Misteri Teksi Yang Menjelma Daripada Kereta Usang

Kisah ini berlaku lebih kurang 13 tahun yang lepas. Pengalaman seram yang aku alami sukar untuk dilupakan dan tidak mudah untuk dipercayai. Namun ia adalah suatu kejadian yang benar-benar berlaku semasa baru sebulan aku berpindah ke blok 13, Eunos Crescent, Singapura. Ketika itu kawasan tersebut masih belum pesat membangun seperti sekarang.

Kira-kira selepas waktu maghrib ketika itu, aku dan kakak aku sedang memandu kereta dalam perjalanan pulang dari membeli-beli di sebuah pasaraya di pusat bandar. Setibanya di persimpangan Bedok/Chai Chee, kereta kami tiba-tiba membuat ragam. Sebagai wanita apalah daya kami untuk membaikinya. Aku terus berlari mencari telefon awam untuk menghubungi abang aku untuk mendapat bantuan.

Malangnya beliau berkerja shift malam pada hari itu. Kakak terus membuat keputusan meninggalkan keretanya di tepi jalan sahaja, sementara menantikan hari esok. Kami terus berjalan perlahan-lahan di sepanjang Bedok/Chai Chee sambil melihat-lihat kalau-kalau ada teksi kosong yang melalui kawasan itu. Setelah penat berjalan kami terus berhenti di tepi jalan sambil mengharapkan kedatangan teksi. Yang menghairankan, sudah hampir satu jam kami menunggu, namun tiada sebuah teksi pun yang kelihatan.

Dalam keadaan bosan menunggu, tiba-tiba entah dari mana, muncul sebuah teksi yang berhenti betul-betul di hadapan kami sedangkan kami tidak pun menahannya kerana aku dan kakak aku betul-betul tidak menyedari kedatangan teksi tersebut. Tanpa berlengah lagi kami terus menaikinya sambil mengucapkan rasa syukur.

teksi

Semasa di dalam teksi entah mengapa terlalu banyak cerita yang kami berdua bualkan sehinggakan kami tidak sedar akan masa yang terus berjalan. Setelah aku melihat jam di tangan, barulah aku sedar bahawa telah hampir satu jam kami berada di dalam teksi berkenaan dan masih belum tiba ke tempat tujuan kami, sedangkan perjalanan dari jalan Bedok/Chai Chee ke Eunos Crescent hanya memakan masa kurang daripada 20 minit sahaja.

Lalu aku pun segera mencuit kakak aku untuk bertanyakan tentang keganjilan yang kami rasakan dan tempat-tempat yang dilalui benar-benar kami tidak kenali langsung. Kakak memberi isyarat supaya membaca apa sahaja ayat Al-Quran yang kami tahu. Terkumat-kamit mulut kami membaca apa yang patut. Dalam hati Allah sahaja yang tahu betapa cuaknya kami pada ketika itu.

Sempat juga aku bertanya pada pemandu teksi berkenaan,”Apek kami nak ke Eunos Crescent! Kamu bawa kami ke mana ni?” Pemandu teksi tadi menjawab pertanyaan aku dengan hanya menganggukkan kepalanya. Bertambah gementar aku rasakan saat itu seperti hendak menangis rasanya. Namun kami terpaksa cekalkan hati dan terus membaca apa saja ayat-ayat yang kami ingat.

Tiba-tiba, kami seperti keluar daripada dunia lain. Teksi tadi terus membelok ke Eunos Crescent. Tanpa perlu kami memberitahu pemandunya, teksi itu terus berhenti betul-betul di hadapan blok kami. Tanpa berlengah, kakak aku yang duduk di tepi pintu, seperti terjun sahaja daripada teksi dan aku terus menghulurkan wang tambang teksi kepada pemandunya.

Waktu aku menghulurkan wang, alangkah terperanjatnya aku apabila menyedari pemandu teksi tersebut adalah seorang lelaki tua yang benar-benar sudah lanjut usianya. Kelihatan sejuta kedutan di tangannya. Sayangnya aku langsung tidak dapat melihat wajahnya. Dia seperti cuba mengelak dari menampakkan mukanya kepada aku dan memalingkan mukanya ke arah lain.

tua

Tanpa bersuara, pemandu teksi itu menolak wang pemberian aku dengan isyarat. Dalam ketakutan dan kehairanan, terdengar suara kakak aku menyuruh aku supaya turun dengan segera daripada teksi tersebut pada waktu itu. Aku yang dari tadi terasa seperti terpaku, terus turun dari teksi tersebut tanpa menutup pintunya kembali.

Setelah beberapa tapak saja kami melangkah, sekali lagi kami terperanjat kerana apabila kami menoleh semula ke belakang teksi tadi sudah tidak kelihatan lagi. Menurut penerangan kakak aku, sewaktu turun dari teksi tadi, dia terkejut apabila menyedari sebenarnya kami bukanlah menaiki teksi, tetapi sebuah kereta yang sangat usang pada pandangannya.

kereta usang

Kemudian aku melihat jam tangan, ketika itu waktu sudah hampir pukul 11.30 malam. Anehnya, perjalanan dari jalan Bedok/Chai Chee ke Eunos Crescent yang sepatutnya hanya memakan masa 20 minit tetapi malam itu dengan teksi misteri ia bahkan mengambil masa selama tiga jam.

Bagaimana pun, aku tetap merasa bersyukur kerana aku dan kakak aku sampai ke destinasi dengan selamat walaupun mengalami peristiwa yang menakutkan itu. Sehingga sekarang aku masih tidak dapat melupakan teksi misteri yang menumpangkan kami pada malam kejadian tersebut walaupun peristiwa itu telah berlaku bertahun-tahun yang lalu.

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi kisahseram.com

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.