Diikut Pontianak Yang Menyamar Sebagai Mak Bidan

Pada malam itu, Sarah telah pergi ke perigi yang terletak lebih kurang 50 meter dari rumahnya untuk mengambil air. Dia terpaksa mengambil sendiri air untuk digunakan bagi menyediakan hidangan makan malam kerana suaminya masih belum pulang dari tempat kerja.

Sewaktu berjalan balik menuju ke rumahnya dengan menjinjit baldi berisi air, Sarah ditegur oleh seorang wanita tua yang tidak dikenali. “Mengapa jalan malam-malam ini seorang diri. Awak itu mengandung. Cepatlah balik!”, sapa perempuan tua itu. Sarah hanya tersenyum lalu berkata, “Tidak, makcik. Saya memang nak balik ke rumah dah ni”.

wanita tua

Namun wanita tua yang bertongkat itu terus menggesanya, “Pulang lekas. Awak itu mengandung, tak elok malam-malam macam ni masih kat luar”. “Baiklah, makcik!”, Sarah menjawab dan terus berjalan semula ke rumahnya dengan segera. Tak semena-mena hati Sarah mula terasa berdebar-debar.

Sebaik sahaja sampai di rumah, Sarah segera mengunci semua pintu dan tingkap rumahnya. Sarah terus menuju ke dapur dan mengisi cerek dengan air yang diambilnya di perigi tadi. Kemudian, dia menjerang cerek itu di atas dapur. Pada waktu itu, kedengaran guruh berdentam-dentum di langit dan di sertai dengan tiupan angin yang kencang. Sarah dapat mendengarnya dari dalam rumah kecilnya itu.

Tiba-tiba, Sarah terdengar pintu rumahnya diketuk dengan kuat. Dia menarik nafas panjang sambil mendengar untuk memastikan sama ada dia betul mendengar ketukan di pintu rumahnya. Setelah dia pasti ada ketukan di pintu, dia segera mendekati pintu sambil bersuara, “Siapa tu?”.

mak bidan

Kemudian ada suara wanita menjawab, “Aku ni, Mak Bidan. Suami engkau pesan suruh aku datang!”. Mendengar sahaja suara Mak Bidan, Sarah segera membuka pintu itu dan tersenyum melihat kelibat wanita yang telah banyak kali menolongnya sewaktu dia berasa sakit kerana mengandung sulung. Dia mengajak Mak Bidan itu masuk ke dalam rumahnya.

“Nampaknya engkau sakit kuat. Mari aku periksa!” Lalu Sarah terus berbaring di atas katil dan mak Bidan itu segera menyapukan minyak urut pada perut Sarah sambil mengurut-urut perlahan perut Sarah yang sudah mencecah 7 bulan itu.
“Merengkan badan ke kiri,” arah Mak Bidan sambil terus mengurut-urut perut Sarah. Berasa lega dengan urutan yang diberikan, Sarah terlena.

Sarah tidak sedar bahawa Mak Bidan itu bukan orang yang sebenarnya tetapi jelmaan puntianak yang sudah memerhatikannya sejak di perigi tadi lagi. Tiba-tiba Sarah tersentak apabila mendapati wajah Mak Bidannya itu berubah menjadi puntianak.

pontianak

Sarah menjerit sekuat-kuat hatinya dan bernasib baik kerana kebetulan ketika itu, wanita tua yang menegurnya brdekatan perigi tadi tiba lalu menghalau hantu puntianak yang belum sempat mencederakan Sarah. Wanita tua itu membaca ayat-ayat suci daripada al-Quran. Sarah yang sedar akan hal itu turut membaca ayat-ayat suci daripada al-Quran yang diingatnya pada waktu itu.

Hantu pontianak itu mengilai dengan suara yang amat menyeramkan seolah-olah mengejek. Namun suara hilaian pontianak itu tidak berjaya menakutkan wanita tua itu. Dengan tongkat di tangannya, wanita tua itu terus menghayunkannya ke arah hantu pontianak itu yang terus terbang keluar melalui tingkap rumah yang terbuka luas.

Wajah Sarah sudah berubah menjadi pucat lesi tetapi dia tetap bersyukur nenek itu segera mendapatkannya dan menyelamatkan beliau dari menjadi mangsa makhluk jahat tersebut. Mereka berdua mengucapkan syukur kerana ibu yang sarat mengandung itu tidak sempat diapa-apakan oleh pontianak yang datang menggangu itu.

Sebenarnya sejak dari perigi tadi lagi wanita tua itu sudah perasan akan pontianak yang sedang memerhatikan Sarah yang tengah sarat mengandung itu. Sebab itulah dia menggesa Sarah supaya segera pulang ke rumah. Dia tidak memaklumkan tentang perkara itu kepada Sarah kerana tidak mahu Sarah ketakutan. Namun tidak sangka pula pontianak itu mengikut Sarah pulang ke rumah.

pontianak

Setelah keadaan kembali tenang, Sarah meminta jasa baik wanita tua itu untuk menemaninya buat sementara sehinggalah suaminya pulang. Wanita tua itu bersetuju untuk membantunya. Sarah amat bersyukur dapat terhindar daripada menjadi korban makhluk buas itu.

Cerita di atas dipetik dari blog manafyasir dan diolah semula untuk dikongsi bersama para pembaca setia kisahseram.com.

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi kisahseram.com

Loading...

LEAVE A REPLY

Amaran:
Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Please enter your comment!
Please enter your name here