Hantu Penanggal Dan Cara Untuk Menghapuskannya Bahagian 2

Ini merupakan sambungan daripada artikel Hantu Penanggal Dan Cara Untuk Menghapuskannya Bahagian 1. Jika anda tertinggal bahagian 1, anda boleh klik pada pautan ini untuk membaca artikel Hantu Penanggal Dan Cara Untuk Menghapuskannya Bahagian 1.

penanggal

Bidan yang menjadi Penanggal pada waktu malam kelihatan sebagai wanita biasa pada siang hari. Mereka bagaimanapun boleh dikenali sebagai Penanggal melalui tingkah laku mereka. Apabila berjumpa orang ramai, mereka biasanya mengelak untuk bertentang mata dan ketika bertugas sebagai bidan, mereka boleh dilihat mengecap bibir mereka, seolah-olah memikirkan sedang menikmati darah wanita yang melahirkan apabila tibanya waktu malam.

penanggal

Orang yang tahu di mana hantu Penanggal tinggal boleh menunggu pada waktu malam ketika Penanggal terbang meninggalkan tubuhnya dan terbang keluar, ia boleh dimusnahkan dengan menuang serpihan kaca dalam lubang tengkuknya, yang akan mencederakan organ dalaman Penanggal apabila ia kembali bersambung dengan tubuhnya. Cara lain untuk membunuh Penanggal adalah dengan membakar tubuhnya, dengan itu menghalang Penanggal dari kembali bercantum dengan tubuhnya pada siang hari.

penanggal

Cara untuk mendedahkan siapa sebenarnya hantu Penanggal tanpa membunuhnya adalah dengan memterbalikkan tubuhnya, dengan itu apabila kepala Penanggal kembali bercamtum semula dengan tubuhnya ia akan bercantum secara terbalik iaitu kepala dia menghadap ke belakang manakala badannya pula menghadap ke hadapan. Maka dengan itu dapat mendedahkan kepada semua orang apakah dia sebenarnya.

Hantu penanggalan adalah seseorang yang menuntut ilmu hitam. Dengan itu ilmu tersebut perlu diwariskan kepada seseorang penganti sebelum tuannya mati sebagai saka. Sekiranya tuannya mati sebelum sempat mencari pengganti, hantu Penanggal akan hidup liar dan mengganggu penduduk berdekatan. Ia juga gemar menghisap darah manusia yang akan atau mahu bersalin. Penanggalan juga biasanya diwarisi dari ibu kepada anak secara turun-temurun.

penanggal

Menurut penelitian secara ilmiah, kadar kematian yang tinggi ketika bersalin akibat kehilangan darah (tumpah darah) mungkin menyebabkan timbulnya kepercayaan ini sebagai menjelaskan mengapa terdapat kadar kematian yang tinggi di kalangan ibu-ibu yang bersalin. Kematian akibat tumpah darah tidak dapat dikawal. Boleh jadi disebabkan itu masyarakat menggunakan hantu Penanggal sebagai satu cara supaya masyarakat merasakan mereka dapat mengawal sesuatu kejadian. Jika dikaitkan kejadian tumpah darah itu sebagai perbuatan hantu, masyarakat dapat berusaha untuk menghindarkan gangguan hantu tersebut melalui jampi atau amalan seperti meletakkan daun mengkuang pada tiang rumah.

Penanggal juga ada nama dan jenis yang berlainan mengikut sesuatu tempat. Hantu Penanggal dikenali sebagai Manananggal atau wakwak dalam masyarakat Filipina. Hantu ini menyerupai pontianak dalam budaya masyarakat barat. Ia makhluk yang memakan manusia dan juga ahli sihir yang jahat. Mitos mengenai Manananggal popular di wilayah Visayas di Filipina, terutama di kawasan barat Capiz, Iloilo dan Antique.

manananggal

Manananggal dikatakan takutkan bawang putih dan garam. Makhluk ini juga dikatakan mengelakkan diri dari pisau belati, cahaya, cuka, rempah-ratus dan ekor ikan pari-pari yang dibuat sebagai cemeti. Makhluk yang sama juga dikatakan boleh ditemui di Indonesia. Berbeza dengan hantu Penanggal di Malaysia, versi Filipina adalah wanita yang lebih tua tetapi cantik dan mampu menanggalkan badan bukan hanya kepala sahaja.

manananggal

Jika dalam kisah rakyat dari negara Filipina terdapat Manananggal, di Malaysia sendiri hantu Penanggal dikenali dengan nama-nama yang berbeza mengikut negeri. Negeri Sabah mempunyai versi hantu Penanggalnya yang tersendiri iaitu dikenali sebagai balan-balan. Berbeza dengan hantu Penanggal dan Manananggal yang terdiri daripada wanita, namun sebaliknya balan-balan merupakan lelaki.

balan-balan

Di negeri Kedah, hantu Penanggal disebut sebagai Tengelong oleh masyarakat setempat manakala di negeri Sarawak pula dipanggil Engkalan. Terdapat juga makhluk yang memiliki ciri yang serupa di kalangan orang Bali, Indonesia, di mana ia dikenali sebagai Leyak. Di Thailand pula ia dipanggil Krasue, di Laos sebagai Kasu atau Phi-Kasu dan di Kemboja dikenali sebagai Ap.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.