Pontianak Menampakkan Diri Setelah Dilontar Batu

Pertama sekali, untuk pengetahuan pembaca setia kisahseram.com, artikel yang akan dikongsikan pada kali ini diperolehi daripada akhbar Berita Harian bahagian Joran. Rata-rata pemancing pasti akan berdepan dengan pelbagai ujian dan pengalaman sepanjang mereka menceburkan diri sebagai pemancing sama ada suka, duka dan kadang-kadang aneh serta tidak kurang juga yang kelakar.

Cerita ini adalah tentang satu pengalaman seram seorang kaki pancing yang tidak dapat dilupakan apabila beliau terserempak dengan makhluk Allah yang lain ini ketika sedang memancing di Sungai Pulau Kerengga, dekat Marang, Terengganu pada tahun 2000. Mari kita namakan beliau sebagai Mat Arif (bukan nama sebenar) untuk memudahkan para pembaca kisahseram.com memahami jalan cerita yang akan disampaikan.

Semasa menghantar pesanan makanan yang dipinta oleh tetamu di resort tempat Mat Arif mencari rezeki, ceburan air di suatu sudut penghujung sungai betul-betul mengejutkannya yang sedang berjalan merentasi jambatan untuk ke resort tersebut. Terdetik di kepala Mat Arif betapa rakusnya pemangsa meragut enak anak-anak ikan di permukaan air. Ketika itu, Mat Arif pasti itu ikan siakap merah kerana sekali-sekala terlihat jelas kelibat merah sisiknya.

kelibat ikan merah

Nama sungai yang menghubungkan Kuala Merchang dan resort ini dinamakan sebagai Sungai Pulau Kerengga. Oleh kerana terbinanya resort yang terkenal dengan gelaran Marang Resort & Safar,i maka sungai ini diberi nama jolokan Sungai Safari. Mat Arif menyusun rancangan untuk menduga penghuni sungai itu setelah selesai menjalankan tugas harian beliau bersama rakan-rakan sekerjanya iaitu Man Rambo dan Jaafar. Kedua-dua sahabat Mat Arif itu yang sememangnya pemancing tegar.

Pada jam 3 petang, Mat Arif terus pulang ke rumah dan bersiap-siap untuk mencari umpan yang ketika itu amat mudah dicari berikutan kawasan itu beberapa hari sebelumnya kerap dilanda hujan. Mereka tiga sekawan bersama-sama mencari anak-anak ikan untuk dijadikan sebagai umpan pancing. Hanya dengan tiga kali tangguk, Man Rambo berjaya mengisi balang kosong dengan lebih kurang empat puluh ekor anak ikan sepat. Kini umpan sudah pun tersedia dan mereka tersenyum puas.

Selepas puas hati dengan jumlah umpan, mereka pulang ke rumah untuk berehat sementara menunggu air sungai pasang petang kira-kira jam 7 malam. Tepat jam 6.30 petang, Mat Arif sampai ke tebing sungai sementara menunggu rakan-rakan yang lain. Mat Arif mencuba teknik casting menggunakan gewang. Balingan pertama beliau disambar dengan kuat oleh seekor ikan toman yang akhirnya tewas selepas pertarungan selama kira-kira 20 minit. Setelah ditimbang, berat ikan toman itu adalah lebih tujuh kilogram.

ikan toman

Tidak lama kemudian, teriakan rakan Mat Arif memecah sunyi petang di sungai itu. “Hantu betul kau! Tak tunggu aku pun,” kata Man Rambo yang memang sudah menjadi ‘trademark’nya untuk ayat yang tak sepatutnya diucapkan pada sesetengah tempat. “Apalah kau ni Man. Dok sebut pula nama tu. Kalau dia datang, tak cukup tanah kita semua lari nanti,” balas Mat Arif. Man Rambo hanya sekadar tersengih mendengar bebelan Mat Arif Itu.

Untuk pusingan pertama, mereka berjaya menaikkan empat ekor ikan siakap yang bersaiz sederhana. Aksi tarik-menarik dan bunyi kekili membuatkan mereka tidak mahu berganjak dari sungai itu. Sehingga jam 9 malam, suasana di sekitar sungai itu kembali sunyi. Tiada lagi aksi tarik-menarik dan anak ikan sudah menghilangkan diri. Sambil merebahkan badan di atas rumput, Mat Arif menyalakan rokok. Sesekali matanya menjeling hujung joran usang yang setia berkhidmat untuk beliau sejak sekian lama. Jenama Shimano sememangnya menjadi pilihan Mat Arif untuk bertarung dengan ikan baik di sungai ataupun di pantai.

