Cerita Seram Asrama Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan

Pertama sekali, aku nak beritahu yang dekat kolej kediaman aku heboh dengan hantu nenek. Nak dijadikan cerita, kawan baik aku pernah mengalami sendiri peristiwa seram dengan hantu nenek ini. Kawan aku ini pelajar aliran sains Module 1. Dia selalu sangat ada kelas tambahan sehingga malam.

Pada satu malam Sabtu, hujan turun renyai-renyai. Kawan aku tu duduk di kolej kediaman yang paling jauh di kalangan kolej-kolej yang ada iaitu kolej C5. Sama dengan kolej kediaman yang aku duduk sekarang ini. Masa dia nak balik bilik selepas habis kelas tambahan, dia sorang-sorang saja. Dia pun berjalan balik melalui jalan yang hanya berbekalkan lampu jalan kuning yang agak malap. Pada masa tu, ada seorang lagi pelajar perempuan aliran sains yang nak balik ke kolej kediaman. Tetapi pelajar perempuan itu tinggal di blok C3.

Akhirnya, sampai satu simpang mereka terpaksa berpisah. Seorang ikut jalan kiri, manakala seorang lagi ikut jalan kanan. Kawan baik aku ini ikut jalan kanan. Semasa mereka hendak berpisah jalan itu, kawan baik aku terasa macam ada angin yang bertiup. Pastu dari ekor mata dia ternampak ada benda putih terbang ke arah jalan kiri. Kawan aku ini dah seram sejuk terus dia berlari balik ke blok C5.

hantu nenek

Beberapa hari selepas kejadian tu, kawan baik aku ni pergi ke kafeteria C. Semua pelajar perempuan yang tinggal di kolej kediaman C akan makan di kafe tersebut. Kawan baik aku ni nak beli burger. Tapi dia ada nampak sekumpulan pelajar, felo dan penolong pengarah dan ada pelajar perempuan menangis kat tengah. Rupanya pelajar perempuan itu lah yang kawan aku perasan yang balik sama jalan dengan dia pada malam hujan renyai-renyai itu.

Pelajar perempuan tu menceritakan bahawa hantu nenek ikut dia balik ke bilik. Hantu tu cuba pegang badan dia untuk halang dia dari terus berjalan, namun pelajar perempuan tu pula ternampak sekali muka hantu nenek tu. Akibatnya, pelajar perempuan tu demam beberapa hari. Kawan baik aku ini yang terdengar cerita itu bersyukur sebab kalau bukan pelajar perempuan tu yang kena ikut, mesti hantu tu pilih dia. Pandai juga hantu nenek itu nak pilih mangsa yang mana satu.

Cerita yang lain pula, blok C5 kolej kediaman yang aku tinggal juga dikatakan berhantu. Apa yang menjadi tanda tanya di blok C5 ini ialah hanya tingkat 2, 3 dan 4 sahaja yang dipenuhi penghuni namun tingkat 1 kedua-kedua belah ‘wing’ A dan B tidak dipenuhi. Siap berpagar lagi bahagian ‘wing’ A aras 1 tu. Menurut kata felo asrama, pelajar tak boleh tinggal di aras 1 disebabkan masalah bekalan elektrik.

Pada satu petang, aku nak beli makanan kat koperasi guna baucar RM50 yang aku dapat. Abang koperasi tu tanya la aku ni duduk kolej kediaman mana? Kesian kena angkat makanan banyak-banyak, katanya. Berat juga semua makanan tu, aku beli makanan berjumlah RM50 sebagai stok dalam bilik. Cukup untuk sebulan. Apabila aku beritahu beliau yang aku tinggal di blok C5, abang koperasi itu terkejut. Kemudian dia tanya tak pernah terjadi apa-apa ke kat asrama aku itu dan dia juga bertanya kenapa aras 1 kosong?

