Kisah Seram Rumah Sewa Berhantu di Kuala Kedah Bahagian 2

Ini merupakan sambungan dari Kisah Seram Rumah Sewa Berhantu di Kuala Kedah Bahagian 1. Jika anda tertinggal bahagian 1, anda boleh klik pada pautan ini untuk membaca Kisah Seram Rumah Sewa Berhantu di Kuala Kedah Bahagian 1.

hantu wanita

Pada satu pagi, dia sengaja meninggalkan Pondok Pengawal lebih lewat kerana ingin menunggu saya. Dia mengadu masalahnya semula kepada saya dan meminta kalau-kalau saya dapat membantu. Dia juga menceritakan kejadian terbaru yang menimpa ibu mertuanya semalam. Setelah memintanya menunggu sebentar, saya bergegas semula ke pejabat dan mendapatkan sekeping kertas dan pen. Secara kebetulan, saya masih ada wuduk ketika itu dan terus menulis ‘BismillahirRahmanirRahim’ dalam tulisan jawi pada tiga keping kertas kecil dan memberikan padanya.

Dua daripada kertas itu saya minta dia lekatkan di atas pintu hadapan dan pintu belakang rumahnya. Manakala kertas yang terakhir saya minta dia letakkan di atas pintu bilik tidur utamanya kerana menurut ceritanya, kebanyakan gangguan berlaku di bilik itu. Saya menegaskan kepadanya beberapa kali supaya dia sentiasa beringat bahawa kertas dan tulisan itu tidak mempunyai apa-apa ‘kuasa’, tetapi ianya hanya sebagai ‘syarat’ untuk memohon pertolongan daripada Allah. Hanya Allah sahaja yang Maha Berkuasa ke atas setiap sesuatu.

Keesokkan paginya, dia menunggu saya lagi. Tapi kali ini wajahnya kelihatan berseri-seri, tidak serabut seperti kelmarin. Pagi ini dia membawa berita gembira, yang ‘penghuni’ di rumah sewanya tidak mengganggu pada malam semalam. Saya mengucapkan Alhamdulillah dan mengingatkannya supaya banyak bersyukur kepada Allah kerana segala kebaikan adalah di atas kehendak Allah semata-mata. Dia bertanya berapakah bayaran yang perlu diberikan kepada saya di atas pertolongan saya itu. Saya tertawa dan bertanya kembali, adakah saya pernah menyebut tentang bayaran sebelum ini?

hantu

Namun, dia tetap berkeras untuk memberi bayaran sebagai tanda terima kasihnya kepada saya. Saya memberi kata putus, jika hendak membayar juga, sedekahkanlah kepada mana-mana masjid. InsyaAllah, semoga dia dan saya akan mendapat kebaikan bersama-sama. Dan saya juga menyatakan supaya dia tidak terlalu gembira dan perlu berhati-hati kerana dikhuatiri perkara ini belum tentu sudah selesai sepenuhnya.

Berdasarkan pengalaman saya, Jin dan Syaitan memang licik kerana apabila mereka merasa terancam, mereka mungkin akan berpura-pura telah beredar atau berhenti daripada mengancam mangsa untuk mengelak daripada terpaksa ‘berhadapan’ dengan orang yang tertentu. Bukanlah kerana orang itu hebat, tetapi mungkin kerana orang-orang yang mereka takuti itu lebih dekat dengan Allah. Oleh itu doa mereka akan mudah dimakbulkan oleh Allah dan ini menjadi ancaman besar terhadap mereka.

mata hantu

Orang yang saya maksudkan dekat dengan Allah itu bukan bermaksud diri saya sendiri tapi orang lain. Macam diri saya ini bukanlah baik sangat pun, biasa-biasa sahaja dan hanya hamba yang menurut perintah-Nya. Kebetulan saja Allah memang hendakkan perkara itu berlaku, mungkin bukan disebabkan oleh doa saya. Dan saya memang tidak layak untuk digelarkan orang yang mustajab doa, jauh sekali sebagai seorang yang warak. Setelah hampir sebulan ‘penghuni’ itu tidak mengganggu, dia berjumpa saya lagi untuk mendapatkan kepastian, adakah ‘penghuni’ itu benar-benar telah beredar daripada rumah itu?

