Kerana Permainkan Hati Perempuan, Bekas Kekasih Hantar Sihir Balas Dendam Part 1

Kisah Benar – Kerana cuba mempermainkan hati dan perasaan perempuan, bekas teman wanita hantar sihir berupa ular, pontianak dan makhluk berbulu hitam demi untuk membalas dendam!! Kisah ini diambil dari perkongsian di laman sosial Facebook milik Emy Zulkifli, “Jangan main-main dengan hati, risau-risau menjadi dendam”. Kepada pembaca kisahseram.com, marilah kita sama-sama jadikan kisah ini sebagai satu pengajaran.

Pengenalan

Hari ini aku bawakan satu kisah daripada pengalaman aku sendiri. Kisah ini berlaku semasa aku belajar di sebuah Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dulu, dalam tahun 2006-2009. Sebelum itu, perkenalkan nama aku Sham. Aku adalah seorang bekas pelajar sekolah agama. Selama 10 tahun, sejak aku berumur 7 tahun sampailah usia aku 17 tahun, aku menuntut ilmu di sekolah agama.

Semasa berada di tingkatan 5, aku telah jatuh cinta dengan seorang gadis. Nama gadis itu Ain. Ain merupakan kawan sekelas aku sendiri. Cinta aku berbalas. Tapi hubungan kami sangat terbatas, cuma boleh berbalas surat sahaja. Kami kemudiannya melanjutkan pelajaran ke kolej matrikulasi yang sama. Pada masa itu kami dapat kebebasan yang tidak pernah kami kecapi sepanjang bersekolah agama dulu. Boleh dikatakan kami ni mengalami proses culture shock la. Tapi syukur, disebabkan imej sekolah agama itu kami nak jaga, aku tak pernah pegang-pegang tangan atau bergayut dengan Ain sampai tengah-tengah malam.

Apabila kami nak jumpa pun hanya di perpustakaan. Makan sama-sama berdua pun tak pernah. Sepanjang aku bercinta dengan dia memang dihiasi dengan nasihat-nasihat agama yang berguna la. Jadi memang Ain ni sayang sangat-sangat kat aku sebab tak rosakkan dia. Namun begitu, perangai aku berubah bila masuk IPTA. Aku dapat IPTA kat semenanjung manakala Ain pula sambung belajar kat Universiti Malaysia Sabah (UMS). Kami berdua berjanji untuk terus berhubungan.

Episod 1

Masa tahun pertama aku masuk universiti, budak-budak sekolah agama memang menjadi buruan gadis-gadis pada masa tu. Bukanlah nak riak ke apa, tapi memang biasalah kan, budak-budak sekolah agama ni memang muka baik-baik. Orang kata ada’nur’ lah. Boleh bagi ketenangan. Orang kata la, bukan aku. Berbekalkan muka yang dikatakan ala-ala ustaz ini, ramai la gadis-gadis berminat dengan aku. Di situlah bermula perasaan riak dan takbur dalam diri aku. Aku pernah mengaku yang aku dah ada Ain, tapi masih ada yang nak pada aku. Sebab seronok jadi pujaan, aku pun kalah lagi dengan godaan syaitan.

ustaz

Masuk tahun ketiga aku kat universiti, aku pun ada skandal dengan seorang gadis ni, Ayu. Ayu pulak setuju nak jadi yang kedua selepas Ain. Aku tak puas lagi, dalam hati aku masa tu cuba menjustifikasikan perbuatan aku ini, aku berpegang pada prinsip ‘Lelaki boleh kahwin empat’. Jadi aku nak cari lagi yang boleh dijadikan sebagai kekasih hati. Aku dapat lagi seorang gadis. Aku sendiri macam tak percaya. Nama dia Dila (tiba-tiba aku rasa sakit hati pulak dengan diri-sendiri, teruk perangai aku masa ni).

Dila ini berbeza sikit. Kalau Ain dan Ayu masing-masing pakai tudung dan sopan, tapi Dila ni pula memang artis la. Rambut dia diwarnakan, pakaian pula sentiasa tak cukup kain. Aku tertarik kat dia pun memang sebab nafsu semta-mata. Apa yang buat aku puas hati adalah sebab Dila ni memang hot, muka memang cun. Ramai lelaki yang cuba tackle Dila, tapi aku yang dapat. Jadi ramailah yang jeles, bertambah-tambah lagi takbur aku.

Dila tidak tahu pun kewujudan Ain dan Ayu. Kawan-kawan aku pula dah naik menyampah dengan aku. Ramailah yang nasihat tapi godaan syaitan tu lagi kuat. Tapi sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh berguling. Aku tersilap langkah. Dila ni sentiasa jadi bualan dan perhatian lelaki-lelaki lain. Jadi bila ada mata-mata yang nampak aku dating dengan Ayu, ada je yang kaki report kat dia. Memang ramai yang nak aku dan Dila ni putus.

Akhirnya perang besar, apabila Dila curi henfon aku dan tahu kewujudan Ain dan Ayu. Dila hubungi Ain minta penjelasan, waktu itu barulah Ain tahu yang aku dah menduakan dia. Eh, sebenarnya mentigakan dia. Apalagi, maka bergaduhlah kami semua. Ain minta putus dan aku dipaksa memilih salah seorang antara dua yang tinggal itu. Akhirnya aku memutuskan hubungan dengan semuanya sekali. Senang. Kat hati aku, rasa tidak ada sikit pun rasa bersalah. Ramai yang nak kan. Tapi aku rasa sikit kesal, sebab aku putus dengan Ain.

cinta tiga segi

Antara mereka bertiga, Ainlah yang terbaik. Dah la 5 tahun kami bercinta. Kenapalah aku boleh buat macam tu? Ayu boleh terima perpisahan kami dengan baik. Tapi Dila pulak, dah macam dalam drama televisyen, dia jadi pendendam. Dia selalu ugut aku yang dia takkan lepaskan aku macam tu saja.

Sebulan berlalu, aku yang tidak serik-serik, dapat teman wanita yang nombor empat. Namanya Ema. Ema sama macam Dila dari segi penampilan. Maka berpacaranlah aku sekali lagi. Kawan-kawan yang baik dengan aku banyak dah bagi nasihat, supaya jangan main-mainkan hati dan perasaan perempuan. Tapi aku memang berlagak, tak peduli pun akan nasihat kawan-kawan aku tu. Aku rasa sangat hebat sebab boleh tundukkan seorang lagi.

Dalam masa dua bulan aku bercinta dengan Ema, Dila diam-diam jumpa dengan dia. Dila bongkarkan segalanya, siap bawa Ayu sekali. Maka bergaduhlah aku dengan Ema, dia tidak dapat terima aku yang baru sebulan single terus nak cari yang lain. Orang kata, kalau kematian isteri tu, kuburnya masih merah lagi. Dia pun soal-sisat kawan-kawan aku. Kantoi, sebab aku pernah cakap ‘nak main-main’ je dengan Ema, tak serius. Kami pun putus. Aku ingatkan dendam Dila tu dah terbalas, rupanya baru nak bermula!

Bersambung ke Episod 2.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.