Sebaik sahaja dia menyuluh ke arah bunyi suara itu, Mak Munah terkejut apabila melihat sesusuk tubuh manusia yang cuma tinggal rangka menyerupai suaminya sedang menjilat air mayat.

Bulu roma Mak Munah tegak berdiri dan dia mula berasa takut. Namun Mak Munah cekalkan dan terus menyuluh ke arah lembaga itu dengan berani. Lembaga itu kelihatan sedang berlutut sambil menjilat air mandian arwah Pak Sahak di bawah rumah. Pada awalnya Mak Munah cuba merahsiakan perkara itu daripada sesiapa termasuklah keluarga terdekat tetapi kerana bimbang perkara itu akan berulang kembali dia menceritakan tentang hal itu kepada Ustaz Abdul Aziz pada keesokan harinya.

Ustaz Abdul Aziz bersetuju membantu Mak Munah dan berjanji akan datang ke rumahnya pada lewat malam. Pada waktu yang telah dijanjikan, Ustaz Abdul Aziz melihat sendiri lembaga yang kelihatan seperti arwah Pak Sahak sedang menjilat-jilat air bekas mandian mayat bagaikan kehausan. Ustaz Abdul Aziz segera membaca ayat Kursi dan secepat kilat lembaga itu hilang dari pandangan mereka. Sejak peristiwa itu, lembaga Pak Sahak tidak lagi pulang ke rumahnya.

hantu

Setelah diselidiki latar belakang arwah Pak Sahak, rupa-rupanya selama ini arwah Pak Sahak ada membela hantu raya untuk membuat dia kelihatan muda dan kuat tanpa perlu diketahui isteri serta anak-anaknya. Setiap kerja yang dilakukan Pak Sahak semuanya dibantu oleh hantu raya itu. Kerana itulah dia lebih suka pergi menangkap ikan secara bersendirian kerana bertemankan hantu raya yang dibelanya.

Pengajaran yang dapat kita semua ambil daripada peristiwa ini adalah kita perlu menghindarkan diri dari kejadian yang dimurkai Allah terutama sekali bersekongkol dengan jin atau syaitan. Ingatlah sebagai seorang manusia dan juga sebagai hamba Allah, kita amat ditegah sama sekali untuk menyekutukan Allah SWT. Dosa syirik adalah dosa yang tidak akan diampunkan oleh Allah.

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi kisahseram.com

Loading...

LEAVE A REPLY

Amaran:
Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Please enter your comment!
Please enter your name here