hantu

Saya pun tidak dapat memberikan jawapan yang pasti, cuma saya sekadar boleh mencuba. Saya memintanya menunggu sebentar dan kemudian mengambil wuduk. Sesudah itu, saya menulis Ayat Qursi pada sekeping kertas dan meminta dia melekatkannya di mana-mana dinding dalam rumahnya. Keesokannya adalah hari cuti (Jumaat), oleh itu saya tidak tahu perkembangan yang berlaku. Tetapi pada pagi Sabtu (cuti Sabtu pertama dalam sebulan pada waktu itu), saya singgah di pejabat untuk mengambil barang, saya kehairanan kerana melihat anak dan isterinya turut berada di Pondok Pengawal juga. Saya fikir, mungkin mereka ingin balik kampung atau ke mana-mana agaknya.

Setelah dia menceritakan keadaan yang sebenar, barulah saya tahu yang anak dan isterinya juga turut bermalam di Pondok Pengawal bersamanya kerana takut untuk tinggal di rumah. Rupanya, selepas dia melekatkan Ayat Qursi yang saya berikan, ‘penghuni’ itu kembali menggangu dengan lebih ‘keras’ lagi. Ini memaksa dia membawa keluarganya bermalam bersamanya dan telah dua malam anak isterinya tidur di Pondok Pengawal itu.

hantu

Itulah kali pertama saya melihat anak dan isterinya. Apabila terlihat anak perempuannya yang baru berumur tiga tahun pada waktu itu, hati saya mula tersentuh. Saya mula terfikir bagaimana keadannya jika ‘penghuni’ itu sering manggangu budak kecil ini atau selalu menampakkan rupa yang menakutkan pada budak itu? Kebetulan saya ada kelapangan pada waktu itu dan tanpa melengahkan masa, saya mengajak mereka menunjukkan rumah yang mereka sewa itu kepada saya. Mereka bertiga pulang dengan motosikal Honda EX5 dan saya mengikuti mereka dengan motosikal saya.

rumah seram

Rakan saya itu mungkin belum mampu untuk memiliki sebuah kereta kerana pendapatannya yang tidak seberapa. Timbul lagi rasa kasihan terhadap mereka, sudahlah susah, dianiayai pula oleh tuan rumah itu. Hendak mencari rumah baru dan berpindah pun bukannya mudah. Deposit sewa, deposit bekalan letrik dan air juga perlu diambil kira. Setibanya saya di rumah itu, saya mulakan dengan bacaan Al Fatihah dan Ayat Qursi sebelum turun daripada motosikal.

Kemudian saya melihat-lihat di sekeliling rumah tersebut serta bahagian belukar di tepinya. Saya sempat melihat pokok besar berdekatan rumah sewa rakan saya yang dijadikan tempat pemujaan dan sering dilihat sesuatu atas dahannya. Saya tidak merasakan sebarang perasaan luar biasa seperti seram sejuk atau bulu roma yang meremang. Mungkin ‘penghuni’ itu telah beredar lebih awal apabila ‘mencium’ kehadiran saya. Saya meminta izin kepada rakan saya untuk mendirikan solat di dalam rumah mereka dan meminta satu jug air bersih untuk dibacakan dengan doa dan ayat-ayat suci al-Quran.

hantu pokok

Setelah sejadah, tempat solat dan air disediakan, saya mendirikan dua rakaat Solat Sunat Hajat dan membacakan Surah Fatihah dan Ayat Qursi dengan kiraan tertentu pada air tersebut. Setelah itu, saya memohon doa agar Allah kasihankan keluarga ini dan sudi membantu mereka. Air itu saya berikan kepada mereka untuk minum dan mandi setelah saya ambil segelas daripadanya. Segelas air itu saya renjiskan keliling rumah itu sambil membaca Surah Fatihah dan Ayat Qursi serta berdoa agar Allah memberikan perlindungan kepada mereka.

rumah kosong

Alhamdulillah, selepas itu, mereka tidak lagi diganggu oleh ‘penghuni’ rumah itu lagi. Segala-galanya adalah dengan kehendak Allah, Dia Yang Maha Berkuasa di atas setiap sesuatu. Tidak sangka makhluk halus yang mengganggu penyewa rumah tersebut bersikap keras dan degil. Alhamdulillah walaubagaimanapun, kes tersebut sudah pun selesai dengan bantuan daripada Allah SWT. Cuma sedikit terkilan dengan tuan rumah yang bersikap sambil lewa dalam menangani masalah ini.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.