Hantu Lilin Muncul Di Dataran Bandaraya Johor Bahru

Pada sekitar tahun 1995 yang lalu, Johor Bahru telah digemparkan dengan kemunculan Hantu Lilin di Dataran Bandaraya Johor Bahru, Johor.

Kisah ini berlaku apabila sebuah keluarga beriadah pada waktu malam sambil menikmati angin laut dan pemandangan di Dataran Bandaraya. Sebelum pulang ke rumah, mereka bergambar terlebih dahulu di hadapan air pancutan yang terletak di tepi tangga menara jam.

Keesokannya harinya mereka menghantar filem kamera mereka ke kedai untuk dicuci (pada masa itu belum ada kamera digital). Sebaik sahaja gambar diambil selepas dicuci, mereka terperanjat apabila terdapat imej hantu sedang memegang lilin di dalam salah satu gambar mereka.

hantu lilin

Untuk pengetahuan anda semua, pada masa itu penulis bekerja sebagai kerani di Pejabat Berita Harian dan Metro Bandar Baru Uda. Dua hari sebelum cerita ini keluar di dalam akhbar Harian Metro, keluarga ini telah menghubungi pejabat Berita Harian untuk memberitahu tentang kejadian tersebut dan penulislah yang menyambungkan talian mereka kepada wartawan Harian Metro.

Pada mulanya wartawan tidak mempercayai cerita tentang Hantu Lilin itu dan meminta keluarga berkenaan hadir ke pejabat Harian Metro dengan membawa gambar tersebut.

Apabila mereka datang dan membawa gambar beserta negatif filem gambar hantu tersebut barulah wartawan betul-betul percaya dan berjanji akan menerbitkan cerita itu di akhbar Harian Metro.

Penulis dan beberapa pekerja yang lain sempat melihat gambar yang dibawa itu. Gambar tersebut adalah original dan tiada sedikit pun kesan ia diubah atau menggunakan teknik melapis dengan gambar lain (superimposed).

hantu lilin

Sehari selepas pertemuan itu, akhbar Harian Metro terus menerbitkan cerita mengenai ‘HANTU LILIN’ berserta foto yang mengandungi imej hantu tersebut di bahagian hadapan muka surat akhbar Harian Metro.

Menurut penulis, cerita mengenai Hantu Lilin itu telah memberi impak yang besar kepada akhbar Harian Metro dan itulah pertama kalinya akhbar Harian Metro mencapai jualan sehingga lebih daripada 1 juta naskah.

Disebabkan cerita Hantu Lilin yang muncul di Dataran Bandaraya tersebut, telefon di pejabat penulis tidak henti-henti menerima panggilan daripada penduduk Johor khasnya yang ingin tahu lebih lanjut mengenai hantu itu.

Panggilan yang terlampau banyak daripada pagi sampai ke malam menyebabkan penulis sudah tidak larat untuk menjawab telefon untuk disambungkan kepada wartawan.

Penulis yang hanya bekerja sebagai kerani ini sudah jadi seperti wartawan, menjawab segala persoalan pemanggil mengenai gambar tersebut. Heboh dan kecoh satu negeri Johor disebabkan Hantu Lilin sehinggakan Mufti Johor turut memberi komen dalam rancangan televisyen dan surat khabar pada keesokkan harinya.

hantu lilin

Dataran Bandaraya yang dahulunya menjadi pilihan sebagai tempat melepak anak-anak muda dan memadu kasih bagi pasangan yang bercinta menjadi sunyi-sepi lebih-lebih lagi pada waktu malam.

Tidak ada seorang pun manusia yang kelihatan merayau pada waktu malam seperti selalu. Masing-masing sudah tidak berani lagi untuk berada berhampiran Dataran Bandaraya itu setelah tersebarnya cerita mengenai Hantu Lilin yang muncul di situ.

dataran bandaraya

Setahun jugalah lebih kurang dataran itu menjadi sunyi-sepi. Selepas beberapa tahun, kisah hantu Lilin semakin dilupakan dan sedikit demi sedikit Dataran Bandaraya Johor Bahru kembali meriah seperti sediakala.

Pada masa kini, pembangunan yang pesat di sekitarnya menjadikan Dataran Bandaraya Johor Bahru sebagai salah satu destinasi yang harus dilawat sekiranya anda berkunjung ke Johor Bahru.

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi kisahseram.com

Loading...

LEAVE A REPLY

Amaran:
Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Please enter your comment!
Please enter your name here