Berani Pelajar Menyewa Kat Kawasan Seram Ini? Part 1

Assalamualaikum. Terima kasih kepada admin kisahseram.com kerana sudi kongsi cerita aku. Aku seorang pelajar institut pusat pengajian tinggi (IPT) di sebuah kolej yang baru dinaiktarafkan menjadi universiti. Aku nak cerita pasal benda yang terjadi sewaktu aku pertama kali masuk ke rumah sewa ini sehinggalah sekarang.

Dari semester satu lagi aku dah duduk di rumah sewa sebab aku malas nak tinggal di asrama. Rumah sewa dua tingkat ini terletak di atas bukit, kawasan perumahan baru. Selasalah juga sebab rumahnya besar, setiap bilik ada tandasnya sendiri. Sewa bulanan pun boleh tahan, murahlah juga bagi aku yang masih bergelar pelajar ni.

Pertama kali aku masuk ke rumah ini, aku dapat bilik tidur utama. Rumah ini memang kosong dan tiada sebarang perabot yang disediakan. Penyewa masuk sehelai sepinggang sahaja. Tidur pun hanya beralaskan Toto Narita. Pada mulanya, aku rasa seram sejuk bila masuk ke rumah ini. Bukan apa, aku jenis yang ‘boleh nampak dan rasa’ kalau ada benda-benda makhluk halus ini.

Tambahan pula, ini kawasan perumahan baru, jadi tak ramai yang tinggal di sini pada ketika itu. Tak macam sekarang dah ramai orang yang tinggal di sini. Boleh dikatakan hampir setiap malam ada anjing yang akan menyalak di depan rumah kami. Bukan setakat depan rumah, tetapi di belakang rumah pun ada. Dah lah bukan seekor dua yang menyalak, tetapi banyak. Apa yang peliknya, anjing-anjing ini selalu menyalak pada rumah ini sahaja.

anjing

Nak dijadikan cerita, hari pertama aku tidur kat rumah sewa tu semuanya normal. Tiada sebarang gangguan. Tetapi selepas selang 2-3 hari tinggal di situ, aku dah mula rasa dan nampak sesuatu. Benda pertama yang aku nampak dalam rumah ini adalah semasa aku hendak tidur.

Masa tu, lebih kurang jam 12 malam, aku ternampak ada sesuatu yang terapung di atas badan salah seorang kawan serumah aku ini. Ia kelihatan seperti lembaga besar, terapung betul-betul di atas housemate aku ini. Masa itu aku dengan dia tidur bersama, dengan jarak satu tilam di antara kami. Kiranya tilam yang ada di tengah-tengah antara kami itu kosong sebab kawan serumah yang seorang lagi balik rumah dia.

Memang seriau habis waktu tu. Jantung aku berdegup kencang macam nak pecah. Tapi aku tidak ceritakan tentang apa yang aku nampak tu pada sesiapa sebab tak nak takutkan mereka. Sebabnya kadang-kadang ada jenis yang lemah semangat. Jadi, aku diam-diam saja dulu. Selain itu, aku juga pernah nampak ada satu benda yang bertenggek di atas almari kawan serumah aku itu. Tidak mampu aku nak bersuara pada ketika itu.

hantu almari

Akhirnya, aku tidak dapat pendam dah perasaan takut aku sorang-sorang. Aku pun ceritakan tentang perkara ini kepada kawan serumah aku tentang perkara ini. Tetapi dia selamba saja, langsung tidak gentar walau sedikit pun. Padahal orangnya kecil je, kurus kering pula tu. Tak sangka pula aku yang hatinya kental.

Apabila masuk semester baru, aku tukar bilik. Aku pindah ke bilik paling hujung sekali, yang berdekatan dengan tandas. Jadi, aku akan dengar pergerakan orang keluar masuk bilik air. Suatu malam lebih kurang jam 3 pagi, aku terdengar bunyi orang tengah mandi dalam bilik air, siap menyanyi mendayu-dayu. Padahal aku tengok, semua kawan aku tengah tidur nyenyak dan lena di tempat masing-masing. Aku mula rasa semacam tetapi aku buat tak tahu. Aku pasang earphone di telinga dan kuatkan bunyi earphone. Tidak lama kemudian aku tertidur juga dalam keadaan tidak tenang.

Ada satu hari ini ketika tengah cuti semester, aku rancang nak balik rumah sewa sekejap untuk ambil pakaian nak bawa balik. Aku pergi ke rumah itu dengan seorang kawan ini. Semasa kami sampai dari Penang ke rumah sewa ini, kami dah rasa tak sedap hati. Namun, masing-masing mendiamkan diri untuk sedapkan hati sendiri.

Malam itu, kami lepak di ruang tamu saja sebab rumah kosong, tak ada orang. Kami makanlah di ruang tamu sambil berborak. Tengah seronok bersembang-sembang, tiba-tiba terdengar bunyi orang buka pagar rumah. Kami pun apa lagi, memang cuaklah. Bunyi dia buka pintu punyalah kuat.

“Kau dah kunci pintu kan?!” soal kawan aku banyak kali. “Dah, tadi lepas kita masuk je aku terus kunci pintu,” jawab aku. Aku cuba berlagak tenang. Kami tak habis makan, terus lari tidur di bilik atas. Kawan aku ini pula jenis yang cepat tidur awal kalau ada sesuatu yang berlaku. Yang terpaksa menghadap semua ini, aku. Sengsara menghadap benda sesorang.

hantu di tangga

Tengah sedap-sedap tidur, terdengar pula bunyi orang berlari-lari di balkoni. Paling tak boleh tahan, terdengar bunyi tapak kaki orang naik tangga menuju ke bilik tidur kami. Bunyinya bukan perlahan tetapi kuat. Bayangkan orang tengah naik tangga sambil hentak kaki, macam itulah bunyi yang aku dengar. Lama juga bunyi itu kedengaran. Sudahlah pada masa itu hanya kami berdua saja di dalam rumah.

Aku dah rasa seram sejuk, kepala aku dah tak boleh berfikir dengan betul dah. Kalau bukan manusia, mesti ‘benda’ tu. Aku buat-buat tak dengar, tak jadi malam tu aku nak kemaskan pakaian. Esok pagi, barulah aku berani kemaskan pakaian dan cepat-cepat keluar dari rumah itu walaupun jadual perjalanan tren kami bertolak pada jam 12 tengah hari. Dalam jam 10 pagi itu, kami sudah keluar rumah. Takut punya pasal.

Aku tak tahan duduk dalam bilik itu, aku tukar tidur di ruang tamu di bawah pula. Sampai sekarang aku masih menapak di ruang tamu bawah ini. Aku ingatkan akan kurang sikitlah nampak benda-benda aneh ini, ternyata lebih teruk pula jadinya. Lagi banyak benda-benda aneh yang aku nampak sebab perabot dalam rumah ini tak lengkap, jadi aku boleh nampak terus sampai ke dapur.

hantu dapur

Yang agak seram bila di tidur bawah ini masa aku nampak ‘benda’ itu di meja makan. Aku tidur di atas sofa, sofa itu pula menghadap ke meja makan. Memang terkejut aku nampak baju putih panjang tengah duduk saja di situ. Mujur juga dia duduk pandang ke arah lain, bukan pandang aku. Kalau tidak, memang tak tahulah apa yang akan terjadi pada aku malam itu.

Cerita ini bersambung ke Bahagian 2. Ikuti sambungannya dengan klik di pautan ini untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kisah pelajar IPT yang menyewa di kawasan perumahan seram.

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi kisahseram.com

Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Editor & founder orangperak.com
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.