Tiba-tiba, satu denyutan dapat dilihat pada hujung joran. Lantas Mat Arif bingkas bangun untuk melibas getaran itu. Bengkok 45 darjah batang joran beliau dibuatnya. Libasan beliau mengena. Adegan tarik-menarik berlaku. Besar juga rezeki aku ni, bisik hati Mat Arif. Kekili joran dipusing dengan cepatnya. Sampai ke tebing, Mat Arif bingung kerana hanya tempurung kelapa yang tersangkut pada mata kail.

tarik joran

Masing-masing resah melihat kejadian itu kerana mereka semua melihat aksi tarik-menarik itu tadi, namun begitu hanya tempurung kelapa yang tersangkut. Mat Arif berfikiran positif dan mengandaikan itu berlaku secara kebetulan. Mat Arif kemudiannya membetulkan mata kail dan terus memancing dengan melontar semula umpan ke perut sungai.

“Eh, siapa pula yang pakai bedak sejuk ni?” tanya Man Rambo pada Mat Arif. Memang sedari tadi lagi Mat Arif juga turut terhidu bau yang sama tetapi cuba mendiamkan diri. “Tak ada apalah Man. Agaknya bau sampah. Kau ni kan, mulut tak ada insuran,” Mat arif cuba menenangkan yang lain. Jaafar pula sudah lama terlena kesan daripada kesunyian aksi.

“Weh, Arif! Bau bedak sejuk ni makin kuat dan macam dekat sangat dah dengan kita. Aku rasa tak sedap hatilah. Jomlah kita balik sekarang,” Man Rambo bersuara sambil mengerutkan dahinya. Berbekalkan apa yang pernah dipelajari sebelum ini, Mat Arif mengambil seketul anak batu dan mengucapkan “Siapalah kau, aku nak tengok kewujudan kau”. Anak batu itu Mat Arif baling ke perut sungai. Tapi ketika itu tiada apa-apa yang berlaku.

baling batu

“Man! Kejutkan Jaafar bangun. Cepat kemaskan barang-barang kita,” Mat Arif memberi arahan. Selesai sahaja Mat Arif berkata-kata, kedengaran dengan jelas satu suara yang mengilai dengan nyaring. “Man! Jangan berpecah dari aku. Jalan seiring, dia memang ada, jangan pandang atas,” Mat Arif mengingatkan rakan-rakannya yang lain.

“Macam mana ni? Aku rasa dia marah kat engkau. Itulah, tadi kau cabar dia sangat,” Man mengeluh. Mat Arif hanya mendiamkan diri. Tidak dapat dia membalas dengan kata-kata kerana memang dia yang mencabar makhluk itu tadi. Berderap-derap bunyi batu dipijak sepanjang jalan ketika mereka mengundurkan diri dari tebing sungai.

Namun tidak disangka-sangka, kami diteduhi oleh satu bayang makhluk yang besar kembang di atas kepala kami. Bayangnya melitupi cahaya bulan di atas kami. Dari ekor mata Mat Arif, jelas kelihatan wajah ngeri seorang perempuan yang berpakaian koyak dan berselirat dengan kain putih yang lusuh, mengembangkan tangannya meredah angin sambil menampakkan kemarahannya pada beliau.

pontianak

Di dalam hati, Mat Arif berdoa, “Ya Allah, andainya ini dugaan-Mu padaku, jadikanlah aku orang yang tetap imannya dan matikanlah aku di kalangan orang diterima taubatnya,”. Doa beliau sambil memegang bahu rakan menuju ke kereta. Akhirnya kelibat pontianak itu tidak kelihatan lagi.

Sepanjang jalan pulang, mereka hanya diam membisu dan lidah bagaikan terkunci untuk berkata-kata. Sehingga ke hari ini, peristiwa itu masih segar dalam ingatan Mat Arif. Bagaimanapun beliau masih lagi tidak serik untuk berkunjung ke sana kerana ikan-ikan banyak terdapat di sungai tersebut.

Bagi Mat Arif, bumi Allah ini bukan dicipta untuk manusia saja. Ada juga bahagian untuk makhluk-makhluk lain yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar manusia dan kita sebagai manusia mempunyai hak terhadap sebahagian kecil daripadanya. Wallahualam.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.