Berkenalan Dengan Gadis Yang Sudah 2 Tahun Mati Dibunuh

Kisah yang ditampilkan kali ini diceritakan oleh seorang rakan yang bekerja dalam industri media. Namanya Razlan (nama samaran) dan dia merupakan seorang jurugambar. Pada suatu malam Razlan mengikuti majlis makan malam bersama-sama rakan media yang diadakan di Klang, Selangor. Selesai majlis tersebut, jam sudah menunjukkan ke angka 12 tengah malam. Razlan menunggang motosikalnya meninggalkan majlis tersebut untuk pulang ke rumahnya yang terletak di Kuala Lumpur dengan segera.

Buat pengetahuan pembaca kisahseram.com, pada tengah malam itu, jalan agak sunyi kerana tidak banyak kenderaan yang lalu-lalang di atas lebuhraya. Apabila sampai di bawah jejantas berhampiran bangunan SIRIM, Shah Alam, Razlan ternampak seorang gadis sedang berdiri seorang diri di tepi jalan. Razlan pun berasa pelik kerana gadis itu sangat berani bersendirian di dalam gelap.

hantu perempuan

Dek kerana bimbangkan keselamatan gadis tersebut, seperti seorang lelaki sejati, Razlan memberhentikan motosikalnya dan mempelawa gadis tersebut untuk menghantarnya pulang ke rumah. Namun gadis yang berambut panjang melepasi bahu dan mengenakan baju serta skirt putih itu tetap diam membatu. Sapaan dan pelawaan Razlan langsung tidak diendahkannya. Selepas lebih 10 minit menanti dengan penuh sabar, barulah gadis itu mula bersuara. Kata si gadis, kalau Razlan benar-benar mahu membantunya, dia harap dapat dihantar pulang ke rumahnya yang terletak di sebuah taman perumahan di Puchong.

Razlan bersetuju untuk menghantar gadis itu pulang ke rumahnya di Puchong dan memberikannya topi keledar untuk dipakai. Selepas itu mereka mula bergerak menuju ke taman perumahan yang disebutkan tadi. Dalam perjalanan, si gadis yang memperkenalkan dirinya sebagai Saleha. Saleha memceritakan tentang bagaimana dia boleh berada di tepi jalan seorang diri pada tengah-tengah malam buta itu. Dia sebenarnya telah ditinggalkan di tepi jalan oleh seorang kawan lelaki.

hantu perempuan

Ceritanya bermula apabila Saleha menumpang kereta lelaki tersebut untuk pulang ke rumah selepas menghadiri sebuah majlis hari jadi seorang rakan sekerja. Tetapi malangnya, di dalam perjalanan pulang, lelaki durjana itu mula berkelakuan tidak senonoh terhadap Saleha. Sampai sahaja di bawah jejantas berhampiran bangunan SIRIM itu tadi, lelaki itu memberhentikan kereta dan memaksa Saleha untuk menyerahkan kehormatan dirinya.

“Namun saya bernasib baik kerana dapat melepaskan diri, kalau tidak tak tahulah apa yang akan jadi pada saya. Saya buka pintu kereta, keluar dan menjerit sekuat-kuat hati. Lelaki itu panik mendengar jeritan saya dan terus memecut kereta meninggalkan saya di sini,” cerita Saleha sambil merapatkan dirinya ke tubuh Razlan.

Tidak lama kemudian, mereka pun sampai di rumah Saleha yang terletak di Puchong. Kelihatan dua orang anak kecil sedang bermain-main di halaman rumah Saleha yang masih terang itu. Kata Saleha, itu anak-anaknya. Dia baru berpisah dengan bekas suaminya setahun lepas.
Sebelum berpisah, Razlan dan Saleha saling bertukar nombor telefon.

Hendak dijadikan cerita, seminggu kemudian Razlan pergi ke rumah Saleha bersama seorang kawan. Niat Razlan adalah untuk memperkenalkan kawannya itu kepada gadis berkenaan. Namun alangkah terkejutnya mereka berdua sampai di rumah Saleha.masakan tidak, tersergam di hadapan mereka ialah sebuah rumah yang sudah agak lama terbiar. Tingkap dan cermin rumah itu pecah, dinding berkulat dan lalang tumbuh tinggi meliar!

rumah berhantu

Ketika Razlan dan sahabatnya terpinga-pinga di hadapan rumah terbiar itu, seorang jiran keluar apabila menyedari kedatangan mereka. Razlan dan kawannya terkejut apabila jiran tersebut memberitahu bahawa Saleha dan dua orang anaknya sudah meninggal dunia dua tahun lepas. Tambah jiran itu, sebenarnya selain Razlan, sudah hampir 10 orang datang ke rumah terbiar itu untuk mencari Saleha. Semua lelaki berkenaan memberitahu mereka terserempak dengan Saleha di bawah jejantas berhampiran SIRIM, iaitu tempat dia ditinggalkan.

Apa sebenarnya yang telah berlaku terhadap Saleha? Kata jiran tersebut, pada malam kejadian, Saleha berjaya pulang. Bagaimanapun gadis itu ditemui mati keesokan harinya bersama mayat kedua-dua orang anaknya. Mereka semua dipercayai dibunuh oleh lelaki yang cuba mencabulnya. Kes kematian Saleha ada dilaporkan di media-media tempatan, sekitar 2 tahun yang lalu.

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi kisahseram.com

Loading...

LEAVE A REPLY

Amaran:
Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Please enter your comment!
Please enter your name here