Tangisan Sayu Wanita Yang Mati Bunuh Diri

Artikel yang akan kisahseram.com paparkan kali ini adalah hasil temubual seorang wartawan Utusan dengan seorang bekas jururawat bernama Selvi. Tidak berapa lama dahulu, saya menerima tawaran pakej perubatan dari sebuah syarikat swasta. Penerangan pakej dilakukan di sebuah hotel terkemuka di Serdang.

Seorang wanita berbangsa India memeriksa tekanan darah saya, di samping memberikan pelbagai penerangan tentang bahaya penyakit yang sering menimpa masyarakat kita. Biasalah, sudah namanya wartawan, dalam pada dia mempromosikan pakejnya, saya pula sempat mencelah bertanya macam-macam soalan.

Dari situ saya mendapat tahu namanya Selvi dan dia adalah bekas jururawat. Apa lagi, saya terus “pasang perangkap”, saya dengar di hospital sering berlaku kejadian-kejadian misteri. Betul ke, Selvi?

“Hahaha… ya betul Encik Zul,” jawab Selvi, lalu menceritakan kepada saya tentang kejadian-kejadian misteri semasa dia masih menjadi jururawat di sebuah hospital kerajaan.

Kejadian pertama berlaku ketika Selvi buat pertama kalinya bekerja shif malam, di wad ICU. Dah namanya bertugas malam, memanglah mengantuk. Lantas Selvi duduk di kerusi berhampiran dengan meja kaunter, memasang walkman dan memejamkan mata. Fikirannya mula melayang, jauh dan sunyi.

Tiba-tiba, BBAMMM!! “Bangun! Jangan tidur di sini!” seorang jururawat Cina tiba-tiba saja datang menyergah dan menampar pipinya, kemudian terus berlalu pergi dari situ.

hantu

Selvi memang terperanjatlah. Sudahlah kena marah, kena tampar pula tu. Tapi siapa pula jururawat Cina tadi? Rasanya dia tak kenal pun siapa jururawat itu. Dalam keadaan binging, Selvi pun bertanya kepada seorang kawan, namun kawannya bertegas mengatakan tiada sesiapa yang lalu di kaunter itu. Lagi pun hanya mereka berdua sahaja jururawat yang bertugas pada ketika itu.

Esoknya Selvi menceritakan peristiwa yang dialaminya malam itu kepada kawan-kawannya yang lain. Mereka hanya ketawa saja mendengar cerita Selvi. Kata mereka, apa yang berlaku itu bukanlah perkara pelik. Sebab itu kalau ada antara mereka yang bertugas shif malam, mereka tidak akan tidur walaupun mata sudah benar-benar mengantuk.

“Kawan-kawan yang senior juga selalu berpesan, kalau kerja pada waktu malam, simpan benda-benda tajam macam gunting di dalam poket sebab “makhluk itu” takut pada benda-benda tajam. Kalau nampak jelmaan-jelmaan pelik, diamkan saja, kerana itu mungkin jelmaan pesakit yang telah meninggal dunia,” kata Selvi.

Selvi juga memberitahu saya, pada mulanya dia tidak percaya pada nasihat dan cerita senior-senior tersebut. Mungkin mereka saja hendak menakut-nakutkan dirinya saja, hinggalah pada suatu malam apabila dia sendiri terdengar suara perempuan menangis teresak-esak.

tangisan hantu

“Suaranya kedengaran begitu sayu dan menakutkan. Saya cari dari mana datangnya arah tangisan itu. Akhirnya saya jumpa. Rupa-rupanya suara tangisan itu datang dari katil seorang wanita yang mati membunuh diri akibat putus cinta. Di katil itulah dia menghembuskan nafasnya yang terakhir selepas beberapa hari terlantar kerana meminum racun,” cerita Selvi.

Sumber : Utusan Online

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.