Kisah Seram Dikejar Langsuir

Malam Jumaat memang sinonim dengan cerita-cerita hantu seram. Sempena malam Jumaat ini, aku teringat kembali peristiwa yang pernah berlaku kepada seorang rakan yang sama-sama belajar semasa di kolej matrikulasi dulu. Nama popularnya semasa belajar di kolej matrikulasi adalah Mawar (bukan nama sebenar).Jika difikir-fikirkankan balik, memang agak seram juga pengalaman yang dilalui oleh Mawar.

Mawar adalah seorang pelajar yang baik dan selalu pergi solat berjemaah di masjid kolej. Disebabkan itu, Mawar telah dilantik sebagai salah seorang ahli jaawatankuasa masjid. Biasanya setiap malam Jumaat masjid kolej akan mengadakan majlis bacaan yassin dan juga ceramah untuk seluruh warga kolej matrikulasi yang beragama Islam.

Kebetulan pada malam tersebut adalah giliran Mawar bertugas sebagai ahli jawatankuasa masjid untuk memastikan ruangan solat bersih dan kemas. Selesai majlis ilmu tersebut, Mawar terus menjalankan tanggungjawabnya. Dalam pada mengemas itu, seorang demi seorang melangkah meninggalkan masjid. Tanpa Mawar sedari, cuma tinggal dia seorang sahaja yang masih berada di dalam masjid tersebut.

bulan

Menyedari dirinya telah keseorangan, Mawar bersiap-siap untuk segera balik ke asrama penginapan kerana hari telah pun larut malam. Waktu itu jam menunjukkan lebih kurang pukul 11 malam. Mawar berasa sedikit terkilan kerana seorang lagi rakannya yang juga ahli jawatankuasa masjid dan turut sama bertugas pada malam itu telah pulang terlebih dahulu tanpa menunggu beliau.

Malam itu Mawar berasa tidak tenteram ditambah pula terpaksa berjalan kaki seorang diri di tengah-tengah malam yang gelap-gelita, hanya diterangi cahaya bulan yang malap di balik awan. Lampu jalan memang ada namun telah beberapa hari mengalami kerosakan dan belum dibaiki oleh pihak yang berwajib.

Ketika melalui sebatang pokok besar di pertengahan perjalanan balik ke asrama, tiba-tiba Mawar terdengar suatu suara yang sayup-sayup memanggil namanya dari belakang. Kedengaran suara itu begitu menyeramkan, di telinganya terdengar macam suara itu mengilai-ngilai pun ada. Dari hujung ekor matanya, Mawar dapat melihat kelibat putih sedang menuju ke arahnya dengan laju sambai melambai-lambaikan tangan. Bulu roma Mawar terus meremang dan badannya menggigil ketakutan. Terkumat-kamit mulut Mawar membaca ayat kursi dan surah-surah yang diingatinya.

hantu

Semakin lama, semakin kuat bunyi suara misteri itu. Mawar tahu suara itu sudah berada dekat dengannya namun dia langsung tidak berani untuk menoleh ke belakang. Ingin sahaja Mawar mengambil langkah seribu tetapi tapak kakinya bagaikan melekat di atas tanah. Lemah lututnya menahan badan yang menggigil.

Dengan tidak semena-mena, satu tepukan kuat hinggap di atas belakang bahu Mawar. Terasa seperti mahu gugur jantung Mawar waktu itu. Mawar hanya mampu memejamkan matanya rapat-rapat dan pasrah akan nasibnya. Tiba-tiba suara itu berkata, “Kenapa tak tunggu aku tadi?”. Dalam hati Mawar terdetik, macam kenal saja suara ini.

Apabila Mawar menoleh ke belakang, rupa-rupanya yang mengejar Mawar dari tadi adalah kawannya Hasnah yang turut sama bertugas mengemas ruang solat masjid. “Eh, kau dari mana ni? Aku ingatkan kau dah balik tadi Hasnah, aku tengok masjid dah kosong tadi.” Mawar bertanya kawannya.

telekung

“Oh, tadi aku pergi ke tandas sekejap, lupa pula nak beritahu kau dulu.” Jawab Hasnah sambil termengah-mengah kelelahan dek kerana mengejar Mawar. “Keluar je dari tandas, tengok-tengok kau dah takda. Apalagi, terus aku pecut kejar kau” Kata Hasnah lagi. Itulah sebenarnya yang terjadi. Sia-sia sahaja Mawar berasa seram sejuk dan menggigil ketakutan tadi.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.