Gangguan Hantu Di Hotel Sungai Petani

Hai, kali ini kisahseram.com akan kongsikan pengalaman seram seseorang yang pernah menginap di hotel Sungai Petani pada tahun 90-an. Sumber cerita ini didapati daripada blog cerciter seram namun tidak dapat dipastikan siapa pemilik asal cerita ini. Begini cerita beliau; aku ada pengalaman seram yang nak diceritakan. Aku tidak pasti sama ada aku ni ada deria keenam atau semuanya berlaku secara kebetulan sahaja. Namun selalunya, aku macam boleh merasakan kehadiran makhluk halus yang tidak diundang di sekitar aku, terutamanya jika berada di tempat baru.

Apa yang aku nak ceritakan ialah mengenai pengalaman yang aku alami sendiri di sebuah hotel yang terletak di sebuah pekan kecil di utara semenanjung iaitu negeri Kedah. Bagi aku ia adalah satu pengalaman seram yang sememangnya aku tidak dapat lupakan selagi aku masih hidup. Kali pertama aku menjejakkan kaki di pekan itu adalah pada tahun 1998 dan pada ketika kali pertama menjejakkan kaki di pekarangan hotel tersebut, perasaan sayu, cemas, gerun, takut dan sedih bercampur-baur di dalam diri aku. Aku ingatkan mungkin keadaan masa itu yang dah dekat-dekat waktu senja yang membuatkan aku berperasaan begitu, jadi aku buat tidak tahu saja.

hotel berhantu

Selepas mendaftar masuk hotel itu, aku ditempatkan di sebuah bilik terakhir yang terletak di blok baru. Apabila aku masuk je dalam bilik, aku mendapati bilik itu seperti sudah lama tidak didiami. Bilik itu dipenuhi dengan habuk, malah terdapat sawang di bahagian silingnya. ketika berada di dalam bilik itu, aku terasa seolh-olah aku sedang diperhatikan. Aku selak langsir bilik dan mendapati bilik aku mengadap sebatang pokok sukun yang sederhana besarnya. Mengikut kata orang-orang tua, ada hantu yang suka menumpang kat pokok sukun ni.

Merasa tidak sedap hati, aku pun segera meminta pihak hotel menukar bilik aku dan alhamdulillah, mereka memenuhi permintaan aku. Aku tinggal di hotel itu selama lebih kurang dua minggu tanpa ada sebarang gangguan. Kali kedua aku ke pekan itu, aku ditempatkan di hotel yang sama. Tempoh kali ini adalah lebih panjang, iaitu lebih kurang dua bulan setengah. Aku telah ditempatkan di sebuah bilik yang tidak jauh dari bilik lama dulu. Minggu pertama menginap di hotel itu, semuanya berjalan lancar. Namun apabila masuk minggu ke-dua keadaan menjadi sebaliknya. Setiap malam aku terjaga lebih kurang pada pukul 2 pagi dan tidak bo leh melelapkan mata sehinggalah pukul 6 pagi.

Bayangkan keadaan aku ketika itu, terpaksa ke pejabat keesokan harinya tanpa tidur yang cukup. Pada satu malam, lebih kurang dalam pukul 10 malam, aku pun menjalankan rutin biasa aku, periksa semua pintu dan tingkap bilik sama ada telah aku kunci atau tidak. Aku pun periksa pintu ‘sliding’ balkoni bilik aku tu, sebab petang tadi aku melepak kat situ sambil minum kopi mengadap kolam renang. Mana tau kot-kot aku terlupa menguncinya. Apabila aku tutup semula pintu ‘sliding’ itu, aku terbau sesuatu yang amat busuk macam bau bangkai. Aku segera memeriksa kasut aku, mana tau aku ada terpijak najis kucing ke, bangkai tikus ke tetapi tidak apa-apa pun yang melekat kat tapak kasut aku.

Aku pun buat kesimpulan bahawa mungkin bau tu masuk ke bilik aku masa aku buka pintu ‘sliding’ tadi. Mungkin ada tikus mati kat taman bawah bilik aku tu kot walaupun petang tadi masa aku lepak kat situ, mana ada bau busuk. Tengah malam itu, aku terjaga seperti biasa dalam pukul 2 pagi. Aku cuba juga untuk melelapkan mata tapi setiap kali aku cuba untuk berbuat demikian, aku ternampak seperti bayang-bayang yang terbang di atas kepala aku. Ini adalah kerana keadaan dalam bilik tersebut boleh dilihat dari atas katil kerana bilik itu banyak dihias menggunakan cermin. Aku terasa seperti ada yang memerhatikan aku. Aku pun apa lagi, terus berjaga sampai pukul 6 pagi. Nasib baik masa tu siaran TV3 24 jam, boleh juga aku pasangkan suara televisyen itu dan cuba menonton program yang ada.

