Terlanggar Entiti Putih Di Jalan Jeniang-Sik

Cerita yang akan kisahseram.com paparkan kali ini adalah berkenaan kisah sekumpulan pelajar lelaki yang berdepan dengan kejadian misteri semasa dalam perjalanan balik dari negeri Kedah ke Kelantan. Kisah yang agak seram ini berlaku pada waktu tengah malam sekitar tahun 2008. Ia adalah kisah yang benar-benar berlaku dan bukannya cerita rekaan semata-mata. Ikuti kisah mereka di bawah.

Kisah ini bermula apabila aku dan tiga orang lagi pelajar yang sama-sama belajar di sebuah kolej di Kelantan terpaksa ‘transfer kredit’ tahun akhir kami ke sebuah kolej di Kedah untuk meneruskan perjuangan dalam bidang pengajian agama. Kolej baru itu terletak di Alor Setar, Kedah.

Pada hari pendaftaran, pagi-pagi lagi aku dan kawan-kawan aku bertolak ke Kedah. Petang itu, selepas selesai sahaja proses pendaftaran untuk kemasukan baru di kolej itu, kawan-kawan aku mengajak untuk balik semula ke Kelantan kerana kelas hanya akan bermula pada minggu berikutnya. Jadi ada seminggu cuti. Aku pun terus je setuju dengan kawan-kawan aku untuk balik ke rumah semula pada malam itu juga walaupun badan aku dah penat sangat memandu dari Kelantan ke Kedah, pastu nak balik lagi ke Kelantan. Fuh, bayangkan!

Sewaktu nak bertolak balik, jam sudah hampir ke pukul 12 tengah malam. Masa awal bertolak tu, aku tak memandu sebab aku nak rehat dulu. Badan masih penat. Salah seorang kawan aku yang memandu kereta masa mula-mula bergerak. Aku duduk kat tempat duduk belakang dengan seorang lagi kawan aku. Tengah rehat-rehat tu, aku akhirnya terlelap.

Aku tersedar apabila kereta tiba-tiba berhenti di sebuah kedai makan. Ingatkan ada apa masalah, rupa-rupanya kawan-kawan aku yang duduk depan tu nak tumpang buang air kat tandas kedai makan itu. Tapi masa itu kebetulan ramai pula pelanggan kedai tersebut yang tengah beratur nak guna tandas, jadi mereka berdua ni ambil jalan mudah buang air kat tepi semak dekat kawasan gelap dekat-dekat situ. Seingat aku, jalan tempat aku berhenti itu namanya jalan Jeniang-Sik.

kedai makan

Selepas selesai buang air, kami teruskan perjalanan. Sebenarnya aku tak tahu sangat jalan kat situ jadi aku biarkan je kawan aku tu yang jadi pemandu sebab aku fikir dia lagi tahu jalan itu dari aku. Duduk kat ‘seat’ belakang tu sekali lagi aku dan kawan aku terlelap. Mengantuk yang amat pula mata aku masa tu.

Apabila aku terjaga, rupanya kawan aku yang memandu tu dah salah jalan. Jalan itu memang gelap dan tidak ada pun orang yang lalu-lalang. Sepanjang jalan itu, satu rumah pun kami tidak nampak kat tepi-tepi jalan. Biasanya kalau lalu jalan kampung ada lah juga rumah orang kampung tapi ni satu pun takda. Kami masing-masing tidak tahu pun kat mana kami masa tu. Bila aku tanya kawan yang memandu kereta, dia sendiri pun tak tahu kat mana. Sepatutnya kami masuk satu simpang ni untuk tembus ke jalan Baling-Gerik. Tapi dah masuk jauh jalan itu tetap juga tidak jumpa simpang tersebut.