Terpaksalah aku cerita tentang masalah bekalan elektrik di aras satu tu seperti yang telah diberitahu oleh felo asrama. Abang tu cakap, “Eh yeke ni? Boleh percaya ke cakap felo tu? Bukan ke aras 1 tu ditutup sebab ada seorang pelajar perempuan yang bunuh diri di dalam salah satu bilik aras 1 tu beberapa tahun lepas?”. Apalagi, meremang terus semua bulu badan aku mendengar cerita abang itu. Sekarang barulah aku tahu sebab sebenar kenapa aras 1 wing A berpagar walaupun banyak bilik kosong. Sebab wing itu ‘keras’!

bunuh diri

Setakat ini alhamdulilah sepanjang aku tinggal di blok asrama C5 tidak pernah lagi aku kena kacau. Aku duduk aras 4 wing B. Bilik aku menghadap jalan raya. Selalu jugak aku dengar bunyi motor dan kereta lalu sekitar pukul 2 atau 3 pagi . Mungkin bunyi motosikal pengawal keselamatan yang tengah meronda kawasan. Sebelum ini, aku menginap di blok C2. Aku pernah kena kacau masa aku duduk kat blok asrama C2. Ketika itu waktu maghrib dan hanya tinggal aku seorang diri di dalam bilik. Aku tengah sembahyang maghrib waktu itu tapi tidak khusyuk sebab terdengar bunyi bergeser-geser. Bunyi seperti ada satu benda tajam macam pisau tengah kikis-kikis dinding batu.

Selepas solat maghrib, aku membaca al-Quran. Bunyi itu pun berhenti. Selesai mengaji, aku menukar baju sebab nak pergi makan malam kat kafe. Masa itu, aku terpandang tingkap kemudian aku ternampak benda kuning terbang. Tanpa berlengah lagi, aku terus lari pergi bilik kawan aku. Muka aku dah naik pucat dah waktu tu. Aku sendiri pun pelik macam-mana langsir tingkap bilik aku boleh terselak. Sebabnya sebelum matahari terbenam, aku akan pastikan semua tingkap ditutup. Aku tidak ingin tengok pemandangan luar pada waktu malam. Sebabnya asrama lama aku (C2) itu menghadap bukit. Memang menyeramkan.

Dengar kata, blok asrama C3 lagi ‘keras’. Ini kerana blok asrama C3 itu adalah asrama yang paling dekat dengan bukit. Bilik yang terletak paling atas dan yang paling hujung pasti akan jadi tumpuan geng-geng hantu. Kawan sekelas aku pernah kena gigit oleh pelesit. Untuk pengetahuan semua pembaca kisahseram.com, aras 4 asrama C3 ini kosong tidak berpenghuni. Lampu koridor pun semua padam, sebab semua pelajar yang duduk kat aras 4 asrama C3 kena pindah pergi ke blok C5 kononnya ada masalah tekanan air yang rendah di situ.

Pada satu malam semasa musim peperiksaan akhir semester 1, ada seorang pelajar perempuan yang kena histeria. Cerita begini, semasa pelajar perempuan tu sedang belajar pada waktu malam, dia pergi ke tandas. Dia pergi ke tandas tu seorang diri je. Lepas dah buang segala apa yang patut, tiba-tiba pelajar perempuan tu macam terkena pukau. Dia bukannya pergi balik ke bilik dia sebaliknya dia pergi naik aras 4 yang gelap gelita itu. Pelajar perempuan tu tinggal di aras 3. Pelajar itu bagaikan tidak sedar yang dia sudah berada di aras 4 yang menakutkan itu kemudian ada “sesuatu” pegang dia dari belakang. Terus dia terkena histeria dan menjerit-jerit bagaikan orang gila.

seram

Kesimpulannya di sini, berjaga-jagalah di tempat orang. Kebiasaannya tapak semua kolej pada asalnya adalah sebuah hutan tetapi hutan itu terpaksa diterangkan untuk membina pusat pendidikan. Jadi, kita tidak boleh lah suka-suka nak menghalau warga mahkluk halus ini seperti hantu nenek dalam cerita di atas kerana ia adalah kawasan asal mereka. Cuma kita sebagai manusia haruslah menjaga tingkah laku dan mulut tu jangan celupar sangat.

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi kisahseram.com

Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Editor & founder orangperak.com
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.