Fakta Menarik Tentang Zombi

Pernahkah anda dengar tentang Zombi? Zombi adalah cerita rakyat atau lagenda urban yang diceritakan dari mulut ke mulut yang terkenal di negara barat terutamanya negara Amerika Utara dan Eropah. Di negara kita pula, kisah tentang Zombi telah difilemkan sebagai filem komedi seram yang bertajuk Zombi Kampung Pisang. Filem Zombi Kampung Pisang berlatarbelakangkan suasana Kampung Pisang semasa kejadian Zombi berlaku. Filem ini merupakan filem Zombi pertama di Malaysia. Jom baca fakta selanjutnya tentang Zombi.

zombie

Menurut cerita rakyat atau lagenda urban, Zombi adalah perkataan yang digunakan untuk menggambarkan seseorang yang dipukau sehingga hilang pertimbangan dan kesedaran diri, namun masih mampu untuk bergerak dan bertindak balas terhadap rangsangan di persekitaran. Mengikut ilmu hitam voodoo yang asal, perkataan Zombi pada mulanya merujuk kepada sumpahan yang dibuat oleh tukang-tukang sihir yang membolehkan mereka untuk mengawal minda seseorang, oleh itu memberi kesan terhadap tindakan-tindakan mereka yang digelar Zombi ini.

Walau bagaimanapun, disebabkan pengaruh penting voodoo Haiti dan voodoo New Orleans terhadap mitologi ilmu sihir, makna perkataan Zombi ini telah berubah menjadi mayat manusia yang hidup semula secara misteri untuk berkhidmat kepada makhluk ghaib. Sejak abad ke-19 lagi, Zombi telah meraih populariti yang besar di luar negara, terutamanya dalam cerita rakyat Amerika Utara dan Eropah.

voodoo

Dalam budaya yang lebih popular, terdapat beberapa bentuk Zombi. Terdapat orang-orang yang dibangkitkan dari antara orang mati oleh sihir atau ritual atau rohnya dikembalikan oleh beberapa peristiwa ghaib seperti dalam filem George Romero, atau orang biasa bertukar menjadi kanibal yang ganas yang disebabkan oleh virus seperti dalam filem “28 Days Later” atau filem-filem “Residen Evil”. Ada yang tidak mempunyai akal fikiran, berwajah seperti raksasa, dan yang lainnya licik dan tangkas.

Zombi boleh muncul dalam pelbagai bentuk, samaada dibangkitkan semula daripada kematian oleh sihir Greek atau dengan bantuan syaitan. Ketika mula-mula dibangkitkan, ingatan dan personaliti Zombi mungkin masih utuh, dan mereka boleh berkelakuan normal seperti manusia biasa selama beberapa hari sebelum mula menjadi ganas, tidak terkawal dan timbul keinginan yang sangat kuat untuk memakan daging manusia.

zombie eating

Sebagai makhluk yang dibangkitkan semula daripada kematian, Zombi mempunyai kekuatan dan ketangkasan yang luar biasa dan kuasa pemulihan semula badan mereka juga sangat cepat. Dari segi kekuatan Zombi lebih kuat berbanding manusia dan disebabkan kekuatan yang luar biasa Zombi dapat mengalahkan manusia dengan mudah, walaupun mereka ini agak lemah berbanding dengan kebanyakan raksasa yang lain.

Dilihat dari sudut kepantasan pula, Zombi boleh bergerak dengan langkah yang cepat dan lebih laju daripada manusia. Mereka dapat bergerak secara bersahaja melalui hutan, walaupun melalui hutan yang tebal. Zombi mempunyai stamina yang tinggi. Mereka tidak mudah merasa penat walaupun mereka berada dalam keadaan kelaparan yang teramat sangat. Zombi mempunyai deria pendengaran dan mungkin juga deria penglihatan yang lebih baik berbanding manusia. Ini termasuklah mempunyai deria bau yang kuat.

zombie

Selain itu kuasa pemulihan semula Zombi adalah sangat cepat. Walaupun badan Zombi boleh menerima kecederaan dan kerosakan, mereka boleh membaik pulih dari kecederaan mereka dengan cepat. Badan Zombi juga mampu untuk tumbuh semula jika mengalami kecederaan. Zombi sangat sukar untuk dibunuh semula walaupun mereka boleh dicederakan kerana mereka telah lali pada rasa sakit. Kaedah untuk menghapuskan Zombi secara amnya melibatkan pemancungan kepala, pancang atau dibakar.

Di samping itu juga, ciri-ciri lain untuk mengenal Zombi adalah melalui kematian tumbuh-tumbuhan. Kehadiran Zombi di sesuatu tempat boleh menyebabkan tumbuh-tumbuhan di kawasan mereka layu dan mati kerana Zombi adalah satu bentuk korupsi alam ghaib bagi hukum alam. Anda boleh mengetahui lebih lanjut mengenai Zombi melalui lambakan filem-filem tentang Zombi yang telah banyak diterbitkan pada masa ini.

zombi kampung pisang

Bagi anda yang belum menonton filem Zombi Kampung Pisang, saya menyarankan agar anda cepat-cepat menonton filem ini kerana ia adalah sebuah filem komedi seram yang akan membuatkan anda tidak kering gusi bergelak ketawa. Lebih menarik lagi, filem Zombi Kampung Pisang telah memenangi Anugerah Khas Juri pada Festival Filem Malaysia ke-20.

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi kisahseram.com

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.