Soal Jawab Berkenaan Toyol

Assalamualaikum. Di sini saya ingin berkongsi dengan pembaca-pembaca setia kisahseram.com berkenaan toyol yang selalu meniti di bibir masyarakat kita dan kisah berkenaan toyol juga pernah ditayang di dalam filem atau disiar di kaca televisyen. Terdapat banyak versi cerita berkenaan toyol, namun tidak dapat dipastikan kebenaran di sebalik setiap versi tersebut. Mari kita ulas satu-persatu semua versi cerita tentang toyol ini.

1. Asal-Usul Toyol

Terdapat dua versi berkenaan asal-usul toyol. Versi pertama mengatakan toyol adalah hasil daripada pemujaan kepada mayat anak sulung yang masih bayi dari ibu sulung yang mati pada hari Selasa. Dipercayai bahawa mayat bayi ini akan disalai selama 40 hari disamping dibaca beberapa mantera. Sebab itulah orang dulu-dulu, kalau anak sulung mati dari ibu yang sulung pada hari selasa, kubur bayi itu akan dijaga sehingga 40 hari lamanya. Selepas 40 hari, mayat bayi tersebut tidak boleh digunakan lagi untuk menghadirkan toyol kerana telah habis tempoh waktu yang ditetapkan.

mayat bayi

Manakala versi kedua pula mengatakan bahawa toyol adalah anak jin yang perolehi sama ada dengan cara menculiknya atau membuat perjanjian dengan ketua jin. Untuk mendapatkan toyol, ilmu kebatinan seseorang itu perlu tinggi. Antara syarat untuk mendapatkan toyol adalah dengan memberi makan darah tuan dari ibu jari kaki kiri atau jari manis tangan kanan.

2. Makanan Toyol

mayat bayi

Makanan utama toyol adalah darah. Ada yang mengatakan bahawa toyol hanya makan darah yang dihisap dari jari tuannya. Tetapi ada juga toyol yang makan telur ayam. Ada juga versi lain yang mendakwa bahawa toyol turut makan darah haid gadis sunti.

3. Kegemaran Toyol

kacang hijau

Sifat toyol adalah seperti budak-budak. Antara kegemarannya ialah bermain dengan kacang hijau, duit syiling 10 sen dan gadis dara. Maka akan terbantutlah hajat si pembela untuk mendapatkan wang curi jika toyol jumpa barang mainan sewaktu nak mencuri. Sebab jika terjumpa barang mainan itu jawabnya, sampai ke pagilah toyol itu akan leka bermain sehingga terlupa tugas yang disuruh oleh tuannya.

4. Toyol Tidak Tahu Perkara Ghaib

Hakikatnya, toyol tidak tahu pun di mana duit seseorang disorokkan. Biasanya, toyol akan buat intipan dahulu kat mana duit bakal mangsanya disimpan. Lepas dah tahu di mana tempat simpanan duit itu, barulah si toyol ini mulakan kerja mencurinya. Kadang-kala, tuan toyol sendiri yang akan beritahu lokasi simpanan duit, jadi senanglah kerja toyolnya itu.

5. Adakah duit yang diletak dalam Al-Quran boleh dicuri oleh toyol?

Jawapannya adalah boleh. Al-Quran untuk dibaca, bukan digunakan sebagai peti simpanan. Sudah banyak kes yang terjadi. Duit yang disimpan dalam helaian al-Quran tetap hilang. Tidak tahu ke mana lesapnya duit itu.

6. Petua mengelak kecurian dari si toyol

  • Letakkan kacang hijau atau duit syiling 10 sen di luar tempat simpanan. Insyaallah, toyol akan leka bermain dengan kacang hijau atau duit syiling itu sehingga lupa tugas mencurinya.
  • Simpan duit di dalam uncang yang bertali. Dipercayai bahawa toyol ini akan takut nak ambil duit di dlam uncang yang bertali kerana takut boleh tercekik.
  • Sertakan duit simpanan bersama daun Jelatang Gajah. Dikatakan, daun ini amat ditakuti oleh toyol dan juga turut ditakuti oleh pembela pelesit.
  • Membaca ayatul qursi setiap kali menyimpan duit dan memohon kepada Allah SWT agar harta dijaga.

Ada satu soalan yang masih tidak dapat dijawab sehingga sekarang berkenaan toyol. Soalannya berbunyi begini, “Kalau dah toyol itu kerjanya mencuri, kenapa tuan toyol tak suruh toyolnya curi kat bank jer? Lagi banyak duit kat dalam bank tu. Duit orang yang tidak membayar zakat pun berlambak dalam bank itu”. Jawapan kepada soalan ini adalah wallahu’alam. Mungkin kena tanya sendiri pada tuan toyol berkenaan.

Untuk pengetahuan pembaca-pembaca setia kisahseram.com, soal jawab berkenaan toyol ini dipetik dari blog darulmanzil.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.