Kelibat Hantu Melintas Depan Bilik

Ini adalah kisah salah seorang pensyarah aku semasa belajar di universiti dulu. Nama beliau En. Ishak (nama samaran). Nama sebenar terpaksa dirahsiakan atas sebab-sebab tententu. En. Ishak adalah seorang pensyarah yang sangat suka berkongsi tentang pengalamannya semasa zaman dia muda-muda dulu. En. Ishak ni agak nakal sikit pada zaman mudanya. Salah satu perkara yang dia suka buat ialah menyakat orang.

Ada sekali tu, masa nak dekat peperiksaan akhir semester, En. Ishak kongsi satu cerita tentang kawan serumah dia masa mereka belajar di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dulu. Katanya, masa nak dekat peperiksaan akhir macam ni, mesti akan ada banyak kes pelajar-pelajar yang kononnya nampak hantu. Dia sendiri pun naik hairan kenapa selalu jadi macam tu? Dia fikir mungkin perkara itu berlaku disebabkan stress. Bila dalam keadaan stress, banyaklah hantu-hantu yang suka mengusik. Satu lagi teori beliau ialah, itu cuma halusinasi pelajar-pelajar itu saja.

Kisahnya begini, En. Ishak ini tinggal menyewa di sebuah rumah teres 2 tingkat bersama dengan 4 orang pelajar yang lain. Di rumah itu, En. Ishak berkongsi sebuah bilik di tingkat atas dengan seorang kawan dia. Nama kawan dia Azmi, bukan nama sebenar sebab aku dah dah tak ingat siapa nama dia. Ada sekali tu, dah tengah malam waktu itu, Azmi tengah mengulang kaji pelajaran untuk peperiksaan akhir semester seorang diri di dalam bilik di tingkat atas.

Tiba-tiba kawan dia terhidu bau yang wangi kat bilik itu. Bau itu macam bau kemenyan yang dibakar. Azmi mula rasa tidak sedap hati tapi dia buat-buat berani terus sambung ulang kaji lagi. Tapi baru je nak teruskan study, si Azmi terdengar pula bunyi seperti ada yang mencakar pintu bilik sebelah. Tidak cukup dengan bau dan bunyi, tiba-tiba dia ternampak pula kelibat lembaga berpakaian putih sedang berjalan melintas depan pintu bilik dia.

lembaga putih

Adalah dalam dua ke tiga kali lembaga itu asyik berulang-alik berjalan depan pintu biliknya. Seolah-olah lembga itu sengaja ingin menunjukkan dirinya pada Azmi. Lalu Azmi pun apa lagi, takut dan panik punya pasal terus je dia pergi ke balkoni luar bilik tu dan terus terjun ke bawah. Akibat terjun dari balkoni, tak pasal-pasal Azmi patah kaki sebelah dan dia juga terpaksa dibawa balik berubat di kampung kerana lemah semangat terkejut nampak hantu.

Apabila Azmi patah kaki dan terpaksa menangguhkan pengajian selama satu semester kerana masih lemah semangat dengan kejadian berkenaan, En. Ishak rasa amat sedih dan bersalah. Bukan rasa bersalah sebab meninggalkan Azmi belajar soanrg-sorang dalam bilik itu. Tetapi sebab dialah yg menyamar menjadi hantu itu. Kata En. Ishak, masa itu dia tengah bosan sebab dia ada ruang masa seminggu sebelum peperiksaan bermula. oleh kerana dia rasa yakin dia boleh jawab peperiksaan itu nanti, jadi dia tak tahu apa dengan masa yang terluang itu.

Kemudian, En. Ishak mendapat satu idea yang sungguh bernas iaitu menyakat si Azmi ini. Jadi malam itu, ketika Azmi tengah asyik mengadap buku, En. Ishak mula membakar kemenyan di bilik sebelah. Lepas tu, dia asap-asap kemenyan itu supaya bau kemenyan yang dah dibakar itu sampai ke bilik Azmi. Bukan itu sahaja, malah dia saja cakar-cakar pintu bilik sebelah dengan menggunakan garfu sebelum dia pakai telekung putih (aku lupa pula nak tanya dia rembat telekung siapa) dan mula berjalan-jalan depan bilik Azmi.

kemeyan

Kata En. Ishak lagi, manalah dia tahu si Azmi itu rupanya penakut sangat orangnya sampai sanggup terjun dari balkoni tingkat atas sebab nampak hantu! Sehingga sekarang, Azmi masih tidak tahu yang hantu itu sebenarnya bukan hantu betul. En. Ishak tidak berani nak menceritakan perkara sebenar sebab takut kena pelangkung dengan Azmi. Memang bertuah sungguh ada kawan macam pensyarah aku tu.

Sebagai peringatan kepada pembaca setia kisahseram.com, berpada-padalah dalam bergurau kerana gurauan yang melampau contohnya seperti dalam cerita di atas boleh membawa mudarat. Jangan kita mudah terikut-ikut dengan budaya barat yang suka membuat ‘prank’. Sumber dipetik dari makkenits.blogspot.my.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.