Misteri Nenek Kebayan Makan Daging Mentah

Nenek kebayan digambarkan sebagai seorang wanita yang sangat tua, belakangnya bongkok dan mempunyai kulit wajah yang berkedut. Langkahnya yang nampak lesu dan tidak gagah dibantu oleh sebatang tongkat kayu yang usang. Kisah wanita tua yang dikenali sebagai nenek kebayan itu telah diperturunkan dari zaman dahulu kala hingga kini dalam masyarakat Melayu terutamanya dalam Hikayat Hang Tuah dan Hikayat Malim Deman.

nenek kebayan

Dalam kisah-kisah tersebut nenek kebayan menunjukkan digambarkan sebagai watak yang baik. Dia menjadi perantara di antara manusia biasa untuk berhubung dengan puteri kayangan dengan kuasa sakti yang dimilikinya. Dalam versi lain, nenek tua itu digambarkan sebagai seorang wanita yang memiliki rupa paras menakutkan dan gemar menculik kanak-kanak menerusi lirik lagu rakyat, Nenek Si Bongkok Tiga.

Nenek kebayan juga terkenal sebagai penjaga Puteri Gunung Ledang yang mendiami gunung tersebut yang terletak di Ledang, Johor menerusi cerita-cerita legenda. “Walaupun terdapat banyak versi cerita mengenainya, kewujudan nenek kebayan ini bukan dongeng semata-mata,” jelas seorang pengamal perubatan Islam yang bernama Shamsuri Shafie.

Ilmu Hitam

Nenek kebayan merupakan manusia biasa yang tinggal di kawasan yang jauh di pedalaman terutamanya kawasan hutan. Dia berbuat demikian kerana gemar menyendiri akibat mengamalkan ilmu hitam untuk memperoleh kuasa. Apabila berada jauh daripada masyarakat, senang bagi nenek kebayan untuk melakukan aktiviti khurafatnya.

Nenek kebayan suka membantu masyarakat kampung dan golongan berkedudukan terutamanya dalam bidang perubatan dan perbidanan. Nenek kebayan seringdijadikan sebagai penjaga keselamatan sebahagian keluarga raja dan pembesar pada zaman dahulu. “Nenek kebayan merupakan seorang bidan, bomoh dan pawang. Namun malangnya dia mengamalkan amalan syirik dalam proses perubatannya”, kata Shamsuri.

nenek kebayan

“Orang zaman dahulu kala gemar menggunakan bantuan jin dalam upacara perubatan. Justeru, tidak hairanlah jika nenek kebayan boleh hidup lama biarpun tinggal bersendirian di dalam hutan kerana ada makhluk lain yang berdampingan bersama dengannya,” jelas Shamsuri.

Menurut Shamsuri lagi, biarpun kewujudannya tidak dapat dipastikan, namun ciri-ciri yang digambarkan menjadi wanita tua nenek kebayan itu menjelaskan bahawa beliau mampu hidup secara bersendirian dan mempunyai kuasa sakti kerana bantuan jin tersebut.

Jika kebanyakan warga emas mengamalkan memakan ulam-ulaman dan juga sumber alam untuk mengekalkan keremajaan dan awet muda, berbeza pula dengan nenek kebayan apabila dia gemar memakan daging secara mentah-mentah. “Nenek kebayan makan begitu banyak kerana terpaksa berkongsi hidangan makanan dengan makhluk yang mendampinginya. Dia suka memakan daging mentah dan juga darah,” tutur Shamsuri.

nenek kebayan

Hutan

Jelas Shamsuri, seiring dengan peredaran zaman dan kepercayaan masyarakat pada zaman ini yang lebih berpegang kepada ajaran Islam, kisah nenek kebayan kini sekadar menjadi cerita rakyat atau mitos semata-mata. Namun begitu, jin belaan nenek kebayan masih wujud di hutan kerana di situlah tempat makhluk seperti itu berkeliaran.

“Mungkin di kawasan Semenanjung Malaysia nenek kebayan sudah tiada lagi kerana masyarakat hari ini sudah tidak mempercayai amalan seperti itu. “Tetapi di rantau Nusantara mungkin masih ada nenek kebayan yang tinggal di dalam hutan bersama jinnya,” jelas Shamsuri.

Seorang pelajar di sebuah institusi pengajian tinggi memberitahu bahawa dia pernah ‘ditegur’ oleh makhluk yang menyerupai seorang nenek tua ketika mengikuti program perkhemahan di sebuah kawasan di kepulauan Borneo. Pelajar itu yang hanya mahu dikenali sebagai Razali bersama dengan beberapa orang rakannya berkhemah di sebuah kawasan yang berdekatan air terjun yang dilatari oleh hutan tebal.

“Setibanya saya dan kawan-kawan saya di tempat itu, saya melihat suasananya begitu cantik seperti seolah-olah terpelihara. Semasa terlelap kerana kepenatan selepas memasang khemah, saya terjaga kerana berdepan dengan mimpi aneh,” ujar Razali.

nenek kebayan

“Dalam mimpi itu seorang wanita tua yang bongkok dan berwajah hodoh menghampiri saya dan berkata bahawa dia membenarkan kami untuk bermandi-mandi di kawasan air terjun itu, tetapi dengan syarat kena menjaga tingkah laku,” kata Razali sambil cuba mengingati mimpinya semula.

“Sejurus kemudian saya tersedar. Begitu sukar untuk membezakan sama ada mimpi tersebut hanya sekadar mainan tidur atau benar-benar pesanan yang disampaikan oleh wanita tua itu,” ujar pelajar yang berusia 22 tahun itu.

Sumber cerita ini diperolehi daripada kosmo online.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.