Pengalaman Seram Menyewa Apartment 13A

Assalamualaikum. Kali ini kisahseram.com nak berkongsi satu kisah seram yang berlaku di sebuah apartment bernombor 13A. Kisah ini adalah mengenai seorang graduan yang baru memulakan kerjayanya sebagai penulis di sebuah syarikat akhbar tempatan. Semuanya bermula apabila dia menyewa sebuah rumah di apartment yang berdekatan dengan tempat kerja dia. Apartment itu bukan setakat dekat dengan tempat kerjanya, malah sewa apartment itu juga cukup murah dengan kategori fully furnished pula tu. Bawa diri je katanya masuk rumah itu.

Mula-mula tinggal kat apartment itu, segala-galanya baik sahaja. Tidak ada apa-apa yang pelik atau seram yang berlaku sehinggalah terjadi sesuatu pada satu malam yang sepi. Semasa dia sedang membuat kerja kat bahagian ruang tamu rumah, dia tiba-tiba terdengar bunyi dentuman kuat pada pintu rumah dia. ketika itu jam menunjukkan lebih kurang pukul 2.30 pagi. Selepas mendengar bunyi dentuman kuat pada pintu rumah dia cuba buat-buat tidak tahu sahaja namun secara tiba-tiba kipas pula terhenti dengan sendiri. Masa ni dia dah mula cuak dan rasa tak sedap hati dah. Apalagi, terkumat-kamit lah mulut dia membaca ayat-ayat al-Quran sebagai pendinding diri dari sebarang gangguan yang tidak dikehendaki. Alhamdulillah selepas itu keadaan kembali tenang dan dia dapat meneruskan kerja-kerjanya yang tergendala.

Setelah menyiapkan semua kerjanya, dia pun masuk ke bilik untuk tidur tetapi pada malam tu dia terasa lain macam sangat. Terasa seolah-olah ada benda yang menghempap badan dia semasa tidur dan terasa panas berbahang. Tidak lama kemudian, tiba-tiba kaki dia pula tersentap lantas membuatkan dia terbangun dari tidur. Selepas terbangun dia terdengar pula suara tangisan seorang wanita yang sayup sayup kedengaran seolah-olah meminta tolong. Dalam keadaannya yang takut-takut itu dia cuba juga mencari arah datangnya suara tangisan itu. Suara tangisan itu datangnya dari ruang tamu rumah.

ditindih

Alangkah terperanjatnya dia apabila tiba-tiba apa yang dia nampak di ruang tamu rumah adalah sesuatu yang tidak pernah diharap untuk dia tengok. Kalaulah organ dalaman badan itu macam organ kereta, rasanya semua habis luruh jatuh atas lantai. Kelu, kaku jadinya apabila dia melihat susuk seorang wanita dengan wajah yang menyeramkan. Matanya terjojol keluar bersama titisan darah yang keluar dari lubang biji mata, lidah terjelir panjang dan kepalanya bengkok seperti orang patah leher. Bukan itu sahaja malah wanita itu juga mempunyai kuku yang panjang dan tajam, dengan rambut panjang yang kusut-masai. Lebih mengerikan apabila terdapat ulat-ulat yang menggelitik keluar dari bahagian tubuhnya yang kelihatan mereput.

hantu

Tiba-tiba tangisan sayu yang dia dengar tadi bertukar menjadi hilaian kuat yang menakutkan. Kemudian, lembaga wanita itu dikatakan menerkam tubuh beliau dan terus mencekik lehernya. Masa itu, dia hanya terfikir matilah dia kali ini tapi mulutnya tetap terus membaca ayat-ayat Kursi dalam usaha untuk menyelamatkan dirinya. Lembaga wanita itu terkesan dengan bacaan ayat Kursi tersebut, lalu menjerit kesakitan dan terus melepaskan leher dia dan akhirnya menghilang begitu sahaja.

Oleh kerana badan dia terlalu lemah, dia pengsan kat situ juga. Apabila sedar sahaja dari pengsan pada pagi itu, dia tengok badannya penuh dengan kesan cakar serta lebam-lebam di bahagian leher. Disebabkan badannya terasa lemah dan tidak sihat, dia menelefon kawan dia memberitahu tentang keadaannya. Apabila kawannya sampai sahaja di kawasan rumahnya, kawan dia jadi lain macam tapi tidak membuka cerita kenapa sehinggalah mereka beredar dari kawasan rumah itu. Selepas singgah kat satu restoran, barulah kawan dia menceritakan bahawa apartment yang dia sewa itu berhantu.

Katanya, pernah terjadi kejadian rogol dan bunuh di apartment tersebut. Dikatakan terdapat seorang gadis yang pernah tinggal di situ bertengkar dengan teman lelakinya. Akibat pertengkaran itu, dia kemudiannya dirogol dan dibunuh oleh teman lelakinya sendiri. Selepas itu, mayat gadis itu digantung kat tengah-tengah ruang tamu rumah seolah-olah macam mati bunuh diri oleh teman lelaki tadi untuk menyembunyikan perbuatan jahatnya. Kononnya dengan membuat kematian gadis itu akibat bunuh diri, beliau dapat mengaburi mata pihak berkuasa dan menyelamatkan dirinya dari menjadi suspek pihak polis namun semua itu sia-sia sahaja kerana dia akhirnya tertangkap dan dihukum.

rape

Selepas mendengar cerita kawan dia, memang tidak tunggu lama dah kat rumah itu. Terus dia berpindah ke rumah kawan dia. Tidak sanggup untuk dia terus tinggal di rumah berhantu itu lagi. Tempat orang yang mati akibat dibunuh memang menjadi tempat kesukaan kaum jin dan syaitan kerana terdapat aura negatif di situ. Namun bukanlah sebab orang mati itu menjelma menjadi hantu demi membalas dendam kerana roh orang mati tidak akan kembali lagi ke dunia. Itu semua kerja-kerja jin dan syaitan yang sentiasa berusaha menyesatkan dan memesongkan akidah manusia.

Pengajaran yang dapat kita ambil dari kisah di atas adalah pentingnya membuat tahlil atau bacaan Yassin apabila masuk ke rumah baru tidak kiralah sama ada baru siap atau kita baru nak duduk. Ini kerana kita tidak tahu siapa yang pernah tinggal di situ sebelum kita masuk. Rumah yang lebih dari 3 hari kosong tanpa penghuni pun dah datang penumpang yang tidak bayar sewa dan tetamu yang tidak diundang. Apatah lagi jika rumah yang telah lama ditinggal kosong.

Sumber kisah seram ini dipetik dari laman web babab.net dan diolah semula oleh kisahseram.com sebagai sebuah perkongsian untuk semua peminat setia kisah-kisah seram.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.