Misteri Puteri Gunung Ledang, Manusia atau Bunian?

Kisah mengenai Puteri Gunung Ledang telah pun wujud sejak berzaman lagi. Gunung Ledang merupakan sebuah gunung yang terletak di daerah Muar, Johor dan bersempadan dengan Melaka. Lagenda menceritakan bahawa ada seorang puteri yang dikatakan mempunyai rupa paras yang terlalu cantik yang menjaga gunung tersebut dan dipercayai masih mendiami gunung tersebut sehingga kini.

Kebanyakan masyarakat Melayu percaya bahawa Puteri Gunung Ledang adalah makhluk bunian yang hidup sejak berabad dahulu dan mendiami Gunung Ledang. Kepercayaan ini dikatakan tidak mustahil bagi masyarakat Melayu kerana bunian juga merupakan antara golongan jin yang diciptakan oleh Allah S.W.T dan hidup di alam ghaib yakni alam yang tidak dapat dilihat oleh mata manusia biasa. Namun, jika mereka berkehendak, mereka akan menampakkan kewujudan mereka di alam kehidupan manusia.

bunian

Kisah lagenda Puteri Gunung Ledang ini masih lagi segar dalam hidup masyarakat Melayu. Bagi mereka yang percaya dengan kekuasaan Allah S.W.T, kewujudan golongan jin yang dikenali sebagai bunian adalah tidak mustahil kerana kekuasaan Allah itu sendiri berada di luar pemikiran manusia. Kepercayaan terhadap Puteri Gunung Ledang sebagai bunian dikuatkan lagi dengan kawasan Gunung Ledang yang merupakan ‘perkampungan’ golongan jin.

Menurut Zainurin Sahir yang merupakan seorang pengkaji sejarah di Tangkak, Johor, percaya bahawa Puteri Gunung Ledang merupakan bunian yang diperkatakan oleh masyarakat Melayu. Puteri Gunung Ledang ini dikatakan mampu menjelmakan diri sebagai nenek tua bertongkat yang dikenali sebagai nenek kebayan dalam masyarakat Melayu. Puteri Gunung Ledang akan menampakkan dirinya kepada manusia dalam jelmaan nenek kebayan dan kadangkala sebagai seorang puteri yang cantik jelita.

nenek kebayan puteri gunung ledang

Perkara ini mungkin akan disangkal oleh generasi baru yang tidak mempercayai tentang kewujudan bunian. Terpulang kepada diri sendiri, tetapi kita sebagai umat Islam wajib untuk mempercayai alam ghaib apatah lagi golongan jin yang sememangnya antara makhluk yang diciptakan oleh Allah S.W.T. Sebenarnya suasana di alam gahaib dan alam nyata adalah sama cuma yang berbeza mungkin hanyalah perjalanan masa.

Justeru itu, manusia biasa yang memasuki alam ghaib mungkin akan mengalami kesukaran untuk kembali ke dunia asal kerana kebiasaanya orang yang memasuki alam ghaib tidak akan sedar bahawa dirinya berada di alam ghaib. Lantaran itu, timbulnya dakwaan bahawa Puteri Gunung Ledang asalnya seorang manusia biasa yang pergi bertapa di kawasan hutan tebal di Gunung Ledang. Ini kerana Gunung Ledang sering menjadi tempat bagi mereka yang berhajat untuk menuntut ilmu kebatinan.

bertapa

Puteri Gunung Ledang dikatakan telah masuk ke alam ghaib dan sehingga kini Puteri Gunung Ledang dipercayai masih hidup serta menjadi penjaga Gunung Ledang. Disebabkan itu, masyarakat Melayu percaya bahawa Puteri Gunung Ledang adalah makhluk bunian.

Sama ada para pembaca kisahseram.com mahu percaya atau tidak, terpulang kepada diri sendiri. Apa yang pasti setiap apa yang diciptakan oleh Allah, pasti ada hikmahnya yang tersendiri.

Sumber dipetik dari laman web Utusan Online.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.