bayang-bayang

Keesokan harinya, aku balik kerja awal sebab aku ada projek. Projek baca Yassin selepas solat Maghrib dan Isyak. Aku pun meneruskan projek yang telah aku rancang. Lebih kurang dalam pukul sepuluh, aku pun tertidur. Aku terjaga lagi pada malam itu dalam pukul 1 kerana aku terbau bau limau nipis yang kuat dalam bilik aku. Ini sudah kerja gila, aku memberitahu diriku sendiri. Aku berasa seolah-olah bilik tersebut penuh dan suasana dalam bilik itu panas dan langsung tidak selesa. Aku terdengar seperti orang berbisik tetapi tidak jelas butir percakapannya tapi aku tahu, aku tidak diterima untuk terus berada di situ. Aku menggeletar di atas katil sendirian dan berperang dengan perasaan aku. Hati aku berbisik mengatakan bahawa kalau aku tidak keluar dari bilik ni pada pukul 3 pagi, sesuatu yang buruk akan menimpa diri aku.

Tepat-tepat pukul 3 pagi, aku lari keluar dari bilik aku dan terus menuju ke lobi. Aku duduk di lobi dengan baju sejuk, bantal dan walkman. Aku duduk di situ dengan aman dan tenteram sehinggakan aku boleh tertidur di situ. Tiba-tiba, aku rasa ada sesuatu berdiri di sebelah aku. Rupa-rupanya para petugas malam hotel tersebut datang kepadaku dan bertanya kenapa aku berada di situ dan juga dengan celuparnya bertanya, sama ada bilik aku ada hantu ke? Yang aku ingat aku memberitahu mereka “Tolong tukar bilik I, I nak bilik lain la”. Berulang kali aku mengatakan perkara yang sama. Kemudian, petugas itu meninggalkan aku. Dalam pukul 6 pagi, aku telah dikejutkan oleh seorang pakcik yang baru masuk kerja syif yang sudi menolong aku pindah ke bilik baru.

Aku berasa berat hati tetapi pakcik tersebut berjanji akan menunggu aku kemas barang-barang aku dan mengangkatnya sehingga ke bilik baru. Pakcik itu membawa barang aku dan menunjukkan bilik baru aku. Terima kasih pakcik, jasamu akan kukenang sampai bila-bila. Tapi yang menjadi pertanyaan pada diri aku sampai hari ini, semua pekerja hotel terbabit seolah-olah tahu sesuatu telah berlaku semasa aku lari keluar dari bilik aku tetapi tidak mahu memberitahu aku.

Setelah ditempatkan di bilik baru, apabila aku balik dari kerja petang tu, penyambut tetamu hotel memberitahu aku bahawa mereka telah ‘upgrade’ bilik aku dari ‘deluxe’ ke ‘junior suite’ dan pada harga bilik ‘deluxe’. Mereka ‘upgrade’ kan bilik aku sebab kata mereka, dekat ‘wing’ bilik lama aku itu, cuma aku seorang saja yang ada, bilik lain semuanya kosong. Walaupun ada pengawal keselamatan membuat rondaan, mereka bimbang jikalau terjadi apa-apa, tidak ada orang yang tahu. Perkara ini tiba-tiba buat aku terfikir, mungkinkah mereka tahu keadaan sebenar hotel itu tapi mereka tidak mahu takutkan pelanggan, sebab takut nanti tidak ada bisnes pula. Tambahan lagi, menurut kata pihak hotel, bilik baru ni terletak tidak jauh dari meja penyambut tetamu.

rahsia

Pekerja hotel dah siap angkut barang-barang aku dan diletakkan kat bilik baru. Aku pun apa lagi, seronoklah tanpa mengetahui nasib yang akan menimpa diriku seterusnya. Mula-mula tu aku rasa selesa dalam bilik tapi setelah dua tiga malam tidur di situ, aku mula rasa perasaan yang sama seperti di bilik-bilik yang sebelumnya. Boleh dikatakan tiap-tiap malam aku terdengar bunyi orang berkawad di luar dan dalam bilik. Bila aku cuba memeriksanya, tidak ada seorang pun yang kelihatan.

Aku masih lagi terjaga pada pukul 1:00 pagi dan tidak boleh melelapkan semula mata hingga ke pagi. Aku cuma berasa selesa apabila azan Subuh berkumandang, seolah-olah dapat melihat ‘benda-benda’ tu semuanya bertempiaran lari dari bilik aku. Pada satu malam, seperti biasa dalam pukul 1 pagi aku terjaga, kali ini aku amat terkejut kerana aku terhidu bau shampu yang masih segar, seolah-olah ada orang baru sahaja selesai mandi. Aku tahu bau tersebut adalah bau shampu yang baru ku beli petang tadi.