Disebabkan tidak jumpa cari simpang itu, kami putuskan untuk buat pusingan-u dan berpatah balik. Masa kereta tengah pusingan-u, tiba-tiba aku dan lagi seorang kawan aku yang duduk kat tempat duduk belakang kereta berasa seriau lain macam. Habis naik tegak semua bulu roma kami berdua yang duduk kat belakang ni. Aku tanya dia rasa tak apa yang aku rasa? Dia jawab yang dia pun rasa semacam. Jadi kami sama-sama baca ayat al-Quran untuk mengelak dari sebarang gangguan makhluk halus. Perjalanan diteruskan. Dekat 50 kilometer juga lah kami tersesat masuk ke jalan yang gelap tadi tu.

jalan gelap

Akhirnya jumpa juga satu simpang, kami terus masuk simpang itu tapi kali ini kami bertambah cemas sebab itu bukan simpang yang betul. Sekali lagi, kami melalui jalan yang sunyi dan gelap tanpa satu pun lampu jalan. Masa itu, aku dah rasa tak sedap hati dan aku minta tukar biar aku sendiri pula yang memandu kereta. Jadi sekarang stereng kereta sudah bertukar tangan.

Alhamdulillah, bila aku yang memandu, akhirnya jumpa juga simpang yang sepatutnya. Aku pun meneruskan perjalanan macam biasa. Simpang ini jalan pintas sebenarnya. Jalannya pun kecil sahaja. Kalau tidak silap aku, jarak dari simpang itu ke jalan besar Baling–Gerik adalah dalam 50 kilometer lebih. Tapi dengan izin Allah, jalan pintas itu hanya mengambil masa lebih kurang dalam 5 minit sahaja dah sampai ke jalan besar pada malam itu.

Tengah sembang-sembang tu, ketiga-ketiga kawan aku dah tertidur. Siap berdengkur lagi. Tinggallah aku seorang saja yang tengah memandu kereta. Masa itu hujan tengah turun renyai-renyai, jadi aku bawa kereta perlahan sahaja dalam 60km/j. Kebetulan lampu tinggi kereta ni memang dari awal-awal lagi dah rosak, hanya boleh pakai lampu standard je. Lagipun masa tu tengah menaiki kawasan bukit, memang tak boleh nak pecut laju-laju pun.

Tiba-tiba, muncul kelibat putih di hadapan kereta dalam jarak yang tidak sampai 50 meter. Apalagi, aku pun terus menekan brek kuat-kuat sambil memulas stereng kereta ke sebelah kanan untuk mengelak dari terlanggar benda tersebut. Tapi gedegang!! Walaupun aku dah cuba elak tapi terlanggar jugak benda itu. Habis remuk bonet depan kereta aku. Kawan-kawan aku yang tengah sedap tidur semua terbangun, terkejut dengan perlanggaran itu. Yang peliknya, aku bawa kereta perlahan je tapi brek dah macam 140km/j.

kelibat putih

Masa itu aku agak cuak juga lah sebab takut terlanggar orang. Tapi apabila diperiksa, tidak ada sesiapa atau apa-apa pun yang dilanggar. Kami semua berasa pelik sebab kereta remuk teruk tapi tidak ada apa pun yang dilanggar. Pintu kiri sebelah depan kereta langsung tak boleh dibuka. Lampu pecah tapi mentol dia masih elok terpasang. Lampu tinggi yang rosak pula tiba-tiba elok kembali. Nasib baik enjin kereta tidak mati, masih boleh berjalan walaupun dengan keadaan kereta yang dah tak semenggah.

Dalam keadaan aku bingung itu, kami teruskan perjalanan. Kawan-kawan aku tertanya-tanya apa yang berlaku sebab mereka tidak nampak apa yang aku nampak. Sampai di satu tempat, kami berhenti sekejap untuk tengok kerosakan kereta. Memang teruk jugak lah keadaan kereta aku. Masa itu, kami langsung tidak perasan bahawa tempat kami berhenti itu di belakangnya ada kawasan perkuburan Cina yang luas. Kami memang betul-betul tidak perasan masa itu sebab fokus kami hanya pada kerosakan kereta sahaja.

