Diserang Segerombolan Lembaga Putih

Pada suatu hari, empat sekawan yang merupakan kaki panjang merancang sebuah misi untuk memancing udang galah di hulu Sungai lembing, Pahang. Kumpulan kaki pancing ini diketuai oleh Mahad (nama samaran). Ketika hampir sampai ke tempat yang dituju, tiba-tiba hujan turun dengan lebat. Hujan lebat ini berterusan berserta dengan angin kencang dan guruh yang bersahutan. Namun, kumpulan empat kaki pancing udang galah itu tetap meneruskan misi mereka ke hulu Sungai Lembing, Pahang yang sangat terkenal dengan spesies udang galah sepit biru yang sangat lazat isinya.

Disebabkan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan, mereka berempat berehat di hujung kampung penempatan masyarakat Orang Asli yang belum begitu tersusun. Kelompok etnik masyarakat Orang Asli itu sudah dapat menerima perubahan kecil seiring dengan arus pemodenan sekali gus keluar dari kepompong cara hidup lama. Mahad yang mengetuai kumpulan empat pemancing itu merupakan seorang anak tempatan Temerloh. Kerana itu, dia sudah terbiasa dengan sungai di sebelah sini. Melihat keadaan cuaca buruk yang berterusan, Mahad terpaksa membatalkan hasrat untuk ke hulu Sungai Lembing. Tambahan pula air sungai sangat deras dan mula melimpah hingga ke tebing.

Di situ, mereka menggunakan sebuah pondok lama yang sudah ditinggalkan untuk berteduh. Jika keadaan memaksa, mereka akan terus bermalam di pondok tersebut. Menurut cerita salah seorang peserta dari kumpulan pemancing itu yang bernama Karim, jika keadaan bertambah buruk memang mereka merancang untuk tidur di situ sahaja pada malam tersebut. Dia turut menceritakan bahawa pada malam itu mereka telah dikejutkan dengan air banjir dari limpahan sungai yang sudah mencecah lantai pondok berkenaan. Mereka mula berasa cemas apabila mendapati air naik dengan begitu pantas. Pada masa yang sama, hujan turun semakin lebat.

Menurut Karim lagi, mereka berempat bernasib baik apabila beberapa buah sampan kayu penduduk Orang Asli datang memberikan pertolongan kepada mereka lalu membawa mereka semua ke kawasan selamat di atas sebuah bukit. Di atas bukit itu sudah dipenuhi oleh penduduk Orang Asli yang telah diselamatkan dari perkampungan penempatan mereka yang sudah ditenggelami air limpahan Sungai Lembing.
“Keadaan menjadi bertambah buruk dan mencemaskan apabila terdapat beberapa ekor ular sawa yang besar turut mencari mangsa tetapi berjaya dihalau oleh seorang lelaki tua yang dianggap sebagai bomoh di kalangan penduduk di situ,” katanya meneruskan cerita.

ular sawa

Walaupun keadaan makin terdesak kerana air terus naik, Mahad tetap diberi layanan baik. Air banjir yang semakin naik itu tidak membimbangkan masyarakat Orang Asli di kampung berkenaan yang sudah biasa dengan keadaan seperti itu. Namun bagi Mahad dan kawan-kawannya kejadian itu dianggap sebagai satu pengalaman baru. Menjelang tengah malam itu, mereka dibawa berpindah ke satu lagi kawasan yang lebih selamat oleh pembantu ketua kampung Orang Asli.

Ini kerana menurut ketua kampungnya, mereka semua perlu diselamatkan sebelum keadaan bertambah buruk. Seterusnya, mereka tiba di sebuah kawasan kecil tetapi tempatnya cukup menarik. Mereka turut dibekalkan dengan sedikit makanan yang sudah pun siap dimasak. Beberapa orang yang dibawa khas mula membuat kerja mendirikan pondok serta unggun api di tengah kawasan lapang. Kumpulan itu kemudian meninggalkan Mahad dan kawan-kawannya sebaik sahaja semua keperluan sudah disiapkan.

Bagi Karim dan kawan-kawannya, pertolongan yang diberikan oleh masyarakat Orang Asli itu sangat bererti buat mereka. Namun, Karim juga turut mendakwa bahawa pada malam itu mereka bagaikan terpukau lalu mereka semua tidur dengan nyenyak, sehinggalah pada saat-saat mereka terjaga dek kerana satu kejutan yang sangat menakutkan. Mereka terdengar hilaian ketawa mengelilingi kawasan itu. Turut kelihatan lembaga putih berterbangan dan berlegar-legar tidak jauh dari tempat mereka tidur.

lembaga putih

Mereka semua ketakutan tetapi Mahad tidak menunjukkan sebarang perubahan dan tetap tenang. Beliau duduk bersila kemas sambil mulutnya terkumat-kamit membaca sesuatu yang tidak dapat didengar dengan jelas. Tetapi yang nyatanya diatengah berusaha untuk menghalau lembaga putih yang mengilai dengan lebih garang itu daripada mendekati kami. Lembaga putih tersebut cuba mengheret Mahad keluar dari pondok tetapi kerana duduknya yang kemas serta amalan yang tidak kurang hebatnya, lembaga putih itu kemudiannya meninggalkan kawasan kami. Namun begitu terjadi perkara yang lebih menakutkan, iaitu tidak beberapa lama selepas menghilangkan diri, lembaga berkenaan kembali semula ke tempat mereka dengan bilangan yang lebih banyak sambil mengilai dengan bunyi yang lebih mengerikan.

Dek kerana terlampau ketakutan, mereka berpelukan sesama sendiri. Namun nasib baik juga Mahad tetap cekal membaca ayat al-Quran. Pondok tempat mereka berteduh digoyang dengan kuat dan hampir roboh. Kemudian, Mahad bangun berdiri lalu melaungkan azan dengan kuat. Pondok tempat mereka berteduh akhirnya roboh dan mereka semua terbaring di atas tanah. Alangkah terkejutnya mereka apabila menyedari bahawa rupa-rupanya mereka berada di kawasan tanah perkuburan dengan batu nisan yang bertaburan.

hantu

Mereka semua semakin terkejut tetapi Mahad merasa syukur sebaik saja menamatkan laungan azan yang sekali gus berjaya melenyapkan gangguan lembaga-lembaga putih yang mengganggu mereka pada dinihari sebelum subuh itu. Apa yang paling menghairankan adalah apabila mereka sebenarnya berada di tengah-tengah kawasan perkuburan Islam di sebuah kampung Melayu di Sungai Lembing dan bukannya perkampungan Orang Asli seperti yang berlaku dalam tragedi misteri yang dilalui oleh mereka berempat sepanjang hari dan malam itu.

Mahad tidak banyak bercakap dan setelah matahari terbit, Mahad terus membawa kumpulannya pulang dan singgah di sebuah surau dalam perjalanan pulang. Mereka menunaikan solat sunat kesyukuran dan doa selamat yang diimamkan sendiri oleh Mahad. Sebelum menamatkan perbualan, Karim berkata bahawa apa yang berlaku adalah satu misteri bagi mereka dan tentunya banyak lagi misteri yang dilalui oleh kaki-kaki pancing lain dalam kisah yang berlainan.

p/s: Artikel ini diperolehi dari laman web Berita Harian Joran dan diolah semua oleh kisahseram.com untuk perkongsian bersama para pembaca setia.

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi kisahseram.com

Loading...

LEAVE A REPLY

Amaran:
Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Please enter your comment!
Please enter your name here