Aku pun masuk ke bilik air untuk menyiasat dan amat terkejut kerana bilik air tersebut masih basah, seolah-olah ada orang baru sahaja selesai mandi. Aku amat pasti bahawa sebelum aku tidur tadi, bilik air tersebut kering sahaja. Masih terdapat kesan wap panas di cermin bilik air. Perasaanku yang pada mulanya cuak mula menjadi huru-hara. Aku tidak tahu apa yang aku patut lakukan, sama ada keluar dari bilik air atau keluar dari bilik aku. Dalam keadaan itu, aku segera mengambil keputusan untuk keluar dari bilik air dan duduk diluar sementara memikirkan apa tindakan yang sepatutnya aku buat.

Dengan tidak ku sangka-sangka, aku sebenarnya tersilap membuat perhitungan. Apabila aku tiba di luar bilik air, alangkah terkejutnya aku kerana ada benda yang tidak sepatutnya berada di dalam bilik aku sedang berada di atas katil. Tidak dapat aku bayangkan perasaan aku ketika itu, aku rasa muka aku pun dah pucat lesi, kalau toreh pisau kat muka pun mesti tak keluar darah. Masa itu, aku nampak 3 kepala manusia sedang bergolek-golek di atas katil aku!!

kepala manusia

Apabila menyedari aku memerhatikan aksi mereka, mereka segera berhenti dan menyeringai ke arah aku. Aku tidak tahu dari mana aku dapat kekuatan aku kerana tiba-tiba sahaja aku mendapati diri aku kini berada di lobi hotel (sekali lagi). Kali ini aku memilih untuk duduk di kerusi sebelum meja penyambut tetamu (menuju ke arah bilik lama aku) kerana aku tidak mahu dihujani dengan pertanyaan oleh pihak pengurusan hotel. Aku telah mengambil keputusan nekad, keluar dari hotel tersebut petang itu jugak.

Aku menerima tawaran salah seorang rakan sekerja aku untuk tinggal bersama dia. Pihak pengurusan hotel terbabit cuba untuk memujuk aku tinggal di situ memandangkan mengikut tempahan awal, aku sepatutnya tinggal di hotel tersebut selama 2 bulan setengah. Salah seorang dari pengarah mereka telah menelefon aku di pejabat setelah seminggu aku keluar dari hotel mereka dan aku menceritakan semuanya tanpa selindung. Yang peliknya, dia tidak pula menafikan kisah seram aku, cuma dia diam sahaja seolah-olah tahu yang sebenarnya memang ada masalah dengan hotel mereka.

Menurut salah seorang kawan aku yang bapanya bekerja kat hotel tersebut, hotel tersebut memang seram. Aku pun tidak tahu kenapalah aku tak pernah tanya dia sejak dari mula lagi berkenaan hotel itu. Bapanya turut mengatakan bahawa semua bilik yang aku pernah diami itu sememangnya tak pernah lama dihuni orang kerana keesokan harinya penghuni bilik-bilik terbabit pasti akan bertanya kepada pihak kaunter sama ada bilik mereka itu ada hantu. Cuma kes aku sahaja yang terlalu ekstrem sehingga pihak pengarah mereka pun tahu mengenainya.

Menurut bapa kepada kawan aku, beberapa orang pekerja separuh masa bahagian dapur turut mengalami masalah yang sama. Ada seorang pelajar ITM yang buat kerja separuh masa kat situ sampai demam panas kerana terlalu terkejut melihat 3 lembaga hitam sedang makan di dalam dapur hotel terbabit. Dia hairan mendengar bunyi bising di dalam dapur dan seperti aku, cuba untuk menyiasat bunyi tersebut.

lembaga hitam

Mengikut kata pakcik tu lagi kalau setakat panggilan telefon ditengah malam ke meja kaunter depan hotel itu adalah perkara biasa. Bila mereka menjawab panggilan tersebut, yang kedengaran hanyalah hembusan nafas dan kemudian diikuti oleh hilaian ketawa yang panjang. Daripada paparan kat telefon tu, mereka tahu bilik mana yang membuat panggilan dan menyuruh pengawal keselamatan pergi periksa bilik-bilik terbabit walaupun mereka tahu dalam rekod pendaftaran tidak ada orang di bilik terbabit dan pengawal keselamatan tersebut selalunya mendapati bilik itu memang tidak dihuni oleh sesiapa pun.

Begitulah kisah seram aku berdasarkan pengalaman aku sendiri. Mungkin tidak seram seperti yang pembaca kisahseram.com harapkan tapi aku telah menulisnya dengan cara aku sendiri. Jangan cuba tanya nama hotel tersebut kerana aku tidak akan memberitahu. Yang boleh ku katakan, hotel tersebut terletak di Sungai Petani, Kedah.

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi kisahseram.com

Loading...

LEAVE A REPLY

Amaran:
Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Please enter your comment!
Please enter your name here