Selepas itu, perjalanan diteruskan lagi sampailah ke Tasik Banding. Ingat nak rehatlah sekejap kat situ tapi tak jadi. Ini kerana baru je kami nak rehat, tiba-tiba aku rasa tidak sedap hati. Apabila aku pandang cermin sisi kereta, aku nampak ada sesuatu yang tengah merenung tajam ke arah kami. Sama macam tadi juga, hanya aku seorang saja yang perasan akan hal ini. Jadi aku cakap kat kawan-kawan aku, “Tak payah rehat kat sini, kita teruskan je perjalanan”.

hantu marah

Dalam kepenatan itu, diteruskan juga perjalanan. Dalam setengah jam memandu, aku ternampak ada lori kontena yang berhenti kat tepi jalan. Aku pun putuskan untuk berhenti rehat kat tepi lori itu je. Hanya lori kontena itu sahaja yang ada kat tepi jalan yang gelap-gelita itu, tidak ada kenderan lain pun. Tapi tak apalah, “Jika berlaku apa-apa sekurang-kurangnya ada peneman”, aku berkata dalam hati. Jadi, aku parking kereta dekat dengan lori tersebut. Aku terus padamkan lampu kereta, ‘free’ gear dan tarik brek tangan dalam keadaan enjin kereta masih hidup. Tidak sampai satu minit kemudian, kami berempat tertidur.

Tiba-tiba, salah seorang kawan aku menjerit memanggil nama aku sambil berkata kereta bergerak. Aku terjaga dan terkejut! Kereta aku bergerak sendiri menaiki bukit. Dengan lampu tak pasang, gear kereta masih dalam mode ‘free’ dan brek tangan yang tidak turun, tapi kereta berjalan. Naik bukit pula tu! Aku tengok rupanya kaki kanan aku bergerak sendiri tengah hentak-hentak pedal minyak. Seoalah-olah ada orang lain yang tengah mengawal kaki aku masa itu. Kereta pula terus bergerak ke arah gaung. Aku menggelabah dan dengan susah-payah cuba menhentikan kaki aku dari terus menghentak pedal minyak. Aku pasang lampu kereta dan alhamdulillah akhirnya aku dapat mengawal balik kaki dan juga kereta aku.

Sampai Kelantan dan selepas hantar kawan-kawan aku ke rumah masing-masing, aku tertidur. Masa aku tertidur petang tu tiba-tiba mak aku kejutkan aku dan cakap ayah aku meracau-racau macam kena rasuk hantu. Suara ayah aku dah berubah jadi suara perempuan dan habis ditengkingnya semua orang.

Dipendekkan cerita, aku bawa ayah aku pergi berubat dengan seorang pengamal perubatan Islam. Lepas ayah aku dah berubat, aku berkumpul semula dengan kawan-kawan yang balik sekali dengan aku pada malam itu. Jadi berubatlah kami semua sebab bulu roma meremang tak turun-turun dari pagi sampai lah ke petang. Kami semua rasa macam lemah tak bermaya je badan, muka pun pucat.

Semasa berubat tu, perawat itu kata ‘benda’ itu ada bersama-sama dengan kami. Jadi, perawat itu pun cuba berinteraksi dengan benda itu. Lepas itu dia cerita la asal usul benda tu. Katanya benda itu asalnya perempuan cantik, tapi mati digilis lori trailer masa nak melintas jalan kat simpang yang mula-mula kami sesat tu. Sekarang rupanya mengerikan dengan kepalanya separuh hancur dan berdarah-darah. Jadi dia berdendam dengan manusia.

hantu pecah kepala

Selepas berubat, perawat itu hantar balik ‘benda’ itu ke tempat asal dia datang. Alhamdulillah, semuanya dah okey dan kembali seperti sediakala. Kalau tidak, badan terasa berat dan lemah tak bersemangat. Lepas itu memang taubat dah kami nak lalu jalan Jeniang-Sik malam-malam. Percaya atau tidak, ini kisah yang aku sendiri alami.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.