Ikhtiar Dan Panduan Doa Untuk Melindungi Diri Dari Gangguan Jin

Sebagai seorang muslim, terdapat beberapa ikhtiar yang boleh diamalkan sekiranya anda berhadapan dengan gangguan jin, sebagai contoh kerasukan atau diusik dalam bentuk jelmaan dan lain-lain lagi. Pertama sekali, beristighfarlah kepada Allah, tauhidkan Allah dan luruskan pengharapan yang tinggi bahawa hanya Allah SWT yang boleh bantu untuk menyelesaikan masalah gangguan itu.

Seterusnya, menyebut nama ALLAH dengan membaca “بسم الله” (bismillah) yang bermaksud “Dengan Nama ALLAH” dan fahami bacaan tersebut. Selain itu, anda boleh memohon perlindungan ALLAH dari syaitan yang dilaknat dengan membaca doa-doa dari ayat suci al-Quran sebanyak beberapa kali dengan jelas. Sebaik-baiknya fahami dan hayati betul-betul ayat tersebut. Doa-doa di bawah boleh diamalkan sebagai perlindungan dari gangguan makhluk halus:

  1. Membaca: أَعُوْذُ بِا للهِ مِنَ الشَّيْطَا نِ الرَّجِيْم
    Maksudnya: Aku berlindung dengan Allah daripada Syaitan yang direjam.
  2. Membaca: اَللّهُمَّ إنِّي أعُوْذُبِكَ مِنْ هَمَزَاتِ الشَّيطِيْنِ وَ أعُوْذُبِكَ رَبِّيْ عَنْ يَحْضُرُوْن
    Maksudnya: Ya Allah, aku berlindung denganMu daripada gangguan Syaitan dan aku berlindung denganMu ya Robbi, daripada kehadiran mereka. Amalkan doa ini sebelum mendirikan solat atau mengerjakan sesuatu ibadah.
  3. Membaca ; أَعُوْذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّمَا خَلَقَ
    Maksudnya: Aku berlindung dengan kalimah-kalimah Mu yang sempurna dari segala kejahatan makhluk yang telah Dia cipta. Doa ini boleh diamalkan sebagai perisai pertahanan diri daripada gangguan makhluk-makhluk jahat.

Selain doa-doa di atas, anda juga boleh melakukan tiga amalan di bawah yang sedikit sebanyak dapat bertindak sebagai pelindung dari gangguan makhluk halus:

  1. Membaca Bismillah sebanyak 11 kali atau seelok-eloknya 21 kali.
  2. Membaca surah al-Fatihah dan 3 Qul.
  3. Membaca ayat Kursi.

ayat kursi

Sebagai seorang Islam, kita wajib percaya akan kewujudan jin dan makhluk-makhluk ghaib lain bersesuaian dengan firman-firman Allah yang diturunkan melalui al_Quran. Firman Allah S.W.T di dalam surah al-Zariyat: 56 ; “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku”.

Begitu juga di dalam Firman Allah S.W.T: “Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: Sujudlah kamu kepada Adam; lalu mereka sujud melainkan Iblis; ia adalah berasal dari golongan jin, lalu ia menderhaka terhadap perintah Tuhannya. Oleh itu, patutkah kamu hendak menjadikan Iblis dan keturunannya sebagai sahabat-sahabat karib yang menjadi pemimpin selain daripada-Ku? Sedang mereka itu ialah musuh bagi kamu, amatlah buruknya bagi orang-orang yang zalim; pengganti yang mereka pilih itu”. (Surah al-Kahfi: 50)

ayat kursi

Dan Firman Allah S.W.T: “Wahai anak-anak Adam! Janganlah kamu diperdayakan oleh syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapa kamu dari syurga, sambil ia menyebabkan terlucutnya pakaian mereka berdua untuk memperlihatkan kepada mereka, aurat mereka (yang sebelum itu tertutup). Sesungguhnya syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan syaitan-syaitan itu teman rapat bagi orang-orang yang tidak beriman”. (Surah al-A‘raf: 27)

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.