Diganggu Pocong Gunung Nuang, Hulu langat

Niat seorang pendaki bernama Mohd Adham Ab. Mulok membantu rakan-rakannya yang cedera dan kepenatan semasa mendaki Gunung Nuang bertukar menjadi pengalaman seram yang tidak mungkin dilupakan. Segala-galanya bermula apabila ahli kumpulan mendaki kepenatan akibat kehabisan bekalan makanan dan minuman. Mohd Adham yang bekerja di sebuah agensi pelancongan berkata, “Dengan sedikit pengalaman mendaki dan tenaga yang masih ada, saya menawarkan diri untuk pergi mencari air”.

Menurut cerita Mohd Adham, beliau meninggalkan kumpulannya yang sedang dalam perjalanan turun dari puncak Gunung Nuang di Hulu Langat, Selangor lebih kurang pada pukul 5 petang untuk mengambil air di Kem Pacat. Menurut perkiraan rambang yang dilakukan oleh beliau, tempoh perjalanan untuk sampai ke sumber air yang terdekat pada waktu itu memakan masa kira-kira 15 minit. Dalam kejadian yang berlaku pada tahun 2009 itu, Mohd Adham meredah hutan seorang diri dengan membawa botol-botol kosong bersamanya sebelum tiba di kawasan sumber air berhampiran Kem Pacat.

Mohd Adham Ab. Mulok

Mohd Adham Ab. Mulok

Mohd Adham menceritakan bahawa beliau berlari turun selaju yang terdaya tapi pergerakan ketika itu agak terbatas kerana hujan. Sebelum sampai ke anak sungai, beliau terpandang sebuah bongkah batu yang besar di situ. Entah kenapa tiba-tiba bulu romanya meremang dari kepala hingga ke kaki ketika melalui kawasan itu. Setelah semua botol yang dibawa diisi dengan air, beliau memulakan langkah untuk mendaki semula.

Namun perjalanannya tiba-tiba terhenti sebaik sahaja sampai di kawasan bongkah batu berkenaan. Ketika Mohd Adham berdiri di situ, beliau dikejutkan dengan satu tiupan angin yang agak kuat dari sebelah kiri dan serentak dengan itu, kakinya mengalami kekejangan. Tak semena-mena beliau menjadi kaku di situ. Jangankan kata nak berjalan, nak angkat kaki pun sudah tidak terdaya.

“Penat itu memanglah penat tapi kalau nak kata sebab air yang saya angkut itu terlalu berat, macam tidak logik pula,” kata Mohd Adham. Panik dengan apa yang berlaku ke atas dirinya, matanya terus melilau memeriksa keadaan di sekeliling. Pandangannya tiba-tiba terhenti pada satu objek putih yang berada bersebelahan dengan batu besar yang terletak kira-kira 10 meter dari tempat beliau berdiri. Walaupun melihat hanya dengan sekilas pandang, namun beliau yakin benda putih berbungkus yang dilihatnya itu adalah pocong.

pocong

Pada pandangan kedua, kelibat putih berbungkus itu sudah tiada di situ. Mohd Adham bernasib baik kerana tidak lama selepas itu kawan-kawannya turun untuk mencari beliau. Ketakutan yang dirasai olehnya diredakan oleh teriakan suara kawan-kawannya itu. Selepas mengagihkan air kepada rakan-rakannya, kumpulan pendaki seramai 10 orang itu menyambung semula perjalanan menuju ke Kem Lolo. Bagaimanapun, gangguan makhluk halus itu tidak berakhir di situ. Dalam perjalanan turun ke Kem Lolo, beliau sekali lagi diganggu.

Mohd adham turut menyatakan ketika beliau sedang berlari turun, beliau rasa seolah-olah seperti dilanggar oleh sesuatu dari arah belakang sehingga membuatkan dia jatuh tersungkur. “Kawan-kawan yang berada di belakang hanya nampak saya jatuh. Walaupun tiada kelibat yang kelihatan, kejadian itu cukup menakutkan,” katanya. Mohd Adham berkata, semua pendaki akhirnya tiba di kaki Gunung Nuang lebih kurang jam 9 malam sebelum mereka berjalan menuju ke tapak perkhemahan yang terletak di sebuah chalet di Kampung Pangsoon.

hantu atas pokok

Pada keesokan harinya, beliau didatangi oleh seorang rakan yang mendakwa melihat lembaga putih sedang bertenggek di atas pokok bersebelahan dengan khemahnya. “Berdasarkan apa yang berlaku, saya rasa saya telah diekori oleh pocong sejak dari batu besar di Kem Pacat namun saya tetap bersyukur kerana semuanya selamat dan berakhir di situ,” ujar Mohd Adham mengakhiri perbualan .

Untuk makluman pembaca setia kisahseram.com, sumber cerita di atas dipetik dari Rencana Utusan Online.

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi kisahseram.com

Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Editor & founder orangperak.com
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.