Kisah Seram Lebuhraya Karak Yang Masih Kekal Misteri

Suatu ketika dulu, sepasang suami isteri bersama seorang bayi yang masih kecil sedang dalam perjalanan di Lebuhraya Karak pada waktu malam. Mereka memutuskan untuk melakukan perjalanan pada waktu malam untuk mengelak daripada kesesakan lalu lintas. Pada malam itu jalan raya kelihatan lengang dan sunyi dari bunyi kenderaan. Pada awalnya pemanduan mereka berjalan dengan lancar dan tiada masalah.

Ketika si suami sedang asyik memandu, tiba-tiba kereta yang dipandunya menghadapi masalah dan enjin kereta mati di tengah-tengah Lebuhraya Karak. Si suami terkejut dan merasa pelik, kerana dia yakin bahawa dia sudah memeriksa kereta tersebut sebelum memulakan perjalanan yang panjang pada malam itu demi keselamatan keluarganya. Tanpa pilihan lain, mereka terpaksa memberhentikan kereta di tepi jalan.

Pada awalnya suami isteri tersebut memutuskan untuk menunggu sampai hari siang untuk meminta bantuan sebelum meneruskan perjalanan. Mereka hanya mampu mendiamkan diri di dalam kereta untuk beberapa ketika kerana dihantui perasaan seram dengan keadaan kepekatan malam ditambah lagi dengan suasana yang sunyi. Tidak lama kemudian, si suami memutuskan untuk keluar dari kereka untuk memeriksa enjin yang mungkin berlaku kerosakan di mana-mana bahagian.

lebuhraya karak

Manakala si isteri hanya menunggu di dalam kereta ditemani anaknya yang masih kecil. Selang beberapa minit, si suami muncul kembali dan memberitahu isterinya bahawa dia tidak menemui sebarang kerosakan atau sebrang masalah pada enji kereta. Si suami kemudian cuba untuk menghidupkan kembali kereta mereka, namun cubaannya ternyata sia-sia kerana kereta itu tetap tidak berjaya dihidupkan setelah mencuba beberapa kali. Mereka diam sejenak sambil cuba untuk menenangkan fikiran.

Pada mulanya mereka ingin menunggu sahaja di dalam kereta sehingga ada kereta lain yang lalu di situ dan meminta bantuan. Namun setelah lebih 20 minit berlalu, tiada satu pun kenderaan yang melalui kawasan itu. Walaupun terasa berat hati untuk meninggalkan keluarganya, si suami tiada pilihan lain. Dia nekad untuk keluar mencari pondok telefon awam yang berdekatan untuk meminta pertolongan.

Sebelum dia melangkah keluar dari kereta dan pergi mencari pondok telefon, dia sempat berpesan kepada isterinya supaya mengunci pintu kereta dan jangan keluar dari kereta sehingga dia kembali. Si isteri yang melihat suaminya berjalan pergi mula rasa tidak sedap hati. Bermacam-macam perkara yang bermain di fikirannya. Si isteri berdoa agar ada sesiapa yang melalui tempat di mana kereta mereka rosak dan menawarkan bantuan. Dia juga bimbang dengan keadaan dirinya yang ditinggalkan bersama dengan anaknya yang masih kecil di tepi Lebuhraya Karak yang sunyi.

Setelah beberapa jam berlalu, bayang suaminya masih belum kelihatan dan membuatkan isterinya bertambah risau. Berbagai bayangan buruk mula bermain-main di minda, dia bimbang jika sesuatu yang buruk menimpa suaminya. Dalam kerisauan, tiba-tiba dia dari kejauhan dia ternampak ada cahaya biru dan merah yang datang dari sebuah kereta peronda. Dia melihat seorang anggota polis keluar dari kereta peronda tersebut melalui cermin pandang belakang.

lebuhraya karak

Anggota polis tersebut kemudian mengisyaratkan supaya si isteri keluar dari kereta dengan senyap dan jangan sesekali pandang belakang. Walaupun tidak mengerti mengapa beliau dipanggil oleh anggota polis itu, beliau tetap akur dan keluar dari keretanya yang tersadai di tepi jalan bersama bayinya. Dengan senyap, beliau berjalan ke arah kereta peronda seperti yang diarahkan. Tetapi malangnya, semasa dia berjalan mendekati kereta peronda polis, dia telah menoleh ke belakang dan terlihat olehnya satu kepala tanpa badan tergolek di atas bumbung keretanya yang rosak.

Apabila dia perhatikan dengan teliti dia mendapati bahawa kepala tersebut adalah milik suaminya sendiri. Dipercayai bahawa sepanjang menunggu suaminya pulang ke kereta dari pondok telefon, si isteri ada terdengar beberapa bunyi dentuman yang datang dari atas bumbung kereta tersebut. Namun, si isteri tidak berani untuk keluar memeriksa bunyi tersebut, lagi pula dia sudah berjanji dengan suaminya untuk tidak keluar dari kereta sehingga suaminya kembali.

lebuhraya karak

Sehingga kini badan suaminya masih belum ditemui dan apa yang menyebabkan kepala suaminya terputus juga tidak diketahui angkara siapa atau lebih tepat lagi angkara apa? Kisah ini terus kekal menjadi misteri hingga kini dan terus menghantui pengguna Lebuhraya Karak terutama bagi mereka yang memandu seorang diri pada waktu malam.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.